"KENAPA tak boleh? Awak sendiri cakap tadi, kan? Saya boleh minta apa sahaja yang saya nak. Jadi, saya nak minta awak tolong cari Badri," terangku sambil cuba menandingi setiap derap kakinya yang laju.
Tidak semena-mena, dia mematikan langkah dan menoleh padaku.
"Tidak termasuk Badri."
"Apa sahaja...maksudnya, apa sahaja, kan? Anything!" bangkangku.
Arjuna merengus kuat. Nampak sangat dia sedang kegeraman dengan tingkahku. Sedetik, aku ditusuk rasa seriau.
"Bukan cara aku tarik balik kata-kata sendiri. Tetapi aku tak ada pilihan lain. Jadi, biar aku rephrase lagi sekali." Arjuna mendekatkan muka geramnya sebelum menyambung kata dengan nada yang sengaja ditekankan. "Kau boleh minta apa sahaja kecuali Badri."
"Kenapa? Apa masalah awak dengan dia?"
"Masalah? Aku tak ada masalah dengan dia."
"Habis tu?"
"Kau..." Arjuna menuding jari telunjuk ke mukaku. "Yang akan bermasalah kalau kau cari dia."
"Kenapa pula?" tanyaku laju. Semakin hilang sabar dengan tingkah Arjuna yang suka bercakap secara tersirat.
"Dia..." Bicara Arjuna mati di sekerat jalan, seolah-olah tidak jadi mengatakan apa yang difikirkan. Matanya tidak lepas daripada menatapku. Renungannya sukar untuk aku tafsirkan. Lunak? Kasihan? Serba-salah? Aku tidak tahu.
"Dia apa?" soalku, sedikit mendesak.
"Dia bukan lagi Badri yang kau kenal," jawab Arjuna bersama nada suara senada yang kedengaran bergetar.
Aku tercengang. "Apa maksud awak?"
"Aku yakin, Badri yang kau kenal sepuluh tahun itu, bukan lagi Badri yang sama."
Terlepas dengusan dari mulutku. Semakin berlapik jawapan yang terpancul dari mulut Arjuna, semakin aku geram. Aku jadi tidak ketahuan!
"Boleh tak awak jangan bagi jawapan yang bukan macam jawapan? Terus-terang sajalah."
"Hati kau cukup kuat ke untuk tahu jawapan sebenar?" bidas Arjuna dengan lagak bersahaja. Kemudian dia melihatku atas bawah. "Daripada apa yang aku lihat, jawapannya tidak."
Telingaku berdesing. Muka merah padam menahan marah. Kata-katanya jelas memandang rendah kepadaku.
"Awak nak cakap yang saya ni perempuan lembik. Macam tu?"
"Aku tak pernah anggap kau sebagai perempuan lembik. Perempuan lembik takkan mampu datang beribu batu jauhnya ke negara orang dan cuba untuk cari orang yang dia peduli," nafi Arjuna penuh ketegasan.
"Then, why?"
"Mungkin rasa terlampau peduli kau tu yang jadi kelemahan kau. It's going to drag you down, young lady."
"Nailah. Nailah Farafisha," sampukku.
"Huh?"
"Dah-dahlah tu panggil saya young lady. Macamlah saya tak ada nama."
Arjuna senyum tiba-tiba.
"Nailah Farafisha. Cantik nama tu. Nama isteri kepada Khalifah Uthman al-Affan."
Aku mengelip-ngelipkan mata. Seperti tadi, aku agak terkejut. Nampak gayanya, lelaki ini tahu segala-serbi tentang sejarah Islam. Mungkinkah dia beragama Islam? Apatah lagi, namanya Arjuna. Nama yang sangat klasik Melayu. Ah, apa yang aku merepek ni? Ini bukan masanya untuk berkenalan atau memikirkan soal nama.
YOU ARE READING
SALJU KYOTO (Published)
Action'When a man truly loves a woman, she becomes his weakness. When a woman truly loves a man, he becomes her strength. This is called Exchange of Power.' Musim dingin 2015. Kyoto. Semuanya bermula pada malam itu. Aku cuma seorang wanita biasa yang ingi...