LANGKAHNYA dekat dan semakin mendekat, hingga akhirnya betul-betul menghadapku. Dengan lagak bersahaja, dia memusing kerusi yang diduduki oleh Goro sebentar tadi agar tidak terbalik. Kemudian dia menjatuhkan duduk, bersandar tenang dan menyilang kaki. Dua susuk tubuh lain elok berdiri dekat, di sebelah kiri dan kanannya. Dalam keadaan tersendeng-sendeng dan berlumuran darah, Goro datang menghampiri, namun tidak diendahkan. Melalui ekor mata, lelaki di hadapanku memberi isyarat kepada pembantunya agar ikatanku dilepaskan.
"Kau..." Suara Goro yang berdesis menyapa hujung telinga. Tetapi suara itu mati saat lelaki di hadapanku menjeling tajam. Sudahnya, Goro menekur diam.
Ikatan di mulut dan tubuhku terlerai jua akhirnya. Tetapi, aku tidak terus bangun. Renungan tajam jejaka yang menghadapku ini membuatkan aku merasakan bahawa lebih baik aku menunggu. Sementelah, suasana tegang sekarang seperti menanti saat sahaja untuk meletup. Semestinya, aku tidak ingin menjadi punca letupan itu.
"Apa yang sedang kau buat, Ishida Goro?" Dia bertanya dengan suara sedingin salju.
"Apa pula yang Nakajima Kaede buat di sini?"
Aku tersentak mendengarkan soalan Goro. Nakajima Kaede? Bukankah dia...Arjuna?
"Aku tanya soalan, bukan untuk dapatkan soalan sebagai jawapannya." Pedas sindiran Arjuna.
Riak muka Goro berubah.
"Jadi, biar aku tanya kau sekali lagi. Apa yang kau sedang buat?" Nada suara Arjuna bertambah keras, seperti memberi amaran bahawa dia inginkan sebuah jawapan.
"Aku...aku..." Goro tergagap-gagap mahu menjawab.
"Kau tahu kan, yang kau tak boleh sentuh orang luar. Walau apa-apa pun yang jadi, kau tak boleh tarik perhatian antarabangsa."
Tanpa semena-mena Goro menghambur tawa mengejek.
"Eh, aku dah tak peduli pasal itu semua. Aku dah dibuang kumpulan. Dan dah tak boleh masuk ke mana-mana kumpulan lain. Semuanya sebab jantan tak guna tu!"
"Jadi, itu urusan antara kau dan dia. Kenapa perlu libatkan perempuan ni?"
"Sebab perempuan ni..."
"Milik Badri?" sampuk Arjuna. Seketika kemudian, dia menggelengkan kepala. "Tsk...tsk...tsk...sebelum kau buat apa-apa, kau patut siasat dulu. Jangan main hentam saja."
Dahi Goro bertaut rapat. "Apa maksud kau?"
"She's my woman. You touch her and you die." Selamba sekali jawapan Arjuna.
Aku tercengang. Spontan aku menoleh kepada Badri. Dia sedang berdiri sambil ditampung oleh salah seorang konconya. Dari sebalik muka berdarahnya, dia juga tampak terkejut.
"Kalau kau nak cepat mampus, cubalah apa-apakan dia," ugut Arjuna sekali lagi.
"Tak...tak mungkin. Aku nampak dengan mata kepalaku sendiri, perempuan ni dengan Badri," sangkal Goro, tidak percaya.
"Kalau perempuan ni tak ada kena-mengena dengan aku, kau fikir aku akan muncul di sini? Kau ingat aku akan masuk campur, sedangkan selama ni aku tak pernah peduli pasal kamu semua?" Bertalu-talu Arjuna membidas.
Goro bungkam. Muka serba salah sekejap ditala kepadaku dan sekejap kepada Arjuna. Di mataku, lelaki ini tampak kegerunan. Lenyap sudah rupa menakutkan tadi, bahkan dia menikus tidak ubah seperti anak kecil yang takut dihukum.
"Jadi, rasanya aku boleh tuntut balik hak aku, kan? Kau takkan cuba halang, kan?"
Soalan Arjuna dibiar sepi. Lalu, dia menarik senyum sinis.
YOU ARE READING
SALJU KYOTO (Published)
Action'When a man truly loves a woman, she becomes his weakness. When a woman truly loves a man, he becomes her strength. This is called Exchange of Power.' Musim dingin 2015. Kyoto. Semuanya bermula pada malam itu. Aku cuma seorang wanita biasa yang ingi...