LAMBAT-LAMBAT, aku menengadah muka. Dari sebalik mata yang berbalam-balam, aku melihat susuk tubuh tinggi itu. Dia sedang menunduk kepala memandangku. Ada tanda tanya yang terbias di segenap wajah itu. Dengan cukup lemah, aku bangkit dari cangkung. Kaki yang kebas kesejukan membuatkan aku hampir-hampir terjelepuk kembali. Namun Arjuna tangkas menangkap bahuku. Usai memastikan aku tegak dengan selamat, dia menjatuhkan tangan.
"Sa...saya..." Bibirku terketar-ketar mahu bersuara. Sungguh, aku tidak tahu bahawa ini adalah rumahnya. Aku hanya mengikut langkah kaki dengan otak kosong semata-mata.
"Kau nampak biru."
Belum sempat aku mengatakan apa-apa, Arjuna terlebih dahulu menyampuk. Kot tebal yang tersangkut di tubuhnya ditanggalkan dan disangkut ke bahuku, lantas memberikan satu lagi lapisan pakaian tebal kepadaku. Bahkan, dia mencabut keluar sarung tangan sendiri sebelum menarik jari-jemariku. Sarung tangan besarnya itu kemudian dilapiskan ke atas sarung tangan yang sedia kupakai.
"Apa...apa awak buat ni?" soalku tenggelam timbul.
"Pakai saja."
"Tapi, awak akan sejuk."
"Tak apa," tekan Arjuna tanpa memandangku. Sebaliknya dia mengemaskan kotnya yang membaluti tubuh kecilku. "Aku dah biasa dengan cuaca sini. Kau tu yang tak biasa. Kau dah nampak pucat sangat, kau tahu tak?"
"Tapi..."
"Tak ada tapi-tapi," pintas Arjuna. Mukanya sudah dipalingkan ke arah pembantu keduanya. "Sato, cepat buka pintu."
Tanpa banyak bicara, lelaki yang digelar Sato itu membukakan pintu besar dan tinggi yang terletak elok di tembok pagar.
"Come, masuk cepat. Kau tak boleh lama di luar."
"Tapi, takkanlah saya..." Aku cuba menolak. Walau dalam lemah sekali pun, aku sedar halal dan haram. Tidak mungkin untuk aku masuk ke rumah seorang lelaki bukan mahram.
"Don't worry. Ada orang lain dalam rumah ni. Bukan kita berdua saja," tegas Arjuna dengan nada suara yang tiada kompromi.
Mahu tidak mahu, aku membuntuti langkah Arjuna. Usai melangkah masuk, anak mataku membulat. Rupa-rupanya, dari sebalik tembok luar yang tinggi, tersergam indah sebuah rumah tradisional Jepun dua tingkat yang berwarna hitam, putih dan coklat. Sebelum tiba ke bahagian rumah, satu taman yang luas terlebih dahulu menyambut kedatanganku. Kelihatan kolam dengan satu jambatan kecil, bonsai yang dibentuk indah serta pelbagai jenis pokok tinggi dan renek. Ada yang cuma beranting kesan musim sejuk, ada juga yang mekar dengan dedauan. Bunyi lembut air yang mengalir sayup-sayup menyentuh gegendang telinga.
Setelah mendekat, barulah aku perasan bahawa ada dua buah rumah sebenarnya. Salah sebuah jauh lebih besar daripada yang satu lagi. Aku yakin yang besar itu merupakan rumah utama. Kedua-dua buah rumah ditutupi dengan bumbung jenis tradisional yang melengkung ke atas. Dindingnya berpetak-petak, dengan binaan kayu dan buluh. Di sekelilingnya pula, terdapat koridor yang memanjang dan luas. Sama seperti rumah tradisional Jepun yang aku selalu tonton dalam drama.
Aku terus mengikut langkah Arjuna memasuki rumah utama, dengan mata yang tidak henti-henti meliar ke sekeliling. Kami akhirnya tiba di hadapan satu pintu gelangsar jenis shoji yang besar. Seorang wanita pertengahan umur yang berdiri tegak di hadapan pintu tersebut, menolaknya ke tepi. Lantas, menampakkan ruang luas di dalamnya.
"Come," pelawa Arjuna sambil menggamitku masuk.
Penuh hati-hati, aku menapak masuk. Sekali lagi, aku terpesona. Berpadanan dengan binaan luar yang tradisional, suasana di bahagian dalam juga tidak kurangnya. Ruang besar yang kukira sebagai ruang tamu ini juga dari jenis bilik tradisional Jepun atau dikenali juga sebagai washitsu. Keluasannya kira-kira lapan tatami, dipisahkan daripada bilik lain dengan menggunakan pintu fusuma. Ukiran buluh dan dedaun maple berwana oren pada pintu fusuma tersebut membuatkan keseluruhan bilik ini tampak mewah. Di tengah-tengah bilik pula, kelihatan kotatsu dengan permukaan meja kaca berwarna hitam bercorak pohon sakura. Lain benar daripada kotatsu di Hitsuji-an yang cuma dilapisi permukaan kayu biasa.
YOU ARE READING
SALJU KYOTO (Published)
Action'When a man truly loves a woman, she becomes his weakness. When a woman truly loves a man, he becomes her strength. This is called Exchange of Power.' Musim dingin 2015. Kyoto. Semuanya bermula pada malam itu. Aku cuma seorang wanita biasa yang ingi...