BAB 15

10K 514 119
                                    

"APA kau buat di sini?"

Suara yang menegur dari belakang menyentuh hujung telinga. Lambat-lambat, aku berpaling. Muka Arjuna yang basah dengan peluh menjamah pandangan mata. Dia baru selesai menghabiskan sesi latihan kendo yang menjadi kebiasaan di pagi hari sebelum keluar bekerja.

Tanpa menjawab soalan tadi, aku merapatinya. Kaki dijongket ke atas. Muka dekat dengan mukanya. Arjuna menjauhkan sedikit kepala. Dahinya tergaris dengan kerutan.

"Kau ni dah kenapa?"

"Hmm, pipi awak dah tak bengkak. Tapi bibir awak.."Aku mengecilkan anak mata tepat ke bawah bibirnya. Hati berdebar, tetapi aku tayang muka selamba. "Masih lebam."

Arjuna senyum kecil.

"Tak perlu ulang apa yang pernah aku cakap," ucapnya, jelas mengerti bahawa aku baru sahaja mengikut apa pernah dia buat terhadapku.

Aku membalas senyum dan menjarakkan diri daripadanya.

"Now, tell me," arah Arjuna tidak semena-mena.

"Apa?"

Sebelah kening Arjuna terangkat.

"Kau takkan tercegat di sini kalau tak ada apa-apa nak cakap dengan aku. Langsung tak tunggu waktu breakfast."

Aku bungkam sejenak, tersedar diri sudah tertangkap oleh Arjuna. Dia ini punya kuasa atau apa? Tahu-tahu pula bahawa aku mahu berbincang sesuatu dengannya.

"Hari ni saya tak nak ikut awak ke tempat kerja awak."

Riak muka Arjuna berubah.

"Tidak." Pendek dan keras balasan Arjuna.

"Awak mana boleh paksa saya," bangkangku.

"Well, I'm doing it."

Aku merengus geram. Nafas ditarik dalam-dalam, cuba menenangkan hati yang panas. Berhadapan dengan kerasnya Arjuna, memerlukan aku mengambil pendekatan lebih lembut.

"Awak dengar sini, Arjuna. Pertama, saya bosan macam nak mati..."

"Jangan sebut pasal mati."

"Okay, fine. Pertama, saya bosan sangat-sangat di pejabat awak tu. Kedua, saya rasa lebih baik saya tinggal di rumah. Awak boleh buat kerja awak, dan tak perlu fikirkan saya. Ketiga, saya tak fikir ada orang berani serang saya di rumah awak. Itu memang cari pasal namanya, kan?"

Sepanjang aku bercakap, Arjuna memerhati tanpa berkelip. Sebaik sahaja aku menyudahkan kata, dia terus sahaja membuka mulut.

"Kau dengar sini baik-baik."

Aku menengadah muka dan mendengar teliti.

"Pertama, aku lebih tenang kalau kau ada depan mata aku. Kedua, aku lebih tenang kalau kau ada depan mata aku. Ketiga, aku lebih tenang kalau kau ada depan mata aku," ulang Arjuna beberapa kali. Dan dengan setiap kali itu, nada suaranya semakin tegas.

Suasana hening. Kami saling bertatapan. Mata Arjuna tajam mencerun. Mataku pula...sedikit demi sedikit bertakung.

"Kau kenapa?" tegur Arjuna. Intonasi suaranya sudah mengendur.

Cepat-cepat aku melarikan pandangan dan mengerdip-ngerdipkan mata, menghalang kolam mataku daripada menghambur isi.

Arjuna datang mendekat.

"Hei, kenapa ni? Aku bukan marahkan kau."

Aku menggigit bibir menahan perasaan. Apa yang diberitahu oleh Ryohei berdengung-dengung dalam ingatan. Kenapa, Arjuna? Kenapa awak harus letakkan diri sendiri sebagai galang-gantinya? Siapa saya kepada awak? Bukan sesiapa, kan?

SALJU KYOTO (Published)Where stories live. Discover now