Bab 5

18.5K 396 98
                                    

"Banyak kau berbelanja, Yana," tegur Damia Qalisya apabila melihat tangan Yana penuh dengan beg kertas dari beraneka kedai. Tangannya pula memegang hanya satu beg kertas sahaja.

"Biasalah, baru dapat gaji," ucap Yana bersama sengihan yang panjang. Damia Qalisya hanya mengangguk tanda mengerti.

"Kau tu lainlah, Mia. Tak payah tunggu gaji. Hari-hari boleh berbelanja," tambah Yana.

"Kenapa pula?" soal Damia Qalisya sambil mengerutkan dahinya tanda tidak mengerti maksud kata-kata Yana itu.

"Buat-buat tak faham pula. Papa kau kan ada. Tak papa, Abang Dani kau kan ada. Cuma perlu minta saja."

Damia Qalisya akhirnya ketawa mendengar kata-kata temannya itu.

"Kau ingat papa dan abang aku tu baik hati sangat nak bagi selalu duit dekat aku? Puas pujuk dulu, Yana," beritahu Damia Qalisya.

Memang tidak dinafikan, ada benarnya kata-kata Yana itu. Dia memang biasa hidup dalam keadaan mewah. Apa yang dia inginkan pasti akan dia peroleh. Cuma yang penting, dia perlu bijak mencipta alasan di hadapan papa, mama dan abangnya itu. Lagipun, mungkin disebabkan dia merupakan anak bongsu dalam keluarga tersebut jadi dia sering dimanjakan oleh keluarganya.

"Habis tu, bila kau nak masuk kerja ni?"

Mereka berdua melangkah masuk ke sebuah kedai yang menjual pelbagai barangan perhiasaan wanita.

"Kau ni pun satu, sama macam papa dan abang Dani aku. Asyik-asyik tanya soal kerja. Nantilah," balas Damia Qalisya sambil matanya asyik memandang sepasang subang mutiara berwarna merah jambu yang sangat cantik.

"Ikut suka kaulah, Mia. Dah penat aku bagi nasihat dekat kau." Yana berpura-pura mengeluh berat. Damia Qalisya tiba-tiba diburu rasa bersalah.

"Baiklah, Cik Yana. Minggu depan aku masuk ofis." Akhirnya Damia Qalisya mengalah jua. Kawan punya pasal. Yana pula melonjak kegembiraan apabila melihat Damia Qalisya mengalah dengannya hari ini.

"Aku dahaga la, Mia. Jom kita singgah kafe tu dulu," ajak Yana sambil menarik tangan Damia Qalisya dan berjalan melangkah keluar dari kedai itu. Niat Damia Qalisya untuk membeli subang mutiara itu dimatikan begitu sahaja. Subang yang ada di rumah pun belum habis dipakainya, ada hati nak beli yang baru.

Mereka mengambil tempat di sudut kafe tersebut. Selepas memesan minuman, mereka kembali berbual. Damia Qalisya melihat jam di tangannya. Tepat pukul lima petang. Lamanya mereka berada di pusat membeli-belah ini. Sejak dari pukul dua petang tadi lagi. Itulah namanya perempuan. Kalau shopping, memang tak ingat apa dah. Sedang asyik mereka berbual, seorang pelayan lelaki datang menghantar minuman yang dipesan sebentar tadi. Namun, disebabkan kecuaian pelayan lelaki itu, dia tidak sengaja menumpahkan air ke atas dress yang dipakai oleh Damia Qalisya. Damia Qalisya bingkas bangun. Dia memandang dressnya yang sudah basah itu. Tiba-tiba sahaja dia berasa ingin menengking dan menampar pipi pelayan lelaki itu. Mahal tahu tak aku beli dress ni? Namun, niatnya terbatal apabila melihat wajah bersalah pelayan lelaki itu. Lagipun, pelanggan di kafe itu agak ramai. Nanti dikatakan mencari publisiti murahan pula.

"Macam mana awak buat kerja ni?" Yana tiba-tiba bersuara lantang. Ada beberapa mata yang memandang ke arah mereka.

"Tak apa, Yana. Aku okey," pujuk Damia Qalisya sambil jari telunjuknya didekatkan ke bibir menyuruh Yana merendahkan suaranya yang lantang itu.

"Maafkan saya cik. Saya betul-betul tak sengaja." Pelayan lelaki itu bersuara sambil wajahnya ditundukkan ke bawah. Dia berdiri berhadapan dengan Damia Qalisya. Damia Qalisya jadi kasihan pula melihat lelaki itu. Mungkin betul dia tidak sengaja. Benda dah nak jadi.

Sayangku MiaWhere stories live. Discover now