Tengku Iskandar meninjau sekeliling Dewan Sri Angsana itu. Tetamu semakin memenuhi ruang dewan itu. Kebanyakan mereka merupakan rakan-rakan perniagaan Tengku Iskandar. Sebentar tadi, dia telah bertegur sapa dengan beberapa orang temannya. Wajah Syamil masih belum kelihatan.
Tengku Iskandar terpanar apabila dia tiba-tiba terpandangkan kelibat seseorang. Cantiknya dia, desis hatinya. Matanya digosok berkali-kali. Pipinya dicubit kuat. Auw, jeritnya perlahan. Jadi, semua ini bukan mimpi? Memang satu kebetulan. Macam mana dia boleh ada di sini? Patutlah sejak dari tadi lagi dia rasa berdebar-debar. Dia sendiri tidak pasti dengan perasaannya sehinggalah dia ternampak kelibat seseorang itu.
Dari jauh, Tengku Iskandar melihat Tengku Maria dan Tengku Tahirudin. Jantungnya berdegup lebih kencang apabila melihat susuk tubuh yang dikenalinya itu menghampiri mommy dan daddynya. Dengan mesra dia melihat mereka bersalaman dan melaga-lagakan pipi seperti sudah lama kenal. Sejak bila mommy kenal dengan perempuan tu? Macam mana mommy kenal dengan dia? Kenapa aku tak tahu semua ini? Siapa dia sebenarnya? Pelbagai persoalan timbul dalam benak fikirannya. Mindanya ligat berfikir tentang sesuatu. Sebaik saja dia mengangkat wajahnya untuk melihat kembali mommy dan daddynya, kelibat perempuan itu sudah tidak kelihatan. Ke mana dia menghilang? Takkan aku ni berkhayal? Aku memang nampak dia dengan mommy dan daddy tadi.
Matanya melilau mencari susuk tubuh perempuan itu. Sedang dia mencari, matanya tertancap kepada Syamil dan isteri yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam dewan tersebut. Kakinya diayun ke arah Syamil. Namun, langkahnya terhenti serta-merta apabila melihat perempuan itu dulu yang menyapa Syamil dan isterinya. Lama dia memerhati mereka bertiga. Syamil juga turut mengenali perempuan itu? Siapa dia sebenarnya? Bagaimana Syamil mengenalinya? Mata Tengku Iskandar jatuh kepada raut wajah perempuan itu. Dia memang sedang berperang dengan dirinya. Kenapa perasaan ini harus muncul saat ini? Kenapa aku perlu rasa berdebar-debar? Tengku Iskandar menilik ke seluruh tubuh perempuan itu. Aku tak pernah jumpa dengan perempuan secantik dia. Teringat kembali peristiwa dia mencium pipi Damia Qalisya sewaktu di Kelantan tempoh hari. Masih marahkah dia kepada aku? Hatinya berkata dengan sendirinya.
Tengku Iskandar masih belum puas menatap wajah perempuan yang memakai kebaya pendek berwarna merah hitam itu. Baju kebaya itu terletak elok di tubuhnya. Cantik sekali. Kau buatkan tidur malam aku terganggu dan fikiran aku asyik teringatkan kau, ucap Tengku Iskandar dalam hati.
"Aku perlu tahu siapa perempuan tu sebenarnya. Macam mana Syamil boleh kenal dia?" omelnya seorang diri. Pantas tangannya mendail nombor telefon milik Syamil.
"Mil, aku nak jumpa kau kejap. Aku ada dekat hujung dewan ni," terang Tengku Iskandar. Terus panggilan dimatikan. Dirinya sudah tidak sabar untuk mengetahui perkara sebenar. Bagaimana Syamil boleh mengenali perempuan itu? Kenapa mommy dan daddy turut mengenali perempuan itu dan kenapa perempuan itu turut berada di sini?
"Is, ada apa kau panggil aku ni? Aku ingat kau tak datang," sapa Syamil seraya menepuk lembut bahu temannya.
"Mommy yang paksa. Aku nak tanya kau ni, Mil. Dengan siapa kau berbual tadi?" soal Tengku Iskandar tidak sabar. Hatinya meronta-ronta untuk mengetahui perkara sebenar.
"Siapa? Datuk Hisyam ke?" soal Syamil kembali. Dia sendiri tidak ingat dengan siapa dia berbual sebentar tadi kerana ramai yang menegurnya.
"Bukan lelaki tapi perempuan," beritahu Tengku Iskandar.
"Yang mana satu ni, Is? Aku pun tak ingat."
"Perempuan yang pakai baju kebaya pendek warna merah hitam tadi tu. Siapa dia?" gesa Tengku Iskandar.
Syamil cuba mengingati sesuatu. Siapa yang memakai baju kebaya pendek berwarna merah hitam? Otaknya ligat berfikir.
"Oh, itulah Damia Qalisya," balas Syamil pendek.
YOU ARE READING
Sayangku Mia
RandomHidup Tengku Zharif Iskandar a.k.a buaya darat Malaya dikelilingi dengan ramai perempuan. Istilah cinta sudah lama terpadam dari kamus hidupnya. Yang tinggal hanyalah dendam semata-mata. “Aku belum jumpa perempuan yang mampu buat jantung aku berdegu...