"Morning semua," ucap Tengku Iskandar sebaik kakinya diatur langkah ke arah meja makan. Terus punggungnya dilabuhkan ke atas kerusi meja makan. Tengku Amran dan Tengku Hana bagaikan terkejut melihat abang mereka bersarapan bersama mereka pada pagi minggu begini.
"Kenapa tengok aku pelik macam tu?" soal Tengku Iskandar kepada Tengku Amran apabila melihat wajah di hadapannya itu seperti tidak puas hati memandangnya.
Tengku Amran tersengih panjang.
"Pelik. Am tengok abang kerap balik rumah daddy sejak akhir-akhir ni. Abang dah jual rumah abang ke? Daripada jual, baik kasi dekat Am," ujar Tengku Amran panjang lebar.
Tengku Iskandar membesarkan matanya.
"Salah ke kalau aku nak balik kerap rumah ni? Sekali sekala, nak rasa air tangan mommy," balas Tengku Iskandar berserta senyuman lebar. Tengku Amran memang suka sangat mencari salahnya.
"Tak salah, cuma Am hairan. Sebelum ni nak nampak batang hidung pun susah. Dalam sebulan, dua tiga kali saja abang datang sini," luah Tengku Amran. Dirinya benar-benar hairan melihat sikap abangnya yang kerap pulang ke rumah akhir-akhir ini. Bukannya dia tidak suka, tetapi apa yang membuatkan abangnya itu berubah kali ini?
"Betul cakap adik kamu tu, Is. Mommy pun hairan dengan kamu sejak akhir-akhir ni. Banyak termenung pula tu. Is ada masalah dekat pejabat ke?" sampuk Tengku Maria yang baru sahaja muncul dari dapur membawa semangguk nasi goreng.
"Mommy tak suka ke Is balik sini selalu?" soal Tengku Iskandar berbaur merajuk. Kalau aku balik rumah pun salah, kalau aku tak balik pun salah. Hai la, macam-macam sungguh.
"Isy, kamu ni. Mommy paling suka kalau anak-anak mommy ni ada dekat rumah dengan mommy. Tapi, Hana aje yang selalu temankan mommy. Dua orang lagi ni, bertuah." Tengku Maria mencebik. Pandai juga Tengku Maria merajuk.
"Ala... Mommy merajuk ke? Is minta maaf, mommy. Is sibuk sangat dengan kerja sampai terlupa nak jaga hati mommy," ujar Tengku Iskandar serius.
Meletus ketawa kecil Tengku Amran.
"Sibuk dengan kerja ke sibuk dengan perempuan?" seloroh Tengku Amran. Tengku Hana yang mendengar turut ketawa bersama Tengku Amran.
Tengku Iskandar menjegilkan matanya ke arah kedua-dua adiknya.
"Meriahnya daddy dengar pagi ni. Apa yang seronok sangat ni?" soal Tengku Tahirudin yang baru sahaja muncul.
Tengku Iskandar meletakkan jari ke bibirnya menyuruh Tengku Amran dan Tengku Hana diam daripada terus ketawa.
"Eh, anak bertuah daddy pun ada juga dekat sini? Kali ni masalah apa pula yang kamu buat sampai kamu datang sembunyi dekat sini? Perempuan mana pula yang asyik kejar kamu?" Bertalu-talu soalan yang dilontarkan oleh Tengku Tahirudin. Tengku Amran dan Tengku Hana semakin galak menghamburkan tawa.
Tengku Iskandar tersenyum kelat. Ada sahaja yang keluar dari mulut daddynya setiap kali mereka bersemuka.
"Errr... Is mana ada timbulkan masalah pun kali ini," ujarnya tergagap-gagap.
Tengku Tahirudin menggeleng. Dia sendiri sudah tidak tahu nasihat apa lagi yang patut dia berikan kepada anak sulungnya itu. Sudah berbuih mulutnya menasihati Tengku Iskandar supaya berubah tetapi Tengku Iskandar tetap begitu. Namun, dalam diam Tengku Tahirudin memuji sikap Tengku Iskandar yang sentiasa serius dalam kerjayanya.
"Yalah tu. Mana-mana daddy pergi orang bercakap pasal kamu, Is. Kamu tu bukan kecil lagi. Daddy pun dah tak tahu macam mana nak tegur kamu," bebel Tengku Tahirudin.
Tengku Iskandar mengangguk lemah tanda mengerti kata-kata daddynya. Beginilah jadinya kalau dia bertemu dengan Tengku Tahirudin. Sebab itulah Tengku Iskandar malas nak balik rumah ni. Semua orang akan membebel.
"Mommy, daddy, Is sebenarnya ada sesuatu nak beritahu," luah Tengku Iskandar. Jus oren diteguknya bagi menghilangkan debar dalam hati.
"Apa yang Is nak beritahu?" soal Tengku Maria.
Semua mata tertumpu kepada Tengku Iskandar pada waktu ini.
"Is... Is sebenarnya..."
"Sebenarnya apa?" pintas Tengku Tahirudin tidak sabar. Dalam hatinya bimbang Tengku Iskandar membuat perkara yang tidak elok pula kali ini.
"Is nak kahwin!" Huh! Akhirnya, terlafaz juga apa yang aku nak cakap.
Suasana yang sepi sebentar bertukar riuh terutama dengan gelak tawa Tengku Amran dan Tengku Hana setelah mendengar perkara ini.
"Kahwin? Is, kamu jangan cakap dekat daddy yang kamu dah mengandungkan anak orang sampai nak kahwin ni." Nada suara Tengku Tahirudin sudah bertukar tinggi kali ini. Ya Allah, apa lagi yang anak aku dah buat kali ini? Jelas riak kerisauan di wajahnya. Begitu juga dengan Tengku Maria. Terkejut mendengar kata-kata anak sulungnya itu.
Tengku Iskandar pula membulatkan matanya mendengar tuduhan daddynya yang secara tiba-tiba itu. Tidur dengan anak orang pun aku tak pernah, ini kan pula nak mengandungkan dia orang.
"Is tak sentuh pun mana-mana perempuan, ini kan nak mengandungkan mereka pula."
"Tak sentuh kamu cakap? Yang kamu bawa ke merata tempat, berpeluk tak ingat dunia tu bukan sentuh namanya?" Terus Tengku Tahirudin membebel.
"Kenapa Is sanggup buat macam ni dekat mommy dan daddy?" tambah Tengku Maria pula kali ini. Dia begitu kecewa jika benar anaknya telah mengandungkan anak dara orang.
"Mommy, daddy, Is tak mengandungkan anak sesiapa pun. Is tak tipu." Bersungguh-sungguh Tengku Iskandar meyakinkan mommy dan daddynya.
Tengku Amran sudah terkekeh-kekeh ketawa. Kelam kabut keluarga mereka disebabkan abangnya itu.
"Abang nak kahwin dengan siapa? Wawa? Diana? Sheila? Bella? Ataupun Kathy?" sampuk Tengku Amran yang lama tidak bersuara.
"Kau diam!" marah Tengku Iskandar.
"Mommy, daddy dengar la dulu apa yang Is nak cakap ni. Is setuju dengan rancangan mommy dan daddy nak satukan Is dengan anak Uncle Aziz."
Tengku Maria tersenyum lebar mendengarnya. Dadanya diurut lega. Tengku Tahirudin juga begitu. Tidak menyangka Tengku Iskandar akan bersetuju dengan permintaan mereka kali ini. Sebelum ini, pelbagai cara telah dilakukan oleh Tengku Iskandar supaya tidak dijodohkan dengan pilihan mereka.
"Betul ke ni? Syukur. Mommy gembira sangat. Terima kasih Is sebab ikut cakap mommy dan daddy kali ini," ucap Tengku Maria penuh bahagia. Sudah tidak sabar dia mahu menerima menantu.
"Lega daddy dengar, Is. Buang la tabiat buruk kamu tu," tambah Tengku Tahirudin.
"Seriously? Abang nak kahwin dengan Kak Mia?" Tengku Hana yang hanya mendiamkan dirinya sedari tadi akhirnya bersuara. Macam tak percaya abangnya tiba-tiba ubah keputusan.
Tengku Iskandar mengangguk laju. Tengku Amran pula termangu sendirian.
"Kejap. Siapa anak Uncle Aziz? Mia? Am tak faham la, mommy."
Kali ini mereka berempat pula ketawakan Tengku Amran yang sudah ketinggalan.
"Kau tak payah sibuk la. Yang nak berkahwin aku, bukan kau," jawab Tengku Iskandar.
Tengku Amran mencebik. Buang tabiat agaknya abang aku ini. Tiba-tiba setuju untuk kahwin dengan pilihan mommy dan daddy. Selalunya dia bukan begini. Agaknya abang dah kena sampuk kut? omelnya sendirian dalam hati.
"Am keluar dulu. Ada hal. Hana, hari ni kau suruh Abang Is hantarkan kau ke kelas. Abang Am busy. Alang-alang dia dekat sini kan, Abang Is?" ujar Tengku Amran bersama sengihan panjang sebelum melangkah pergi dari situ. Sempat kepala adik bongsunya diusap perlahan. Tengku Hana mencebik. Selalunya Tengku Amran yang akan menghantarnya ke sekolah untuk menghadiri kelas tambahan pada hujung minggu begini tapi nampaknya hari ini driver lain pula la yang menghantarnya.
Tengku Tahirudin dan Tengku Maria hanya mampu menggeleng melihat kelibat anak lelakinya yang semakin menghilang. Tengku Amran pun bukan seorang yang mudah mendengar nasihat. Saling tak tumpah macam abangnya cuma dia belum lagi dikategorikan sebagai buaya darat.
YOU ARE READING
Sayangku Mia
RandomHidup Tengku Zharif Iskandar a.k.a buaya darat Malaya dikelilingi dengan ramai perempuan. Istilah cinta sudah lama terpadam dari kamus hidupnya. Yang tinggal hanyalah dendam semata-mata. “Aku belum jumpa perempuan yang mampu buat jantung aku berdegu...