7 tahun kemudian...
LELAKI segak berpakaian dengan sut serba hitam berdiri tegak di hadapan pintu masuk lapangan terbang. Seorang lelaki berkemeja putih menghampiri. Lelaki itu mengambil bagasi yang berada di sisinya. Sebuah kereta mewah jenis sudah sedia menunggu. Bagasi itu dimasukkan ke dalam but kereta berkenaan. Dia turut melangkah masuk ke dalam perut kereta. Ada seorang lagi lelaki turut berada di dalam kereta tersebut.
"Kamu sudah dapat cari dia?" Lelaki itu menyoal, keras.
Riaknya serius.
Lelaki yang berbadan agak gempal itu mengganggukkan kepalanya. Dia menghulurkan satu sampul surat ke arah lelaki terbabit. Sampul surat bertukar tangan.
"Seperti yang Tuan Tajul pinta."
"Bagus!"
Kereta itu bergerak meninggalkan pekarangan lapangan terbang.
"Apa saja perkembangan tentang dia, selidik tanpa ada tercicir satu perkara pun."
"Baik, Tuan Tajul."
Nafas dihela perlahan. Dia menghulurkan sekeping lagi gambar kepada lelaki yang dipanggil Tuan Tajul itu.
"Emmm... Tidak mengapa. Saya tahu apa yang harus saya lakukan."
Gambar itu ditatap. Bibirnya diketap rapat.
"SAMPAI bila awak nak bekerja di restoran tu? Carilah kerja yang lebih bagus." Suara Naashif.
Mata yang sedang merayapi senarai hidangan dalam menu itu beralih arah. Menu diletakkan semula ke dada meja.
"Zaman sekarang tak boleh memilih pekerjaan. Awak malu saya kerja di restoran?" Dia bertanya lembut.
"Setahun awak bekerja di situ. Awak cakap sementara saja."
Seboleh Naashif mahu kekasihnya itu mempunyai pekerjaan yang lebih stabil. Lebih terjamin. Itu tidak bermaksud dia lelaki jenis biawak hidup, tetapi dia mahu kekasihnya berada sama taraf dengan kerjayanya.
"Saya masih boleh survive dengan gaji di restoran western tu."
Dia bekerja dari bawah. Dari seorang pencuci pinggan dan pelayan sehingga dia dinaikkan pangkat supervisor restoran berkenaan.
"Saya tahu gaji di situ boleh mahal, tetapi masa awak untuk saya amat terhad. Sabtu dan Ahad pun awak bekerja. Itu belum lagi kerja part time awak sebelah malam. Buat kek lapis." Naashif mendengus. Kata-kata Naashif seolah-olah memandang rendah pekerjaan kekasihnya.
Nina Ezuryn mengetap bibir. Sayang dia mahu behenti di restoran itu. Pangkatnya juga sudah naik. Dia bukan lagi pelayan di situ. Kerja di tempat lain belum tentu dia akan memperolehi gaji semahal itu. Tambahan pula ada overtime. Dengan duit bekerja di restoran itulah dia dapat membeli sebuah kereta wira second hand. Kemudahan untuk dia berulang-alik ke tempat kerja dan menghantar ayah ke hospital untuk rawatan.
"Saya ajak awak kahwin, awak kata masih belum bersedia. Sekarang awak merungut pula," getus Nina Ezuryn.
"Saya masih mengumpul duit. Saya tak mahulah pakai duit family," balas Naashif.
Itu saja alasannya. Alasan itu membuatkan Nina Ezuryn jadi muak. Adakala dia merasakan yang Naashif sudah tidak serius dalam perhubungan mereka. Dia tidak mengharapkan apa-apa daripada Naashif lagi. Dia tidak mahu kecewa.
"Empat tahun awakkumpul duit masih belum cukup? Saya tak kisah jika majlis pernikahan kita sederhana. Tak perlu nak grand sangat. Kalau nak kongsi duit pun boleh. Saya ada duit simpanan."
Nina Ezuryn merenung wajah lelaki di hadapannya.
"Nina... family saya bukan sebarangan. Family saya ada kedudukan. Mereka tak mahu majlis yang tangkap muat. Saya bukan suka pakai duit perempuan, tambah pula nak berkongsi-kongsi duit. Saya lelaki. Gaji saya lebih mahal daripada awak," Naashif menggumam. DIa tidak suka dengan kata-kata yang menunjukkan seperti dia bergantung harap dengan perempuan.
Nina Ezuryn melepaskan keluhan berat.
"Awak nak saya tunggu berapa tahun lagi? 10 tahun? 20 tahun?" kata-kata Nina Ezuryn berbaur sindiran.
Sebelum ini, Naashif tidak memikirkan soal kedudukan. Kenapa baru sekarang lelaki itu menyuarakan tentangnya.
"Bagi saya tempoh setahun lagi."
Kalau tidak fikirkan perasaan sayang terhadap Naashif memang sudah lama dia meninggalkan lelaki itu. Acapkali mereka bertekak, Naashif akan memujuk rayu memulihkan semula hubungan yang dingin.
"Awak sudah beritahu keluarga awak tentang saya? Saya tak mahu mereka pandang serong dengan status saya."
Dari riak air muka Naashif, dia tahu lelaki itu masih berahsia tentang status dirinya. Nina Ezuryn tidak mahu menipu. Dia pernah berkahwin sebelum ini. Naashif beria-ia memikat hatinya dan tidak kisah status yang dia miliki. Lelaki itu menunjukkan keikhlasan menerima dia seadanya. Tapi kini...
"Hal kecil tak jadi kudis pun."
"Naashif..."
"Nina, yang penting saya sukakan awak."
"Bila saya berkahwin dengan awak, keluarga awak akan menjadi keluarga saya. Awak kena ingat tu."
Dia tidak mahu pernikahan merekaa tanpa restu kedua ibu bapa Naashif.
Naashif membisu sejenak. Dari awal perkenalan mamanya tidak begitu berkenankan Nina Ezuryn. Kedudukan mereka bagaikan pipit dengan merak kayangan.
"Awak jangan fikirkan sangatlah soal tu. Sekarang ni awak kena cari kerja yang bagus. Baru mama pandang awak."
Nina Ezuryn mengulum senyum pahit. Apa yang hendak dimalukan bekerja di restoran itu? Rezeki halal. Ada masanya Nina Ezuryn makan hati dengan sikap Naashif. Lelaki lebih mementingkan diri sendiri dan suka membandingkan dia dengan kekasih teman-temannya.
"Saya tak selera nak makan. Hantarkan saya balik."
Dia bingkas bangun. Seleranya sudah mati. Sebolehnya dia ingin mengelak dari terus bertegang urat dengan Naashif. Hubungan mereka bertambah semakin keruh.
"Okey."
Bersambung
YOU ARE READING
BENCIKU CINTAIKU
General FictionSinopsis Perkahwinan yang terbina antara Tajul Qhalif dan Nina Ezuryn terlerai akibat perasaan dengki manusia yang tidak suka melihat kebahagiaan mereka. Kejamnya Tajul Qhalif memisahkan Nina Ezuryn dengan anaknya yang masih kecil. Pilihan dibuat de...