Surat Cinta

611 23 19
                                    

Sehelai kertas berketebalan 80gsm, berwarna kuning. Di atas kertas itu ada sebatang pen dakwat gel berwarna biru. Di sebelah kanan kertas itu pula ada sebilah pisau kecil. Semua itu berada di atas sebuah meja.

Oh, bukan! Aku bukannya sedang berlatih membina ayat dengan menggunakan pelbagai penjodoh bilangan. Bukan juga hendak berlatih menulis agar tulisan aku menjadi lebih cantik dan kemas. Semua itu aku perlukan untuk menulis surat cinta. Walaupun aku tidak suka warna kuning menyala itu, tetapi aku harus menggunakan warna itu sebab orang yang ingin aku tujukan surat cinta itu nanti sangat gilakan warna kuning. Eh, janganlah gelakkan aku! Jangan ingat aku tidak tahu yang kamu pun pernah menulis atau sekurang-kurangnya mendapat surat cinta.

Bakal penerima surat ini kita gelarkan sahaja dengan nama Kapten. Ada sebab aku beri gelaran itu. Aku tidak akan memberitahu kamu sebabnya kerana aku takut nanti kamu semua akan bocorkan rahsia aku. Kenapa aku perlu menulis surat cinta kepada Kapten? Inilah yang sedang aku pertimbangkan. Dia bukan kekasihku. Dia sahabat baikku. Tetapi disebabkan aku telah jatuh cinta kepadanya, maka kawan Kapten yang juga merupakan kawan aku mencadangkan agar aku meluahkan perasaanku melalui surat.

"Kau tulis saja surat cinta kepada dia. Luahkan perasaan kau," cadang Isa seminggu yang lalu.

"Aku tak mahu. Kau tahu, aku selalu jadi posmen yang menyampaikan surat-surat daripada peminat dia. Dia tak pernah layan bahkan dia ketawakan luahan perasaan gadis-gadis cantik itu. Kau mahu dia ketawakan aku juga?" bantahku.

Cadangan Isa itu aku tolak bulat-bulat ketika itu. Namun sekarang aku sedang memikirkan kewajaran untuk menulis surat cinta kepada Kapten.

Aku tidak sanggup menjadi mangsa kutukan Kapten. Aku tahu hal itu. Aku yang selalu bersama dia membaca warkah-warkah penuh bicara romantis itu. Kadang-kadang isi surat itu mampu membuatkan bulu roma aku meremang. Ayat bukan main canggih lagi tetapi apabila menulis karangan dalam kelas tidak pula dapat merangka ayat dengan cantik. Adakalanya aku malu sendiri. Surat-surat cinta itu nampak benar menggambarkan rahsia hati si penulis, seperti perigi mencari timba. Dan setahu aku, Kapten tidak pernah membalas surat-surat itu. Aku yang selalu menjadi suruhannya untuk menggunting surat itu halus-halus lalu direndam dengan air sehingga kembang dan bergumpal. Gumpalan kertas itu akan dibuang ke dalam mangkuk tandas (sama ada tandas di blok kelas atau di asrama puteri). Dahsyat sungguh, kan? Jadi, dari mana aku harus mendapatkan kekuatan untuk menulis surat kepada Kapten?

Akhirnya, aku simpan semula kertas, pen dan pisau itu ke dalam beg. Bilik belajar yang terletak di tingkat bawah asrama itu aku tinggalkan. Malam nanti aku akan cuba menulis barang sebaris ayat. Kalaupun nanti aku tidak menghantar surat itu, sekurang-kurangnya aku sudah cuba menulis sesuatu kepada Kapten. Dan surat itu aku akan simpan buat kenangan. Atau jika aku membuat keputusan untuk menghantar surat itu, aku akan membuat salinan fotokopi sebelum aku hantar. Sekadar untuk simpanan peribadi. Mana tahu nanti surat cinta aku pun mendapat nasib seperti surat-surat cinta yang lain...

Assalamualaikum warahmatullah...

Setelah dua hari bertungkus-lumus menyiapkan surat cinta... (eh, aku gurau sahaja!) Mana boleh aku bertungkus-lumus untuk melakukan kerja yang tidak ada kaitan dengan pelajaran. Maksud aku, setelah aku memerah otak kananku sementara waktu terluang yang ada untuk menulis surat, hanya sepatah salam sahaja yang mampu aku coretkan. Nah, aku sudah boleh menggunakan istilah penuh sastera! Perkataan 'coret' itu aku cedok daripada buku yang pernah aku baca. Aku rasa perkataan itu sangat cantik dan mungkin aku dapat markah besar dalam matapelajaran Bahasa Malaysia kalau aku menggunakan perkataan itu.

Apa yang aku merepek ini? Percayalah, aku jarang begini. Aku tidak suka membiarkan fikiran aku melayang ke mana-mana tanpa tujuan. Selalunya, malam-malam begini, kalau tidak ada kerja sekolah, aku suka membuat latihan Physics, Chemistry atau Additional Mathematics. Malam ini berlainan sekali. Tengoklah sekarang, mataku berpinar-pinar dengan cahaya kuning hasil pantulan kertas yang bakal menjadi surat cinta itu. Begini sukarkah hendak menulis surat cinta?

SURAT CINTAWhere stories live. Discover now