Cinta Sekufu

79 9 0
                                    


Aku membiarkan Haiza mengikut langkahku masuk ke dalam bilik sedangkan barang-barangnya telah pun aku letakkan di dalam bilik tetamu di sebelah bilik tidurku. Aku tidak kisah akan kehadiran Haiza di dalam bilik ini kerana bilik ini dahulunya menjadi medan lepak Haiza setiap kali bertandang ke Kuching. Sekarang situasinya sudah berbeza. Dia datang bersama suami, jadi bilik tidurku bukan lagi wilayah jajahannya.

Kalau ditanya kepadaku, sudah pasti aku lebih suka situasi sebelum ini. Jarang-jarang dapat bertemu, kami hanya akan tidur apabila mata betul-betul sudah tidak mampu bertahan lagi. Selalunya malam-malam yang kami lalui akan kami penuhkan dengan pelbagai cerita, sepanjang waktu yang kami tidak dapat bersama sedangkan segala kisah-kisah itu sudah kami kongsikan dengan bantuan teknologi mutakhir. Berbicara tanpa bertentang mata memang tidak puas, kan?

Aku mendekati jendela yang tertutup. Aku leka menghayati pemandangan di luar bilik melalui cermin lut cahaya itu. Haiza aku biarkan buat-macam-bilik-sendiri. Sementelah, bilik ini bagaikan rumah kedua bagi Haiza sebelum dia bergelar isteri.

"Masih lagi mengintai dari tirai kamar?" soal Haiza.

Aku menoleh mencari kelibatnya. Dia sedang duduk di meja belajarku, menghadap komputer riba yang memang terpasang sebelum aku menyambut kehadirannya bersama suami di ruang tamu tingkat bawah sebentar tadi.

"Apa?"

"Jangan buat-buat tidak faham. Aku komen entri ini guna akaun wattpad kau nanti, biar padan muka kau!" ugut Haiza.

Aku mendekati Haiza. Aku turut merenung monitor komputer riba yang sedang memaparkan wattpad yang berlatar belakang putih itu.

"Buatlah kalau kau berani," cabarku.

"Baiklah, aku taip komen sekejap," sahut Haiza sambil tangannya mula mendarat di atas papan kekunci. "I love you lillahi taala..."

"Haiza... apa yang kau taip ini? Cepat padamkan semula," arahku apabila aku terpandang ayat yang dia taipkan di ruang komen wattpad milik Hisyammudin itu.

Haiza tergelak kecil. "Tahu takut... Tadi beria sangat kau ugut aku. Aku tahulah, takkanlah aku mahu letak komen begitu. Aku tahu dia sudah berkahwin."

"Macam mana kau tahu?"

"Eh, kau ingat kau seorang peminat dia? Aku pun peminat dia, tahu?"

Aku mengambil sebuah lagi kerusi lalu duduk di sebelah Haiza. Bahunya menjadi sandaranku. Kupejamkan mata untuk menahan air mata dari menitis. Aku sudah berjanji kepada diri sendiri untuk menjadi gadis yang tabah dan kembali ceria seperti dahulu.

"Lin, kau tidak boleh terus begini. Sedangkan selama ini kau tidak pernah berusaha, kenapa kau perlu kecewa?"

"Haiza, aku tahu kau ambil berat tentang diri aku. Terima kasih. Tetapi biarlah aku begini buat masa ini. Insya ALLAH aku akan pulih dari kesedihan ini." Dengan lemah, aku membalas kata-kata Haiza. Tidak pernah aku ketahui bahawa perasaan sedih boleh membuatkan seseorang menjadi tidak bertenaga. Aku rasa mahu tidur selama-lamanya.

Astaghfirullah al 'azim!

"Bukankah dahulu aku pernah menasihati kau? Kau tidak akan dapat ikan yang kau mahu dengan hanya memandang ke dalam sungai dan melihat ia berenang. Ikan itu tidak akan melompat sendiri ke arah kau. Kau perlu memancing atau dengan apa cara sekali pun yang dibenarkan untuk mengambil ikan itu. Kalau kau tidak dapat ikan itu, sekurang-kurangnya kau sudah mencuba. Mana tahu, dapat ikan yang lain..."

"Eiii... kau samakan dia dengan ikan? Tidak senonoh betul!" Aku tersengih di hujung bicara. Analogi yang disampaikan oleh Haiza itu sudah lama aku dengar. Semenjak dia mengetahui yang aku tertarik kepada Hisyammudin lagi.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jan 12, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

SURAT CINTAWhere stories live. Discover now