Hari ini merupakan hari bahagia bagi Muslihah. Zohor nanti Muslihah akan diijabqabulkan dengan tunangannya setelah enam bulan mengikat janji. Lelaki itu, seorang doktor bernama Al-Hussain bin Abdullah.
'Nama sebenar Ibnu Sina, tokoh perubatan Islam,' bisik hati Fakhir tatkala melihat nama mempelai yang tercetak di atas kad jemputan walimatul urus yang diterima sebulan yang lalu.
Satu keluhan dilepaskan. Fakhir tersandar di sisi katil. Semenjak selesai menunaikan solat subuh tadi dia termangu di atas sejadah. Mencari kekuatan untuk berhadapan dengan kenyataan bahawa Muslihah akan menjadi suri hati Doktor Al-Hussain. Tanpa sedar, bibir meratip nama Muslihah sementara jari-jemarinya menggerakkan butir-butir tasbih satu per satu.
Astaghfirullah al'azim! Fakhir menghentikan perbuatan yang sia-sia itu. Perlahan-lahan dia bangkit dari duduk iftirasy (duduk seperti tahiyat awal). Baharu terasa kakinya kebas sedangkan hampir sejam dia mengelamun. Tubuh yang tidak bertenaga itu rebah di atas katil. Mata terpejam dengan tangan di dahi. Fakhir mengeluh lagi!
*****
Kunjungan daripada Encik Karim bersama-sama isterinya sudah dijangka oleh Fakhir. Tetapi dia belum bersedia lantas dia menguncikan diri di dalam bilik. Dari sebalik pintu kayu itu, Fakhir mengintai perbualan tetamu-tetamu itu dengan abinya yang sedang duduk di ruang tamu.
"Abang Haji, saya minta maaf bagi pihak Muslihah dan keluarga saya, kami terpaksa memutuskan janji antara kita. Kami pulangkan cincin ini kerana Muslihah tidak lagi berhak untuk memakainya."
"Karim, tidak perlulah sampai hendak pulangkan cincin. Kami sudah memberi dengan ikhlas, tidak elok pula kalau kami ambil semula. Simpanlah. Kalau Muslihah tidak mahu memakainya, Siti pakailah," ujar Tuan Haji Mokhsin, merujuk kepada isteri Encik Karim.
Encik Karim menarik semula bekas cincin yang dihulurnya.
Tuan Haji Mokhsin menyambung; "Soal putus tunang, saya sedikit pun tidak menyalahkan keluarga Karim. Kalau saya berada di tempat Karim, pasti saya juga akan melakukan hal yang sama. Saya kesal, Karim. Dia yang saya didik dengan ilmu agama, sanggup melakukan hal itu."
"Budak-budak, Abang Haji. Selalu menurut kata hati. Lebih-lebih lagi dalam alam pertunangan. Darah manis kata orang. Fakhir itu bukan tidak baik. Tetapi, itulah... semakin baik seseorang itu, semakin kuatlah syaitan menggodanya. Tersilap langkah, masuk perangkap syaitan. Abang Haji nasihatkanlah dia supaya bertaubat. Insya ALLAH, dosanya akan diampunkan. Kami pun tidak menyimpan dendam. Dalam hal ini, Muslihah turut bersalah."
Tuan Haji Mokhsin mengangguk. Dikerling seketika bilik anak terunanya. Bukannya dia tidak tahu yang Fakhir mendengar perbualan mereka. Dia perlukan masa untuk mengampunkan dosa anaknya. Hati tuanya yang terluka belum mampu terubat hanya dengan lafaz maaf daripada Fakhir.
"Ikutkan hati, sudah saya sebat si Fakhir itu seratus kali!" getus Tuan Haji Mokhsin.
Encik Karim tergamam sesaat. Dia kemudiannya tersenyum nipis. Tangan Tuan Haji Mokhsin dipegang. "Fakhir tidak perlu disebat, Abang Haji. Mereka berdua belum sampai ke tahap berzina seperti perumpamaan celak yang masuk ke dalam bekasnya. Kalau menurut pendapat saya, elok sahaja mereka disatukan tetapi Muslihah yang beria-ia mahu memutuskan pertunangan ini. Dia tidak dapat menerima Fakhir lagi katanya. Sebagai orang tua, saya mahukan yang terbaik untuk anak-anak kita. Malu juga sebenarnya hendak menghadap Abang Haji untuk menyampaikan hasrat Muslihah ini."
Badan Tuan Haji Mokhsin terhinggut-hinggut. Dia menangis!
"Muslihah sudah saya anggap macam anak sendiri. Saya memasang angan-angan untuk melihat Fakhir bersatu dengan Muslihah dengan ikatan yang sah. Saya mengimpikan kehadiran Muslihah ke dalam rumah ini akan membawa seri setelah ummi Fakhir tiada lagi. Fakhir... Fakhir..."