Bab 4

267 5 0
                                    

4

TAK jadi juga Jujen nak bercandlelit dinner dengan Vic di luar malam tadi. Bangun tidur pun dah pukul berapa. Terpaksa juga Jujen memasak juadah makan malam walaupun siang tadi dia dah muktamad nak mogok masuk ke dapur. Dia masak juadah ringkas sahaja. Macaroni and cheese. Malas nak beria-ia. Yang penting, perut kenyang.
Vic dah okey. Dah sembang gelak-gelak macam biasa semula malam semalam. Betullah cakap emak. Dalam rumah tangga, yang paling penting selain makan, pakai dan hubungan kelamin ialah komunikasi. Itu yang paling penting sekali bagi setiap pasangan jika mahu rumah tangga kekal harmoni. Hari-hari kena bersembang dengan pasangan. Jangan mengamuk. Sembang. Kalau ada yang tak puas hati atau menggores perasaan, bawa berbincang. Jangan memuncung merajuk tak tentu hala. Elok perkara tu boleh diselesaikan dengan cepat jadi lambat. Kalau pasangan meninggikan suara, jangan kita pun ikut sama meninggikan suara kita. Biarkan sahaja. Kita, sama ada diam atau kita cakap lembut-lembut. Iakan sahaja cakap dia. Tak usah dilawan. Ikutkan sahaja rentaknya dan pujuk pelan-pelan. Kejap lagi baiklah dia. Kalau kita sama mengamuk, itu yang sampai berbulan-bulan tak baik tu. Sampai bercerai-berai pun ada.
Wah! Terror kau, Jujen. Boleh tulis buku tip-tip berumah tangga ni. Ajak emak sekali sebagai penasihat. Mesti dia nak.
Kerja rumah dah selesai. Kerja butik sikit lagi dia buat. Bukannya kena buat apa pun. Nak kemas kini akaun sahaja. Jujur Jujen katakan, bosan sangat-sangat bekerja jarak jauh ni. Hanya duduk di hadapan komputer riba, mengemaskini apa yang patut. Itu sahaja. Sebab itulah dia tak suka bekerja di pejabat. Bosan giler. Dia suka keluar berjumpa dengan orang. Bersembang-sembang dan mengaut ilmu baru daripada orang yang ditemuinya.
"Mungkin elok jugak aku kerja kat restoran tu," tuturnya sambil membaca status kawan-kawan di News Feed Facebooknya. Widelia mengandung lagi. Minah tu subur betul. Dulu bukan main lagi dia tak nak dekat si Haikal tu. Dah dapat, jadi kilang buat anak kau, Wid! Azita sibuk bercerita tentang produk terbaharu. Haram dia nak jawab Inbox Jujen. Sibuk sangat kut. Nuha pulak dah jadi minah jiwang. Bersajaklah, tulis ayat-ayat cintalah, jodohlah... macam-macam. Dia ni dah nak bernikah sangat ni. Dah berkehendakkan. Kena nikah cepat-cepat. Baru hilang sengalnya. Dengan mat salih Kanada hari tu tak jadi.
Ternampak status adik lelakinya yang menaikkan gambar emak dan abah di sebelah motosikal besar abah. 'Mak abah korang hado?', kapsyen yang mengiringi gambar itu. Baru Jujen teringat dia masih belum menelefon emak untuk memberitahu tentang surat emak yang diterimanya semalam. Dia ke meja kopi, menggunakan telefon rumah untuk menelefon ke Malaysia. Guna telefon pintar mahal. Baik guna kad sahaja. Banyak jimatnya.
Lama telefon berdering barulah suara emak kedengaran di hujung talian.
"Assalamualaikum, mak..." sapa Jujen dengan ceria.
"Kamu tahu tak pukul berapa sekarang ni, Jen? Kamu tahu tak?" jerkah emak Jujen.
"Allah!" Jujen toleh ke arah jam dinding. Dia cuba mengira perbezaan masa antara Malaysia dengan Toronto tetapi terkejut kena marah punya fasal sampai serabut kepalanya tak boleh fikir. "Pukul berapa sekarang ni, mak?"
"Satu pagi, Jujen oiii... apa jadah kamu telefon mak pepagi buta ni? Ya Allah... aku ler budak ni!" Emak menguap kuat. Mengantuk pun masih garang lagi suaranya.
"Tak apalah, mak kalau macam tu."
"Kepala otak kamu! Cepat cakap. Alang-alang aku dah bangkit ni, cakap ajelah. Kamu bergaduh ke apa yang kamu tak sabo tunggu siang nak telepon aku ni?"
"Mak ni... sejak Jujen dah nikah ni, mak kaso betoi cakap dengan Jujen."
"Ater... dulu kamu anak. Sekarang ni status kamu dah sama dengan mak. Dah sama pangkat. Tak koser ler aku nak jaga cakap aku lagi dah. Ater cer kabo, apahei kamu tak boleh tunggu siang nak telepon aku ni?"
"Sini siang, mak."
"Kamu ni, kan... dah lama kamu duduk sana. Takkan kamu tak faham lagi beza masa Malaysia dengan tempat kamu tu? Hisy, Jujen... Jujen. Takkan semuanya mak nak ajo kamu, Jen... penat ler macam ni. Kamu dah nikah. Dah jadi bini orang. Pandai-pandai ler kamu bawak diri. Aku nak ngajo adik-adik kamu lagi. Hai... penat mak kamu buat, Jen. Deraih ler... apa benda yang kamu nak cakap kat mak?"
"Errr... kami dah terima surat mak. Itu je Jujen nak kabo."
"Hah? Baru sampei? Ya Allah... naik apa? Idak ke naik kapei terobang?"
"Naik kapei terobang, mak."
"Habih tu ngape lambat beno baru sampeinya? Rasanya dah lama beno aku nganto surat tu kat kamu."
"Bukannya dekat, mak. Jauh. Errr... itu je ler Jujen nak kabo kat mak. Aaa... tahun depan kami balik. Insya-Allah."
"Balik ke mana?"
"Malaysia ler."
"Balik teruih?"
"Idak ler, mak. Balik kejap je. Dua minggu katanya nak duduk kat Malaysia. Tengok mak ngan abah."
"Ater yang kamu kata balik tu pasei apa? Balik dengan datang ke sini, lain maksudnya. Balik tu maknanya kamu balik duduk sini teruih. Datang tu maknanya kamu datang sini. Melawat-lawat kami ni hah... takkan baru duduk kat Kanada dah tak tahu cakap Melayu?" bebel emak.
"Allah... mak ni pun. Jen tersilap cakap aje. Tak payah ler panjangkan cerita."
"Jangan kamu lupa asei usul kamu, Jen. Kamu tu oghang Melayu. Oghang Perak. Kamu kalo lain idgham yang keluo dari mulut kamu tu esok, tau ler macam mana aku nak ngajo kamu." Emak memberi amaran.
"Emak ni..."
"Tau pun kamu takut. Ingat pesan aku tu bebaik. Ater yang belah sana dah okey ke?"
"A ah. Dah. Semalam ler jugak deme bagi restu. Terlupa pulak nak cakap. Terima kasih, mak... abah... bagi restu kat kami. Syukur sangat."
"Sesame. Yang belah sana tu pun anto surat jugak ke?"
"Dak. Abang ipo datang ke sini. Mak mentua bagi rantei meh kat Jen."
"Tak de keroje ler aku nak bagi kamu rantei meh. Aku pun jenuh nak mintak kat abah kamu."
"Mana ada Jen mintak kat mak? Jen kabo aje... ya Allah... mak ni kan... penat betoi ler cakap dengan mak."
"Ai, kamu... penat cakap dengan mak? Mentang-mentang ler syurga kamu bukan kat bawah tapak kaki aku lagi dah."
"Idak ler, mak... ya Allah." Jujen menggaru kepala yang tak gatal. "Udah ler, mak. Mak pergi ler sambung tido balik. Sian abah tido sorang-sorang."
"Hah, yalah. Mujo malam ni bukan malam Jemaat. Kalo kamu telepon masa aku tengah..."
"Lalalalalalala... too much information," potong Jujen. "Jen mintak diri dulu, mak. Sampaikan salam Jen kat abah. Assalam."
Gagang telefon diletakkan di tempatnya. Menggigil tubuh badannya bila teringatkan ayat terakhir emak tadi. Sabo bebanyak ada mak macam tu, Jen... . Tak sampai juga hajatnya nak beritahu emak tentang niatnya untuk menulis buku tentang tip-tip dalam alam rumah tangga. Mujurlah pun. Kalau tidak, naya sahaja dia kena maki dengan emaknya itu.
Jujen ke dapur untuk menyiapkan juadah makan petang. Sikit lagi Vic balik kerja. Dia masak nasi beriani ayam hari ini. Nasi sudah siap ditanak. Jujen ke bilik air, mandi dan bersiap untuk menunggu kepulangan Vic. Suami balik dari kerja, mestilah penat. Kalau isteri berhias cantik, hilang sedikit rasa penatnya itu.
Vic balik membawa khabar baik.
"Sekejap lagi kita ke Tiara Caliente, sayang," ujar Vic sejurus selepas makan.
"Apa tu?"
"Restoran."
"Already?" Jujen teruja. "Saya dah dapat kerja?"
"Belum lagi. Saya nak bawak awak berjumpa dengan pengurus dia," terang Vic.
"Oh, kawan awak, ya?" Jujen tersenyum puas. Kabel sangat penting di zaman sekarang ini. Jika tiada kabel, memang susah nak dapat kerja. Namun, jangan pula salah gunakan kabel untuk kepentingan diri sendiri seperti mengelakkan diri dari menjalani hukuman selepas melakukan kesalahan. Jahat namanya tu. Di sini mungkinlah awak terlepas dari hukuman tetapi di akhirat nanti, kena juga.
Vic hanya mengangguk. "Dia suruh datang jumpa dia. Isi borang dan mungkin sembang-sembang sekejap."
"Okey. Restoran Islam, kan?"
Sekali lagi Vic mengangguk. Jujen mengemas pinggan mangkuk yang baru dibasuh dan dikeringkan. Kemudian ke bilik air. Mandi. Vic pula berehat di ruang tamu sambil menonton TV.
"Pakai jean boleh ke, Vic? Atau saya kena pakai pakaian yang lebih formal?" tanya Jujen dari dalam bilik tidur. Dia sedang berdiri di hadapan almari pakaian mereka, tengah berfikir baju yang mana satu yang patut dipakai.
"Pakai jean aje. Bukan nak interview. Sembang-sembang dengan dia dulu."
"Okey."
Jujen bersiap. Lebih kurang pukul lima petang, mereka bertolak ke Tiara Caliente yang terletak di bandar. Agak jauh juga restoran itu dari rumah mereka. Macam tak ada bas sahaja yang lalu di situ. Macam mana kalau Jujen dan Vic bekerja syif malam? Masa masuk syif mesti tak sama. Siapa yang nak menghantar dia ke restoran atau mengambilnya balik dari kerja? Takkan nak naik teksi kut? Mahal giler tambangnya.
"Vic, kalau kita sama-sama kerja syif malam, macam mana? Siapa yang nak ambil saya balik dari restoran?"
Vic ketawa. Menoleh ke arah Jujen dan mencuit dagu isterinya. "Awak belum mula kerja lagi tapi dah jauh betul awak berfikir."
"Yalah. Kenalah fikir siap-siap. Awak nak saya balik naik teksi ke?"
"Awak pakai kereta ni nanti."
"Awak?" Jujen terkejut. Vic nak beli kereta baharukah? Ai... tak cakap pun kat dia.
"Kalau saya kerja syif pagi dan petang, saya naik bas. Balik pun naik bas. Bas akhir pukul 11.30 malam. Kalau syif malam, saya pergi kerja naik kereta. Tiara Caliente buka dari jam 10.00 pagi. Jadi kalau awak kena syif pagi sekalipun, awak pergi dalam pukul 8.00 pagi. Sempat saya balik ke rumah dulu."
"Hmm... siapa ke tadi yang cakap, belum mula kerja lagi dah jauh berfikir. Rupanya dia pun dua kali lima," sindir Jujen.
Vic ketawa lagi. Memang itu sahaja yang difikirkannya semasa di hotel tadi, sementelah dia tidak sibuk sangat. Bukan susah dia nak mencari restoran muslim di situ kerana pihak hotel telah menyediakan senarai restoran muslim di Toronto untuk kemudahan tetamu beragama Islam yang menginap di situ.
Mereka tiba di hadapan Restoran Tiara Caliente. Nampak macam restoran Sepanyol. Berdebar-debar hati Jujen sewaktu melangkah masuk ke dalam restoran yang sungguh indah itu. Ada kelas restoran ni. Berhawa dingin, dinding berkaca dan dekorasi dalamannya menggunakan kayu merah yang sangat cantik. Berkilat. Seorang gadis bertudung menghampiri mereka, tersenyum manis sambil menegur Vic. Nampak macam dah kenal sahaja.
"Nak jumpa Marianna ke?" soalnya kepada Vic.
"Ya. Dia ada?"
"Ada. Silalah duduk. Saya pergi panggil dia."
Vic mengajak Jujen duduk di sebuah meja kecil yang dikhaskan untuk dua orang. Sambil duduk, Vic menongkat dua sikunya di atas meja dan menggosok-gosok tapak tangannya seraya merenung ke arah di mana gadis bertudung tadi menghilangkan diri. Jujen pula tak habis-habis merenung Vic. Entah mengapa, hatinya berdebar lebih laju daripada biasa. Tertanya-tanya hatinya, sudah lamakah Vic mengenali Marianna? Apakah hubungan mereka?
Tiba-tiba Vic bangun. Jujen terkejut, menoleh ke belakang seraya berdiri. Hatinya terus jadi lega sebaik sahaja dia ternampak seorang wanita dalam lingkungan 50-an atau mungkin awal 60-an sedang melangkah ke arah mereka. Orangnya kurus dan tinggi. Berambut perang. Cantiklah juga jika tiada kedut pada muka dan lehernya. Ada iras-iras Michelle Pfeiffer. Tak pakai tudung pula dia.
"Marianna bukan Islam," bisik Vic seolah-olah dia dapat membaca soalan yang sedang berlari di fikiran Jujen. "Orang Jerman."
"Vikram..." sapa Marianna.
Dua tangannya Marianna hulurkan ke arah Vic. Jujen sangka dia nak pegang tangan Vic tetapi rupanya Marianna terus memeluk Vic dengan erat dan begitu lama sekali seolah-olah nak melepaskan rindu yang sudah lama tidak terubat. Vic turut membalas pelukan yang diterimanya. Jujen dapat merasakan air mukanya berubah. Perempuan tua ni lebih dahsyat daripada Naglaa!
Kemudian Marianna mencium dua pipi Vic berkali-kali tanpa melepaskan rangkulan tangan kanannya di leher Vic. Tangan kirinya di dada Vic. Tubuhnya masih rapat melekat pada tubuh Vic yang memeluk pinggangnya yang ramping itu. Jujen benar-benar berang melihat kemesraan melampaui batas yang mereka tayangkan di hadapannya tetapi entah mengapa, dia hanya mampu berdiri tegak sahaja.
"Mana awak pergi? Dah lama saya tunggu tapi awak tak datang-datang jugak. Hari ni baru teringatkan saya, ya. Have you been good?" soal Marianna sambil menarik hidung mancung Vic.
"Yes, Marianna. I have," jawab Vic. Tersipu-sipu dia malu.
"Awak tak rindukan saya ke?" soal Marianna dengan nada manja. "Nampak awak dah gemuk sikit. Jaga makan. Nanti berat sangat badan tu. Tak larat nak buat apa-apa nanti." Marianna mengenyitkan matanya dan tersenyum penuh makna.
Jujen berdeham kuat, mengambil keputusan untuk menghentikan tayangan drama telenovela yang sedang berlangsung itu. Segera Vic melepaskan pelukannya pada pinggang Marianna.
"Marianna, saya perkenalkan isteri saya, Suzanna." Vic menarik Jujen dekat padanya.
"Ohhh... awaklah yang mencuri Vic dari saya. Patutlah dia tak pernah datang lagi ke rumah saya. Dah ada yang lebih muda rupanya," ujar Marianna. Dijelingnya Vic.
Walaupun Marianna tersenyum, namun Jujen dapat melihat pancaran marah dalam matanya. Marianna dan Vic memang pernah menjalinkan hubungan intim. Sejauh mana hubungan mereka, entahlah... geli Jujen memikirkannya.
"Awak kata ada kerja kosong di sini." Vic mengalihkan topik perbualan mereka.
"Untuk siapa?" soal Marianna. Mereka berdiri sahaja. Dia tidak langsung mengajak mereka duduk. Bahasa tubuhnya pun dah tak semesra tadi. Jujen jadi berat hati.
"Untuk isteri sayalah. Kan saya dah beritahu awak tadi."
"Nanti saya tanya pada Julia dulu. Apa-apa hal saya telefon awak," kata Marianna. Dia mula melangkah ke pintu restoran itu, tanda dia menyuruh Vic dan Jujen meninggalkan premis itu.
"Tanya saya fasal apa?" soal seorang wanita dari belakang mereka.
Jujen menoleh. Seorang wanita gempal dan tinggi melangkah ke arah mereka. Wajahnya cantik walaupun dia sangat gemuk. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Julia kepada Jujen dan Vic. Serta-merta Jujen berasa senang dengan Julia.
"Saya nak cari kerja di sini jika ada kekosongan," ujar Jujen sebelum Marianna merosakkan peluangnya.
"Oh, about time!" kata Julia. "Ambilkan borang di bawah kaunter tu, Marianna. Bagi dia isi."
Marianna terpaksa akur. Jelas, pangkat Julia lebih besar daripada pangkatnya.
"Awak pernah bekerja sebagai pelayan restoran?" soal Julia lagi.
"Tak pernah. Tapi saya ada butik jualan korset di Malaysia. Saya keluar berjumpa dengan klien untuk menarik minat mereka supaya mereka membeli produk yang saya jual," terang Jujen.
"Hmm... awak boleh kerja di bahagian sales and marketing. Tapi tak ada kekosongan di situ. Buat masa ni kami hanya perlukan pelayan sahaja. Awak tak apa ke kerja sebagai pelayan?"
Jujen mengangguk. Julia menyerahkan borang permohonan kepada Jujen untuk diisi di situ juga. Selepas Jujen menyerahkan kembali borang yang sudah lengkap diisi itu, Julia terus mengajaknya ke meja yang terletak agak jauh dari orang ramai. Di situ dia menemuduga Jujen, memberitahu Jujen tentang tugas yang perlu dijalankan. Belum sempat Jujen menghadam kata-kata Julia, pengurus besar itu bertanya bila Jujen boleh mulakan kerja.
"Esok pun boleh," jawab Jujen.
"Saya suka semangat awak. Awak mula minggu depan, ya. Tapi awak kena hadiri kursus selama dua hari dulu di ibu pejabat kita pada hujung minggu ni. Di sana awak akan diajar tentang makanan yang kita hidangkan kepada tetamu dan juga cara untuk melayan tetamu yang berkunjung di restoran ini. Tahniah, Suzanna. Selamat datang ke Tiara Caliente," ucap Julia seraya bersalaman dengan Jujen.
"Terima kasih, Julia. Saya akan buat awak bangga dengan saya."
"Buktikan, ya." Julia meminta diri.
Jujen kembali ke hadapan. Terlupa sekejap dia tentang Vic dan Marianna. Bila dia melihat Marianna sedang duduk di belakang kaunter, hatinya jadi lapang. Vic berdiri di hadapan kaunter itu tetapi nampaknya mereka tak bersembang. Bagus!
"Dapat, sayang?" tanya Vic.
"Dapat," jawab Jujen.
"Alhamdulillah. Terima kasih, Marianna. Kami balik dulu," kata Vic.
Jujen tidak mengucapkan terima kasih kepada Marianna. Buat apa? Bukannya perempuan tu tolong apa-apa pun. Malah, perempuan tua tak sedar diri itu dah sedia nak menghalau mereka keluar dari situ sebaik sahaja dia nampak Jujen. Dasar perempuan jalang. Sedarlah diri tu sikit. Dah tua bangka ada hati nak mengurat orang muda. Vic tu boleh jadi anak dia kut...
Di dalam kereta, Jujen diam sahaja. Pandangannya dilontarkan ke luar tingkap. Di sebelahnya, Vic resah gelisah tak terkata. Vic dapat merasakan kemarahan sedang membakar dalam dada isterinya, marah kerana dia berkelakuan terlalu mesra dengan Marianna sebentar tadi. Memang biasa Marianna memeluk dan menciumnya begitu setiap kali mereka bersua. Marianna bukan kira di mana. Lagipun, mereka pernah menjalinkan hubungan intim tetapi tidaklah lama. Tak sampai sebulan pun. Selepas hubungan intim itu berakhir, mereka kekal menjadi kawan. Masing-masing bukan dari Kanada. Masing-masing saling memerlukan.
Beberapa kali Vic menoleh ke arah Jujen, namun Jujen masih memandang ke luar tingkap. Vic cuba bersuara tetapi ayat yang dikarang oleh otaknya, hanya akan menambahkan kemarahan Jujen sahaja. Jadi, dia turut diam dan mengambil keputusan untuk membawa Jujen ke bandar. Biar Jujen buka mulutnya dahulu.
"Kita nak ke mana ni?" soal Jujen bila melihat Vic memandu melepasi simpang yang membawa mereka pulang ke rumah.
"Ke bandar sekejap. Boleh?"
Jujen tak menjawab. Malah, dia kembali melontarkan pandangan ke luar tingkap. Vic semakin risau tetapi sekurang-kurangnya Jujen tidak mengajaknya terus pulang ke rumah. Sekurang-kurangnya marah Jujen sempat diredakannya sebelum mereka balik ke rumah nanti. Vic memandu masuk ke dalam bangunan parkir kereta. Keluar dari kereta, berjalan berpegangan tangan di kaki lima bandaraya yang penuh sesak dengan orang ramai yang baru habis kerja dan bergegas untuk pulang ke rumah masing-masing. Jujen marah ke tidak ni, fikir Vic apabila Jujen yang mula-mula sekali memegang tangannya.
"Semalam awak nak makan kat luar kan? You and I. Candlelit dinner." Vic memulakan usaha memujuk Jujen. Ketika itu mereka berdiri di luar sebuah restoran yang menghidangkan makanan laut sahaja. Vic tahu makanan di situ mahal tetapi dia mesti memujuk Jujen sebelum mereka pulang ke rumah. Dia tak mahu mereka bergaduh di rumah. Pastinya pergaduhan itu akan berlanjutan sampai ke tengah malam, sedangkan dia bekerja syif pagi esok.
Jujen toleh ke arah suaminya. Wajahnya kacau. "Tak payahlah, Vic. Nasi beriani yang ada kat rumah tu masih banyak. Tak payah nak membazir."
"Suzanna... janganlah begitu."
Mendengar suara Vic yang bernada merayu itu, ditokok pula dengan riak wajahnya yang menuntut belas kasihan, kening Jujen berkerut. Keliru.
"Tolonglah jangan marah. Marianna dan saya..."
Spontan kening Jujen terangkat tinggi. Barulah dia faham apa yang sedang berlaku. Vic sedang memujuknya. Vic sangka dia diam kerana dia marah dengan apa yang berlaku di Tiara Caliente tadi. Sebenarnya, Jujen bukannya memikirkan tentang Vic dan Marianna. Tidak. Buang masa dia sahaja fikirkan tentang mereka. Lagipun hubungan Vic dengan Marianna terjadi sebelum dia mengenali Vic. Jadi apa perlunya dia menyusahkan diri memikirkan tentang perkara itu? Sakit hati? Memanglah! Siapa yang tak sakit hati bila tengok adegan mesra terlampau mereka tadi tetapi benda dah berlaku. Kalau boleh diputarkan balik masa, mungkin dia boleh padamkan Marianna dari hidup Vic. Padamkan Marianna terus dari dunia ni lagi bagus. Tapi tak boleh, kan?
Jujen sebenarnya memikirkan tentang kerjaya terbaharunya itu. Sebagai pelayan restoran. Apa kata emak nanti? Tak mustahil emak sanggup datang ke sini untuk 'sekolahkan' dia balik. Penat-penat emak menghantar dia belajar di universiti, lepas berkahwin dan duduk di luar negara, boleh dia pergi bekerja sebagai pelayan restoran!
Tapi kalau Vic nak pujuk dia, okeylah. Boleh dia tarbiahkan suami bertuahnya itu agar di lain kali, Vic akan beringat sebelum memeluk mana-mana perempuan yang bukan mahram.
"... dekat tiga tahun lebih. Lepas tu kami hanya berhubungan melalui telefon saja. Itu pun atas urusan kerja," terang Vic yang baru habis bercakap sedangkan Jujen tak dengar satu apa pun yang dikatakannya selepas Vic menyebut nama Marianna tadi.
"Saya tak percaya cakap awak!" Jujen menggeleng dan memasamkan mukanya. "Naglaa... sekarang Marianna. Berapa banyak lagi perempuan yang awak tiduri sebelum saya, hah?" Jujen cuba mengeraskan suaranya tetapi kedengaran lucu di telinganya. Yalah! Dia bukannya tengah marah. Kalau dia tengah marah, memang powerlah suara dia.
"Kan saya dah terangkan tadi. Awak tak dengar ke?"
Mana nak dengar. Aku tengah sibuk fikir fasal emak. "Sekarang ni macam mana? Depan saya awak berani berpelukan dan bercium dengan perempuan tua tu. Di belakang saya lagi dahsyat kut. Perempuan tu dah tua, Vic! Berapa umur dia?"
"Tak payahlah..."
"Berapa umur dia?!" Suara Jujen meninggi dan penuh amarah.
"61."
"Dia boleh jadi emak awak, awak tahu tak? Boleh jadi nenek saya. Itu yang awak cari? Kan ramai perempuan muda kat sini. Perempuan tua bangka tu jugak yang awak layan. Tak laku sangat ke awak ni?" marah Jujen. Dari nak mempermainkan Vic, dia jadi benar-benar marah sekarang.
Jujen pandang Vic dengan perasaan yang tak tahu nak dikata. Bercampur-campur semuanya. Tanpa sepatah kata lagi, dia melangkah meninggalkan Vic di hadapan pintu masuk restoran makanan laut itu.

KALAU DAH JODOH 2Where stories live. Discover now