Bab 5

144 3 0
                                    

5
"SUZANNA..." panggil Vic dengan nada merayu.
Jujen buat tak endah sahaja dan terus melangkah laju. Hatinya sakit macam kena ramas dengan jari-jari yang berkuku tajam bila Vic tak mahu beritahu dia usia Marianna. Kalau Vic terus jawab tadi, dah tentu dia tak naik angin. Ini nak berdalih-dalih pulak. Macam kasihankan si Marianna tu sahaja. Apa kes kasihankan perempuan tua merenyam macam Marianna tu? Rumah kata pergi, kubur kata mari tapi masih nak menggatal lagi. Haisy... angin betul Jujen dibuatnya.
"Suzanna..." Vic paut tangan Jujen dari belakang.
Terpaksalah Jujen berhenti berjalan sebab Vic ni kalau bab paut-memaut, memang dia pegang sekuat hati. Sakit giler tangan Jujen dibuatnya. Jujen biarkan sahaja tangannya dipegang oleh Vic. Dia berdiri membelakangkan Vic. Nama nak berpusing menghadap Vic tu tidaklah. Vic yang nak bercakap dengan dia. Yang menyakiti hati dia. Vic kenalah datang menghadap dia!
"Suzanna..."
"Kalau awak nak panggil nama saya saja, panggil ajelah. Tak payahlah nak tarik-tarik tangan saya," kata Jujen. Ditarik tangannya, cuba melepaskan diri dari genggaman Vic tetapi bukan tangannya yang terlepas, Vic yang ikut tertarik ke depan.
"Sayang..." Vic paut dua bahu Jujen pula, melambakkan berat tangannya yang entah berapa kilo tu di atas bahu Jujen. Nak terlondeh bahu Jujen dibuatnya. Berat ya Rabbi tangan dia.
Jujen toleh mukanya ke kanan. Niat asalnya tak nak tengok muka Vic tetapi tertengok pula tiga orang mat salih yang sedang asyik menonton wayang mereka sambil tersengih-sengih. Sedikit pun mat salih tiga ekor tu tak kalih mata bila sedar Jujen dah nampak mereka. Korek biji mata tu karang baru tahu!
"Apa yang terjadi antara Marianna dengan saya, dah pun berakhir sebelum kita berjumpa."
"Saya bukan marah fasal tu."
"Habis tu?" Muka Vic berubah. Sebelum tu dia nampak konfiden tetapi sekarang jadi serabut balik.
"Saya marah sebab awak masih ada hati dengan Marianna!"
"Mengarut!" nafi Vic.
"Awak terus peluk dia masa dia peluk awak. Sikit pun awak tak fikirkan perasaan saya. Awak macam terlupa yang saya ada sama kat situ. Terlupa yang awak dah jadi suami saya."
Vic terkesima.
"Saya nampak muka awak masa kita tunggu Marianna datang kat kita tadi. Awak macam teruja sangat nak jumpa dia. Macam tak sabar. Rindu sangat-sangat, kan?"
"Bukan macam tu..." Vic menggeleng. "Saya tak sabar nak perkenalkan awak pada dia. Nak dapatkan awak kerja."
"Tapi kenapa bila dia sampai, awak boleh terlupakan saya? Bila saya berdeham baru awak sedar saya ada sama kat situ. Baru awak lepaskan pelukan awak. Cuba awak bayangkan perasaan saya masa tengok awak berpelukan mesra dengan dia." Air mata tiba-tiba sahaja bertakung dalam mata Jujen. Dia tak rancang pun nak menangis tetapi bila dia teringat balik bagaimana Vic boleh terlupakan dia bila ternampak nenek tua yang berkedut sejuta tu, dadanya jadi sebak. Sedih dan tercabar. Kalau memang nenek kandung Vic, tak mengapalah jugak nak berpeluk-peluk sakan di depan bini. Ini... bekas kekasih Vic! Perempuan yang dah expired pulak tu. Dah 61 kut umur dia. Mau Jujen tak tercabar!
Apa istimewanya Marianna sampai begitu sekali penangannya?
Setitis air matanya menitik di atas pipi. Jujen menolak tangan Vic yang masih berpaut pada bahunya untuk mengesat air mata itu. Terlerai sahaja tubuhnya dari cengkaman Vic, Jujen mula melangkah. Sempat juga dia menjeling ke arah tiga orang mat salih tadi, yang ternyata masih mengikuti drama mereka dengan begitu tekun sekali.
"Suzanna... janganlah lari dari saya. Macam mana kita nak selesaikan masalah ni kalau awak terus melarikan diri?" soal Vic yang kini melangkah di sebelah Jujen.
"Selagi awak tak mengaku Marianna masih ada dalam hati awak, selagi tu masalah ni tak selesai. Sama juga dengan Naglaa. Buang mereka dulu dari hati awak. Baru selesai masalah kita."
"Sumpah! Tak ada orang lain dalam hati saya ni kecuali awak."
"Sorry, saya tak percaya."
"Kalau awak tak percaya, bukan masalah saya."
Uiks! Bahaya ni. Dia buat U-turn pulak dah. Sepatutnya Vic terus memujuk. Ini... dia pulak yang nak merajuk. Jujen berhenti melangkah dan menarik lengan Vic bila melihat suaminya masih terus menapak. Vic tak boleh lepaskan dirinya dengan begitu mudah. Kesalahannya besar. Jujen perlu bertegas dan memastikan yang Vic tak akan mengulangi perbuatannya itu.
"Saya nak awak letakkan diri awak kat tempat saya, Vic. Kalau dalam hati saya ni ada lelaki lain, apa awak rasa?" soal Jujen, perlahan.
"Awak ada lelaki lain ke?"
"Hmm... jawapan awak ni membuktikan bahawa awak memang masih menaruh hati terhadap Marianna. Kalau awak jujur dengan cakap awak, awak tak akan pusing cakap saya untuk melepaskan diri sendiri!"
"Okey... okey... saya minta maaf."
"Dah terlambat, Vic. Saya terkilan sangat dengan awak. Saya tak nak cakap apa-apa lagi dah. Saya nak balik." Jujen mengatur langkah menuju ke arah perhentian bas yang dipenuhi orang ramai yang baru habis kerja. Masing-masing mahu pulang ke rumah. Tengok bilangan orang yang berkumpul, entah bila dia dapat naik bas. Hari dah semakin gelap.
"Kenapa nak naik bas pulak? Kereta kita kan ada." Vic menggosok-gosok badan Jujen.
Tanpa sepatah kata, Jujen berpusing lalu melangkah menuju ke arah dari mana mereka datang tadi. Vic berjalan seiringan dengannya. Tak seorang pun berkata-kata. Mereka ke bangunan parkir untuk mengambil kereta. Di dalam kereta pun mereka membisu seribu bahasa. Sebelum masuk ke simpang menuju ke rumah mereka, Vic memberhentikan kereta di hadapan sebuah deli. Dia turun tanpa mematikan enjin. Ajak Jujen turun sekali pun tidak. Terus Jujen kunci pintu kereta dari dalam. Dah terbiasa. Takut sesiapa buka pintu kereta dari luar dan bawa lari kereta tu. Dengan dia-dia sekali kena bawa lari. Jujen mengintai ke dalam deli. Vic nak buat apa kat sini? Nak beli roti kut. Takut kebuluran malam ni. Nasi beriani kan banyak kat dalam peti ais? Beli roti buat apa? Malas nak panaskan nasi berianilah tu.
Namun, meleset sama sekali sangkaan Jujen. Vic keluar dengan sejambak bunga ros merah di tangannya. Hati Jujen berdebar-debar tak tentu hala. Bunga! Seronoknya dapat bunga. Lagi best kalau Vic bagi coklat sekali. Tapi bunga saja pun okey. Ada juga usaha nak pujuk dia.
Mata Jujen tak berkalih dari bunga yang Vic bawa. Sampai terlupa dia nak buka balik pintu kereta yang berkunci.
Masuk ke dalam kereta, Vic duduk menghadap Jujen sambil menghulurkan sejambak bunga ros itu kepada isterinya.
"Saya minta maaf, sayang," pujuknya.
Jujen ambil. Pandang bunga-bunga yang cantik tu lama-lama. "Terima kasih. Tapi saya masih belum bersedia nak maafkan awak. Kesalahan awak besar. Beri saya bunga bukanlah jalan penyelesaiannya."
Vic melepaskan keluhan. Dia renung Jujen buat seketika sebelum kembali memandu kereta pulang ke rumah. Di rumah, Jujen letakkan sejambak bunga ros itu di dalam vas jernih yang sudah diisikan air. Cantik sangat bunga-bunga tu. Rasa macam nak cium satu per satu tetapi Jujen tahu Vic sedang memerhatikannya. Jadi, dia buat macam bunga tu tak penting padahal bunga yang Vic hadiahkan tu penting bagi dia. Dia suka bunga. Suka orang bagi bunga pada dia. Suka sangat-sangat pada orang yang bagi bunga tu kat dia.
Jujen masuk ke dalam bilik, mandi dan terus berbaring di atas katil. Dia pejamkan mata tetapi tetap tak mahu lena. Paling menyakitkan hati, semasa dia pejamkan mata tu dia ternampak-nampak bayangan Vic tengah memeluk Marianna. Mula-mula mereka di restoran. Selepas itu muncul bayangan jahat yang tak sanggup Jujen lihat. Segera dia membuka mata.
'Apa salah aku dapat suami macam ni? Sebab nilah kut abah tak bagi aku kahwin dengan dia dulu.' Jujen katup semula matanya yang terasa panas. Air mata yang turun ke pipinya dibiarkan sahaja. Malas dia nak seka. Biar habis basah bantal yang menjadi alas kepalanya.
Telinganya menangkap macam-macam bunyi dari dapur. Hmm... Vic nak masak sesuatu. Mungkin telur mata dua biji dimakan dengan roti. Ada ke entah roti buku di rumah ni? Rasanya tak ada. Jujen buka mulut, nak suruh Vic panaskan sahaja nasi beriani di dalam peti ais tetapi tak jadi bila aroma nasi beriani yang sedang Vic panaskan, ditangkap oleh deria baunya. Pandai pun nak buat sendiri. Jujen katup matanya semula. Vic takkan tidur dalam kelaparan malam ni, jadi dia boleh tidur.
Dia terlelap. Terbangun bila merasa bahunya diusap-usap dan dipicit lembut. Buka mata dan toleh ke belakang. Dalam samar-samar cahaya lampu ruang tamu, dia nampak Vic yang sudah berbaring di belakangnya sedang tersenyum.
"Jom makan, sayang," pujuk Vic.
"Kenapa tak makan lagi? Nanti sejuk nasi tu tak sedap," ujar Jujen seraya duduk. Badannya berasa segar sekali. Buat seketika dia terlupa hatinya baru sahaja dikecewakan oleh suaminya.
"Baru siap panaskan nasi."
Eh, takkan kut? Takkan Vic panaskan nasi sampai sejam dua. Rasanya dah lama dia tidur. Muncul kembali ilmu yang diajar oleh guru sukan di sekolah dahulu. Manusia ni hanya perlukan tidur yang secukupnya selama lima belas minit sahaja. Betul-betul tidur. Selepas dapat melelapkan mata selama lima belas minit tu, badan dan otak akan segar semula. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh bekas gurunya itu.
"Jom, makan." Vic turun dari katil, menghulurkan tangannya ke arah Jujen.
Masih terlupa dia marahkan Vic, Jujen sambut huluran tangan suaminya. "Jap. Nak ke bilik air dulu."
"Jangan lama-lama sangat. Nasi tu masa caliente yang sedap. Dah sejuk tak sedap," ujar Vic, melangkah ke ruang tamu. Dia tak perasan Jujen yang sudah berhenti melangkah di depan pintu bilik air bila perkataan caliente hinggap ke telinga.
Segala-galanya datang balik dalam fikiran Jujen. Ikutkan hati, dia nak kembali ke katil. Tunjuk perasaan dengan tidur. Tapi nak terkencinglah pulak, jadi dia terus ke bilik air. Bersihkan diri dan kemudian keluar ke ruang tamu. Dia lapar. Dia nak makan. Dan dia nak ambil peluang untuk bercakap dari hati ke hati dengan Vic. Malam itu dia nak luahkan semuanya. Dia nak buat garis panduan untuk mereka ikut dalam mendirikan rumah tangga.
"Okey tak, sayang?" Vic tersenyum bangga bila Jujen masuk ke ruang tamu. Dia bukan setakat memanaskan semula nasi beriani yang Jujen masak siang tadi, malah dia menambah lauk telur mata dan raita iaitu sejenis yogurt yang sudah digaul dengan timun yang dipotong dadu, bawang besar - juga dipotong dadu, daun ketumbar yang diracik halus, serbuk ketumbar, serbuk jintan putih dan sedikit garam. Makan raita sejuk-sejuk dengan nasi beriani yang pedas. Memang sedap!
"Okey. Pandai pulak awak buat sendiri," kata Jujen. Dia melabuhkan punggung di atas sofa.
"Sesekali bila isteri merajuk, suami kena pujuk. Tapi janganlah merajuk selalu. Penat saya."
"Tak nak saya merajuk, senang je. Jangan cari fasal dengan saya."
Vic tersengih dan duduk di sebelah Jujen, mencedok nasi beriani ke dalam dua biji pinggan. Dia mengambil sudu dan mencedok sedikit raita, dibubuh ke atas nasi beriani lalu dicedoknya bahagian kecil itu dengan sudu yang sama.
"Buka mulut, sayang."
Jujen hanya pandang Vic. Mulutnya terkatup rapat.
"Bukalah mulut tu, sayang. Please..." Vic buat muka merayunya. Macam muka penguin pun ada. Jatuh kasihan Jujen dibuatnya.
"Please, darling," rayu Vic sekali lagi.
Akhirnya, Jujen buka mulutnya dan membiarkan Vic menyuapnya. Memanjakannya. Sebelum Vic buat U-turn!
Lagipun, bila lagi?
"Sedap tak?" Vic teruja nak tahu pendapat Jujen tentang raita yang disediakannya.
Jujen hanya mengangguk.
"Tak ada ciuman untuk tukang masak?" Vic menekan lembut pipinya dengan jari telunjuk.
Jujen menggeleng. Bukan Vic yang masak pun. Jujen yang masak. Kalau setakat raita tu, alah... sesiapa pun boleh buat.
"Tak apalah. Isteri saya masih marah." Vic mencebik. Kononnya sedih. Vic suap makanan ke mulutnya pula. "Hmmm... sedap."
Masuk bakul angkat sendiri! Jujen mengerlingkan matanya ke atas. Vic suap nasi beriani ke mulut Jujen lagi. Dilap-lap sudut bibir Jujen yang terkena yogurt, melayan Jujen seolah-olah isterinya tu seorang bayi. Rasa nak tergelak pun ada tetapi Jujen buat muka seriusnya. Semasa Jujen mengunyah, Vic suap nasi ke mulutnya sendiri pula. Bergilir-gilir mereka makan sehinggalah nasi dalam kedua-dua biji pinggan itu habis. Usai makan, Vic tawarkan diri untuk membersihkan periuk belanga yang digunakannya. Masih dalam mode memujuk. Kalau tidak... minta maaflah. Jujen biarkan sahaja. Bila lagi nak dilayan bagaikan puteri?
"Jom tidur," ajak Vic selepas selesai membasuh pinggan.
"Sekejap, Vic. Duduk sini dulu." Jujen menepuk-nepuk kusyen di sebelahnya.
"Alah... tak naklah cakap lagi. Tak nak bergaduh." Vic menghentak-hentakkan kakinya dan buat gelagat macam budak kecil tengah mengamuk. Singlet yang dipakainya diangkat dan digigit. Macam yang selalu budak kecil buat tu. Ek eleh... buruk betullah bila orang tua buat kelaku macam tu.
"Siapa yang nak bergaduh? Saya nak bercakap dengan awak sebab benda ni penting. Tolonglah duduk." Jujen bersuara tegas.
Vic buat muka tak puas hati tetapi dia tetap duduk.
"Saya nak tanya kat awak sesuatu. Tapi tolonglah jangan melenting." Mukadimah Jujen.
Tiada jawapan daripada Vic.
"Kenapa rumah tangga awak dengan Sonam gagal bertahan?"
Vic menjegilkan matanya. Segera Jujen memegang tangan Vic, menenangkan suaminya itu.
"Saya bukan nak menyakitkan hati awak tapi jawapan awak penting untuk rumah tangga kita. Kenapa?"
"Sebab dia utamakan keluarga dia daripada saya."
"Kalau dia utamakan awak, pasti awak dan dia masih bersama, kan?"
Lambat-lambat Vic mengangguk. Sekarang, dia faham arah tujuan perbualan mereka. Terasa sedikit kagum dengan kematangan Jujen.
"Awak nak komitmen daripada saya?" soal Vic.
"Apa gunanya kita berkahwin kalau awak tak nak berikan komitmen pada saya?" soal Jujen kembali. Biar betul mamat ni! Dia nak buat open marriage ke? Boleh berdating atau bercinta dengan orang lain walaupun sudah ada isteri. MBA. Married But Available. Tak kuasa!
Sekali lagi Vic mengangguk. "Baiklah."
"Naglaa... Marianna..."
"Demi Allah, hanya awak saja dalam hati saya."
"Baiklah." Jujen pula mengangguk walaupun dengan berat hati. Dia masih tak percaya begitu mudah sekali Vic memadamkan nama dua orang perempuan itu dari hatinya. Kedua-duanya punya personaliti yang sama. Berambut perang, mata biru, kurus... semua yang tak ada pada Jujen.
"Jangan sakiti hati saya lagi, Vic. Saya nak pernikahan kita ni kekal sampai ke syurga."
"Awak yakin ke kita akan masuk syurga?"
"Perangai macam awak, mesti masuk neraka dulu. Lepas tu baru awak dapat masuk syurga." Jujen bengang. Selepas itu dia minta ampun pada Allah dalam hati kerana memandai keluarkan fatwa.
"Memang saya kena masuk neraka dulu ke?" soal Vic, naif.
"Manalah saya tahu! Saya bukan Tuhan. Awak ni... janganlah pusing-pusing cakap saya. Awak nak tak rumah tangga kita kekal sampai ke syurga? Ke awak nak kita bercerai lepas lima tahun berkahwin?"
"Mulut..."
"Habis tu? Seriuslah sikit! Awak nak tak rumah tangga kita kekal sampai ke syurga?" ulang Jujen. Dah tinggi sedikit suaranya. Mau tak baran?
"Itu yang saya mahukan."
"Sebab tu saya perlukan komitmen daripada awak. Buang Naglaa, buang Marianna, buang semua perempuan lain dalam hati awak..."
"Ooo... bukan semua perempuan saya kena buang dari hati saya. Emak saya tak bolehlah..." potong Vic.
"Tolong serius sikit, Vic!" tegur Jujen. Vic mengangguk. "Saya nak kita sama-sama bina rumah tangga kita. Saya tak nak kita hidup macam ni selama-lamanya. Kita kena kerja keras sikit. Cari peluang yang lebih baik."
"Maksud awak, saya yang kena kerja keras?"
"Bukan awak sorang. Kita berdua!" tegas Jujen, walaupun dalam Islam, memang tanggung jawab suami untuk menyediakan kesempurnaan hidup buat isteri dan anak-anaknya. "Kita kena bina hidup kita, Vic. Kita berdua aje kat sini. Usia kita pun dah berapa sekarang? Dalam masa lima tahun, saya nak kita ada rumah. Ada segala-galanya macam orang lain."
"Lima tahun payah..." Vic menggeleng. Jujen ikut menggeleng; tak percaya dengan pemikiran negatif suaminya. Vic seolah-olah mencari alasan untuk memberikan tentangan. Tak tahukah dia apa yang Jujen katakan ini adalah demi masa depan mereka berdua juga?
"Payah nak capai apa yang awak nak tu dengan gaji saya dalam masa lima tahun. Kalau campur dengan gaji awak pun masih mustahil."
"Vic! Kita kena cuba cari peluang lain. Demi masa depan kita. Saya tak nak awak berfikiran negatif sebelum mencuba!"
Tangan Vic menggaru kepalanya yang tak gatal. Banyak juga rambutnya yang luruh. Risau Jujen kepala Vic akan jadi botak kalau dia berterusan menggaru kepalanya dengan kasar.
"Dah, dah, dah! Jangan garu sangat kepala awak tu. Kalau awak nak fikir dulu, ambil masa untuk berfikir. Tapi itulah kehendak saya. Pergi tanya kat kawan-kawan awak sama ada kehendak saya tu masuk akal atau tidak. TAPI..." Jujen tarik muka Vic ke arahnya, "...jangan tanya pada..."
"Naglaa dan Marianna. Ya, saya tahu. Jom tidur. Esok saya kerja pagi."
Nak tak nak, Jujen terpaksa ikut. Salah satu kunci untuk mengekalkan rumah tangga ialah suami isteri masuk tidur bersama. Jangan sorang tidur sorang berjaga.

KALAU DAH JODOH 2Where stories live. Discover now