Bab 3

213 5 0
                                    

JANGAN marah-marah dia, Jen... tanya elok-elok. Entah apa yang bhaiya cakap kat dia tadi yang buat dia asyik sentap aje hari ni. Mesti bhaiya ada cakap apa-apa. Kalau tidak Vic bukan macam ni. Yang selalu naik angin tak tentu fasal bila-bila masa dia suka tu, kau sorang aje, Jen. Orang lain tak buat perangai haramzade tu. Vic lagilah tak pernah. Kata kuncinya; Vaibhav. Sebelum Vaibhav datang tadi Vic okey je. Memanglah korang tengah bergaduh masa Vaibhav sampai pagi tadi tetapi selepas berbaik balik, selalunya Vic akan okey. Vic akan jadi Vic yang ko sayang. Tak adalah melarat-larat marahnya. Kena tanya kat Vic apa Vaibhav cakap kat dia. Mesti ada punya... . Padanlah nampak macam bergaduh aje masa dia orang sembang kat hotel tu tadi.
Vic ni kalau orang tak kacau dia, tak masukkan idea bodoh dia orang dalam kepala otak dia, dia relaks sahaja. Bukan jenis yang suka menyusahkan diri sendiri. Menyusahkan orang lain lagilah tidak. Menyusahkan dia balik aje kalau dia menyusahkan orang lain. Motto hidup dia; hidup biar tenang. Balik kerja, dia nak berehat menikmati makanan yang digemarinya sambil menonton berita di TV. Kemudian dia nak bersembang. Bercerita tentang kehidupannya semasa di India dahulu sampai Jujen rasa nak termuntah mendengarnya. Asyik-asyik cerita yang sama diulangnya. Macam nak bagi Jujen clue untuk cari benda tersembunyi dalam cerita tu sahaja.
"Vic... slow down, please," rayu Jujen yang terpaksa melupakan janji pada diri sendiri agar sentiasa melangkah ala model yang tengah buat catwalk di atas pentas, demi mengejar Vic yang melangkah pantas. Sudahlah kaki Vic panjang. Satu langkah Vic, tiga empat langkah Jujen. Jenuh dia nak kejar. "Vic... sakit kaki saya nak kejar awak. Perlahanlah sikit!"
Namun, ada Vic kisah? Tak ada. Dia buat tak tahu sahaja. Terus melangkah menuju ke kereta yang diparkirkan di tepi jalan. Mujurlah selepas masuk ke dalam kereta, Vic tidak terus memandu pergi. Sekurang-kurangnya Vic tunggu sehingga Jujen sampai. Kalau tidak, alamatnya balik naik teksilah Jujen tengah hari itu.
"Kenapa dengan awak hari ni, Vic? Kenapa, sayang?" Jujen usap pipi kiri Vic dengan kekura tangannya. Lembut. Cuba memujuk. Inilah part yang paling dia menyampah sekali. Memujuk orang. Sejak dari kecil, hanya dia sahaja yang kena pujuk orang lain. Pujuk emaklah, pujuk abahlah, adik-adiklah... tapi orang lain tak pernah pujuk dia. Kalau dia menangis ke, merajuk ke, orang buat tak reti sahaja. Baik emak, abah, adik-adik, Azmunir dan sekarang, Vic. Akhirnya, dia terpaksa pujuk dirinya sendiri.
Sesekali dia mahu merasa dipujuk, dibelai dan dimanja. Dia mahu rasa apa yang orang lain rasa. Izwan pandai pujuk dia tetapi dia nak dipujuk oleh orang yang dicintainya. Bukan oleh kawan-kawan atau mana-mana lelaki.
"Vic... cakaplah."
Vic terus membisu. Akhirnya, Jujen zip mulut. Sampai di rumah, Jujen buka semula zip mulutnya itu.
"Vic, come onlah. Ceritalah dengan saya, apa masalah awak sebenarnya? Pelik sangat saya tengok perangai awak hari ni. Bhaiya ada kata apa-apa ke yang buat fikiran awak terganggu?"
Kepala Vic menoleh laju. Raut wajahnya keras. "Jangan babitkan abang saya dalam masalah kita!"
Ya Tuhan... terkesima Jujen melihat biji mata Vic yang terjegil besar. Macam nak tersembul keluar. Jatuh karang biji mata tu... eee... risau dia.
"Apa maksud awak masalah kita, sayang? Naglaa tu memanglah masalah kita. Ajak awak balik ke India dan Malaysia tu takkan satu masalah kut?"
Sekali lagi Vic jegilkan biji matanya sebelum masuk ke dalam bilik, bersalin pakaian dan tidak keluar-keluar lagi dari bilik tidur itu. Penat Jujen tunggu. Dia ingatkan Vic nak berbincang dengannya. Nak menyelesaikan "masalah mereka" tetapi rupanya Vic berbaring di atas katil, melayan perasaannya sendiri.
Jujen pandang sahaja Vic dari kaki katil sambil menukar pakaian. 'Ya Allah, ya Tuhanku, ya Rabb, ya Kareem, ya Rahman, ya Rahiiim... apalah masalah Benggali ni hari ni? Tak faham aku! Takkan PMS kut. Sebelum ni memang dia dapat jerawat setiap kali aku period. Takkan mood swing pun dia dapat? Senggugut tak nak bagi kat dia ke? Sharing is caring, kan... .'
Dia panjat katil dengan perlahan-lahan. Berbaring di belakang Vic yang menghadap ke dinding. Bahu kiri Vic diusap-usapnya lembut. Kepala merangka-rangka apa yang patut ditanya. Nama Vaibhav dan Naglaa jangan disebut kalau dia tak mahu bergaduh. India dan Malaysia pun tak boleh. Sebut jugak, memang perang besarlah jawabnya. Tiba-tiba sahaja Jujen berasa seram sejuk bila gambaran Vic sedang menghempuk-hempuk komputer ribanya pada dinding, terbayang di ruangan mata. Hisy... jangan bersangka buruk, Jen. Allah dah berfirman, 'Aku menurut sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku.' Jadi, bersangka baiklah terhadap Allah. Fikir yang baik-baik sahaja.
"Vic..." Jujen menyelitkan tangannya di bawah lengan Vic lalu memeluk tubuh suaminya itu dari belakang. "I love you, you know. Hanya kita berdua aje di sini. Selain Allah, kita hanya boleh mengadu sesama sendiri. Jadi, beritahulah saya apa yang mengganggu fikiran. Kan saya ni isteri awak. Beritahulah saya, kut-kut saya boleh bantu selesaikan masalah awak tu."
Tiada jawapan daripada Vic. Sunyi dan sepi menemani mereka suami isteri. Sedap ni kalau membuta. Mata Jujen semakin lama semakin mengecil. Mengantuk. Dia hampir terlena bila tiba-tiba Vic bersuara.
"Saya tak ada duit nak balik ke India."
Akhirnya! Fikir Jujen. "Saya ada."
"Awak ada sepuluh ribu dolar?" Vic memusingkan sedikit tubuhnya dan memandang isterinya yang sedang terkebil-kebil, terkejut mendengar jumlah yang Vic sebutkan itu. Kemudian dia palingkan semula kepalanya ke arah dinding.
"Tiket kapal terbang ke India berapa dolar?" soal Jujen. Mahal sangat ke tiket nak pergi ke India? Sampai lima ribu dolar seorang. Gila kentang betul! Patutlah Vic susah nak balik negeri.
"Dalam empat ribu dolar untuk kita berdua."
"Habis tu yang awak sebut sampai sepuluh ribu dolar tu, kenapa?"
"Duit belanja."
"Takkan duit belanja sampai enam ribu dolar, Vic... kan banyak kalau kita convert dolar Kanada ke rupee. Boleh beli rumah kut kat India."
"Jangan hina negara saya, ya! Awak ingat negara saya miskin sangat ke? Tanah kat sana murah-murah sampai boleh dibeli dengan harga enam ribu dolar? Eh, negara saya kayalah! Salah sebuah negara terkaya di dunia. Malaysia masuk senarai ke?"
"Boleh tak jangan sentap?" Jujen goyangkan sedikit tangannya yang masih memeluk badan suaminya, meminta Vic bertenang supaya mereka dapat berbincang dengan baik. "Kita nak sembang. Nak bincang. Bukannya nak bergaduh. Penatlah... dari pagi tadi tak habis-habis lagi kita bergaduh."
"Jangan hina negara saya."
"Okeylah... eh, bukan negara awak sekarang ni Kanada ke?"
"Suzanna!"
"Okey, okey, okey..." Jujen mengeratkan pelukannya. "Boleh saya tahu kenapa awak nak bawak duit banyak-banyak ke India?"
"Bukan ke India saja. Kita kan nak ke Malaysia sama. Saya nak bagi duit pada mummy ji, papa ji, abba, amma... duit belanja kita lagi. Takkan awak tak nak shopping kat India dan Malaysia nanti?"
Abba... amma... dengar dek emak nanti, mampus kau kena sekolah dek ketua mafia tu. "Tapi takkanlah sampai banyak tu..."
"Kita nak duduk kat India sebulan. Malaysia dua minggu. Sebelum berlepas, saya nak bayar siap-siap sewa rumah ni untuk tiga bulan. Bila kita balik ke sini balik, tak payahlah dah nak risau fasal sewa rumah sampai saya dapat gaji. Itu saja dah berapa?" ujar Vic.
Diam, Jujen mencongak-congak dalam kepala. Beli tiket kapal terbang dan bayar sewa rumah sahaja dah lebih enam ribu dolar. Maknanya, jumlah duit yang Vic sebut tadi bukan dia saja-saja sebut. Memang dia dah kira semuanya.
"Kita kena beli hadiah dari sini untuk saudara mara kita lagi. Bukan boleh balik berlenggang kangkung saja," tokok Vic lagi.
Yang itu memang Jujen setuju. Adik bongsunya dah suruh Jujen beli 40 keping fridge magnet untuk dia hadiahkan kepada kawan-kawan sekuliahnya. Minah tu ingat fridge magnet tu murah kut yang dia suruh Jujen beli sampai empat puluh keping! Mintak pulak yang cantik-cantik. Kalau dah cantik mestilah mahal. Mana Jujen nak cekau duit?
"Sepuluh ribu saya tak ada, Vic. Lima ribu tu adalah. Nanti saya minta tolong Azita tambah lagi lima ribu."
"Tak payah. Saya dah muktamad nak pergi tahun depan. Tahun ni kita kumpul duit dulu. Kalau tak cukup, baru saya minta awak tambah."
"Okey. Tapi tak lambat sangat ke tahun depan?" soal Jujen. Dia memikirkan tentang mummy ji dan papa ji yang dah lanjut usianya. Sudah melebihi tujuh puluh tahun usia mereka. Risau Jujen kut-kut... haisy, fikir yang baik-baik saja, Jen!
"Kita target tahun depan tapi seboleh-bolehnya kita pergi dalam tahun ni. Kena kerja keraslah sikit. Awak dah boleh bekerja di sini. Mungkin awak boleh cari kerja sambilan untuk tampung perbelanjaan rumah kita. Gaji saya kita simpan. Itu pun jika awak setujulah."
Tiba-tiba Jujen teringatkan Alfi yang menggunakan duit tunangnya untuk membayar hutang dan segala perbelanjaannya, sedangkan duit gajinya sendiri disimpan. Tapi takkanlah Vic nak buat macam tu. Sekarang ni mereka tengah berbincang tentang usaha untuk mengumpul duit supaya mereka boleh terbang ke India dan Malaysia. Mereka berdua perlu ambil bahagian bagi menjayakan usaha itu. Bukan orang lain yang nak terbang nanti. Mereka berdua juga.
"Awak tak setuju ke?" soal Vic apabila melihat Jujen masih berdiam diri.
"Okey jugak. Kerja apa, ya... yang awak rasa sesuai dengan saya?"
"Kalau jadi pelayan restoran awak okey tak?"
"Pelayan restoran?" Tak pernah dibuatnya jadi pelayan restoran. Sanggupkah dia?
"Atau awak prefer kerja pejabat?"
"Boringlah kerja pejabat," jawab Jujen, jujur.
"Cubalah jadi pelayan restoran. Seronok tau."
"Kat hotel awak ke? Tak halal kan makanan kat situ. Dahlah saya pakai tudung. Pelik pulak orang tengok nanti, wanita Islam menghidangkan alkohol dan memotong daging babi. Belum kira dosa lagi."
"Dosa apa pulak? Bukannya awak makan benda-benda haram tu. Awak hidang aje."
"Perbuatan menghidang tu yang berdosa. Sudahlah pegang benda yang diharamkan Islam, saya bagi pulak kat orang dan dapat gaji pulak tu. Tak naklah. Tak berkat gaji saya tu, Vic."
"Kita cari restoran yang halallah. Saya pun tak nak awak kerja kat hotel saya tu. Tak tahannya awak."
"Tak tahan ke... awak malu?"
"Kenapa pulak saya mesti malu?"
"Manalah tahu kan... awak malu isteri awak bekerja sebagai pelayan restoran."
"Saya tak kisah. Kut awaklah yang tak tahan kerja syif."
"Saya tak nak kerja syif." Jujen menggeleng. "Saya nak kerja di siang hari aje."
"Kerja di restoran kena kerja siang malam. Ada syif. Cubalah dulu."
"Okeylah." Jujen akhirnya bersetuju. Seronok juga kalau dapat bekerja di restoran. Ada uniform. Pakai apron. Pegang talam dengan sebelah tangan sahaja sambil berbual-bual dengan pelanggan. "Sini orang bagi tip tak?"
"Kerja pun belum awak dah fikir fasal tip!"
"Kita kan kena kumpul duit nak pergi ke India dan Malaysia. Kenalah fikir siap-siap macam mana nak dapat duit lebih."
"Hmm..."
"Hmm... aje?"
"Saya tengah fikirkan sesuatu."
"Apa dia?"
"Nanti saya beritahu awak. Sekarang ni kita tidur dulu. Mengantuklah," kata Vic sambil menguap.
Berjangkit, Jujen pun turut menguap. Vic menarik tangan Jujen agar tubuh isterinya itu lebih rapat lagi ke tubuhnya. Jujen mencucuk-cucuk perut Vic. Mengekeh dia bila Vic menggeletek kegelian. Lengan Vic menekan lengan Jujen dengan lebih kuat untuk menghentikan perbuatan isterinya. Bila Jujen berhenti menyucuknya, dia pula menjangkaukan tangannya ke belakang untuk menggeletek Jujen.
"Vic!!!" Menjerit Jujen dibuatnya. "Ooo... dia buat orang tak apa."
"Kata nak tidur."
"Dah! Jangan main-main lagi. Jom tidur. Mengantuk tau tak!"
Sekali lagi Vic menarik tangan Jujen, melekapkan tubuh isterinya ke tubuhnya semula. Tidak lama kemudian kedua-duanya hanyut dibuai mimpi. Senang betul tidur. Penat bergaduh.

KALAU DAH JODOH 2Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang