AZITA bercadang untuk menjual Butik Korset Ajaib. Katanya, dah tak lalu nak jalankan perniagaan tu bersendirian.
"Bila masa pulak kau sorang-sorang? Nuha kan ada," pujuk Jujen. Rugi dijual pada orang lain. Bukan sekejap mereka berusaha untuk memajukan perniagaan tu. Jatuh bangun bersama. Menangis ketawa berdua. Sama-sama dah lalui suka dukanya. Sayang jika dijual sedangkan potensi untuk maju masih ada.
"Tak sama. Dia macam mereng sikit lepas putus cinta dengan mamat Kanada tu."
"Budak tu kan memang mereng dari dulu."
Mereka mengekek tanpa suara. Lama. Masing-masing faham cerita di sebalik tawa mereka itu.
"Isy... tak baiknya mulut aku mengata dia. Kejap lagi aku nak telefon Nuha. Mintak maaf. Nanti jenuh kena cari dia kat Padang Mahsyar. Kalau jumpa tak apalah jugak. Dibuatnya tak jumpa macam mana? Berbilion manusia kat Padang Mahsyar tu nanti. Bukannya sikit. Naya je kalau tak dapat mintak maaf. Sakit ooo... tak henti-henti cakar muka dan dada sendiri. Kat sana nanti mana kita dapat kawal body kita lagi." Macam ada sesuatu yang menghembus angin dingin ke lehernya sahaja bila Jujen teringatkan hadis Rasulullah SAW yang dibacanya di aplikasi Whatsapp pagi tadi. Tegak bulu romanya. Emak yang hantar hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Anas tu. Siapa yang mengumpat atau menjaga tepi kain orang lain, itulah balasannya. Cakar muka dan dada sendiri. Selagi tak minta maaf daripada orang yang diumpat, selagi tu Allah tak ampunkan dosanya dan selagi itulah dia menyakiti dirinya sendiri.
"Kau ni mesti baca hadis yang mak kau pos tadi. Mulanya aku tak percayalah jugak yang dosa mengumpat ni lebih besar daripada dosa zina. Tambah mak kau yang pos, kan... lagilah susah aku nak percaya. Macam dia nak takut-takutkan kita aje," tokok Azita.
"Itulah. Aku pun tak percaya tapi lepas aku Google, memang betul cakap mak aku tu."
"Kau Google? Bukannya boleh percaya Google tu. Banyak hadis palsu. Aku tanya ustazah yang jadi klien kita tu. Dia kata betul. Takut aku, Jen. Mak kau ni menakutkan. Tak pernah pernah pos, tetiba pos terus bagi hadis yang buat bulu roma aku tegak berdiri. Masa tu pulak aku baru je lepas mengumpat orang. Macam dia tau-tau je."
"Kau dah mintak maaf kat orang tu? Allah tak ampunkan dosa kau selagi kau tak mintak maaf kat dia, weiii..."
"Siang esoklah aku mintak maaf. Malam-malam ni karang, ada pulak yang meroyan tak fasal serang aku dengan parang."
"Kau umpat siapa, weiii?"
"Adalah."
"Cakaplah, weiii! Takkan dengan aku pun nak berahsia?"
"Bukan berahsia."
"Habis tu?"
"Tak nak kau dapat dosa subahat sama."
"Ohhh... okey." Jujen terpaksa akur walaupun hatinya menggelinjang nak tahu siapa yang Azita umpat sampai nak berparang-parang.
"Bisnes kita ni macam mana, Jen?" Azita mengeluh di hujung talian.
"Kau tak larat sangat-sangat ke, Zita?"
"A ah. Penat aku. Tiap-tiap malam aku balik lambat. Ni aku baru sampai rumah. Anak-anak dah tidur. Laki memuncung aje. Dia kata, duit banyak pun buat apa kalau tak ada masa untuk family. Asyik bergaduh aje kami. Tu yang tambah penat tu. Aku nak jual, Jen. Kalau kau ada kat sini, aku jual bahagian aku kat kau."
"Kalau aku ada kat sana, kau nak jual ke bisnes kita tu?" soal Jujen balik.
"Aku nak jual ni sebab kau tak ada kat sini ler! Kalau kau ada, tak adalah aku penat sangat macam ni." Azita mengeluh lagi. Penat sangat bunyinya. "Apa pendapat kau?"

ANDA SEDANG MEMBACA
KALAU DAH JODOH 2
RomantizmSinambungan Kalau Dah Jodoh. Kisah cinta antara Jujen dengan Vic.