Bab 2

392 10 0
                                    

2
WAH! Seronok betul jadi orang lelaki ni, ya. Boleh guna kuasa veto sesuka hati. Sikit-sikit muktamad. Abang, saya nak itu. Tak boleh. Muktamad! Abang, saya nak ini. Tak boleh. Muktamad! Isteri tak boleh berkata apa-apa lagi dah bila suami gunakan perkataan muktamad. Kalau dibangkang, alamatnya muktamadlah kau tak masuk syurga!
Jujen mendongkol seorang diri sementara Vic di sebelahnya selamba sahaja. Siap tukar-tukar kaset lagu lagi, mencari lagu Hindi kegemarannya. Meluat pula Jujen rasakan. Asyik dengar lagu Hindi sahaja. Bila Jujen pasang lagu Melayu, Vic mengeluh. Tak faham, katanya. Habis tu Vic ingat Jujen faham sangat ke makna lirik lagu-lagu Hindi yang dia pasang tu? Tak faham, okey! Tapi mengenangkan Vic tu suami dan sebagai isteri dia perlu berkompromi, perlu tunjuk sokongan, tunjuk sayang, dia pasrah sahajalah bila corong telinganya disogokkan dengan lagu-lagu Hindi yang Vic pasang walaupun sepatah haram dia tak faham maksudnya. Vic pun sepatutnya buat begitu juga. Berkompromi. Dengar lagu-lagu Melayu. Cuba mencintai lagu-lagu Melayu. Dah bercinta dengan orang Melayu, kan... . Ini tidak. Baru Ziana Zain berdengung-dengung nak masuk intro, Vic dah mengeluh membebel tak faham. Kawan tu belum menyanyi lagi! Mana nak faham? Orang dengarlah dulu. Kut-kut melodinya sesuai dengan telinga.
Geram punya fasal, Jujen terus memulas suis radio kaset itu ke arah berlawanan jam sehingga habis. Sehingga lagu yang berkumandang mati tiba-tiba. Suasana bening di dalam kereta.
Muktamad!
Vic yang terkesima, membiarkan sahaja.
Tiba di rumah, Jujen terus ke bilik tidur. Bersalin pakaian dan mandi. Vic pula duduk di ruang tamu. Menonton televisyen. Usai mandi dan menyejukkan bara api dalam dadanya yang merebak jadi marak bila dia teringatkan insiden romantika d'amor antara Vic dengan Naglaa pagi tadi, Jujen berbaring di atas katil. Kebiasaannya pada waktu begitu dia akan berada di dapur. Sibuk menyediakan juadah makan tengah hari untuk mereka berdua. Namun, tengah hari itu hatinya sudah muktamad untuk mogok masak. Vic menggatal dengan Naglaa pagi tadi, kan? Pergilah cari Naglaa, suruh perempuan tu masak jika dia nak makan.
Muktamad!
Vic jangan ingat dia seorang sahaja yang pandai menggunakan perkataan muktamad. Jujen pun pandai juga!
Terbaring menelentang, kepala menindih dua tangan dan mata merenung ke siling. Berfikir. Muktamad-muktamad juga tetapi perutnya sudah berkeroncong lapar. Namun, jika dia ke dapur bagi menyediakan makanan untuk dirinya sendiri, pasti dia akan rasa bersalah kerana tak menyediakan makanan untuk suaminya sekali. Bukan setakat rasa bersalah sahaja. Berdosa pun sama. Macam mana dia nak buat supaya dia takkan rasa bersalah, tak berdosa tetapi pada masa yang sama, dia tak nak jadi orang yang mula-mula sekali menghulurkan tangan untuk berbaik-baik semula dengan suaminya? Vic yang memulakan sengketa itu. Mengizinkan Naglaa meracuni rumah tangga mereka. Viclah yang patut meminta maaf. Bukan dia!
Perutnya bukan setakat berbunyi tetapi sudah berbelit-belit ususnya menahan sakit. Ah! Tak boleh jadi. Jujen bangun dan bersiap. Dia tak akan masak tengah hari itu tetapi perutnya tetap perlu diisi. Jadi, dia mengambil keputusan untuk makan tengah hari di luar. Seorang diri atau berdua, terpulang pada Vic.
Jujen keluar ke ruang tamu. Dia buat tak nampak sahaja bila Vic menoleh dan memandang ke arahnya dengan wajah bingung.
"Awak nak ke mana?" soal Vic.
"Makan."
Buat seketika Vic terdiam. Berfikir. Kemudian, "tunggu sekejap, Suzanna. Saya nak ke bilik air dulu."
"Eh, awak nak ikut ke?" Jujen buat muka seposennya.
Vic pandang Jujen, Jujen pandang Vic.
"Tak apalah kalau macam tu." Vic yang sudah berdiri, kembali duduk. Capai remote control dan menghidupkan semula televisyen yang baharu sahaja dimatikannya beberapa saat tadi.
"Saya tanya aje. Bukannya saya tak bagi awak ikut. Kalau awak nak ikut, jomlah. Tapi terpulanglah pada awak."
"Tak apalah. Terima kasih." Vic tunjuk sikap keras kepalanya.
"Okeylah kalau macam tu." Jujen pun tak mahu kalah. Tak kuasa dia nak memujuk. Vic selesaikan dahulu masalah bernama Naglaa dan pastikan pelacur Arab bakal penghidap HIV tu tak mengganggu rumah tangga mereka lagi, baharulah Jujen nak layan dia seperti dahulu. Kalau tidak, minta maaflah... .
Jujen ke rak kasut dan berdiri lama di situ, blur sekejap nak pilih kasut yang mana satu sebab muka Naglaa asyik menempek sahaja dalam kepalanya, tersengih-sengih sambil mengelus rambut kasar yang tumbuh di dada Vic dengan miangnya.
"Dasar jalang," dengus Jujen sambil menoleh dan melihat Vic sedang memandang ke arahnya. Kemudian, masing-masing menoleh ke arah lain. Jujen kembali buntu bila melihat susunan kasut-kasut kesayangannya yang kelihatan tak menawan langsung tengah hari itu. Satu pun tak menonjol. Ah, ambil ajelah yang mana-mana pun. Tak ada orang nak sumbat dia ke dalam penjara sebab pakai kasut yang tak sepadan dengan baju. Kut rezeki dia hari tu, jadi trendsetter pula dia.
Dia capai sepasang kasut. Semasa melangkah ke pintu, Jujen perhatikan Vic. Sakit hatinya melihat ketenangan pada wajah Vic ketika itu. Begitu relaks sekali lelaki itu menonton TV, begitu positif seolah-olah tiada ribut yang sedang melanda. Teringatkan Naglaa agaknya. Haisy... rasa macam nak hempuk-hempuk sahaja kepala Vic dengan kusyen. Geram betul dia dengan Vic kerana menyimpan perasaan terhadap pelacur Arab bernama Naglaa itu. Geram giler!
Vic terus-terusan santai. Jujen pula yang resah. Ke hulu, ke hilir, ke dapur, ke bilik... melengah-lengahkan masa. Hatinya berbolak-balik. Hakikatnya, dia sangat berharap Vic ikut sama. Sejak bernikah dia belum pernah lagi makan tanpa suaminya itu. Snacks tu biasalah. Jadi alas perut dia sementara menunggu Vic balik dari kerja tetapi makanan yang berat-berat, dia mesti nak makan bersama Vic. Tengah hari itu, tak sanggup rasanya dia makan sorang-sorang sedangkan Vic berlapar di rumah. Masalahnya, hatinya masih sakit dengan perbuatan Vic dan Naglaa pagi tadi, ditokok dengan sabotaj yang Vic lakukan untuk menggagalkan rancangannya malam itu.
Takkanlah senang-senang dia nak melupakan semua tu dan memaafkan suaminya? Nanti lebih kerap lagi Vic memijak kepalanya.
"Jomlah, Vic..." Meleret sahaja suara yang keluar dari bibir Jujen. Suara yang keluar tanpa sengaja. Tanpa permisi dari otaknya. Jujen sendiri terkesima tetapi nak buat macam mana? Dah terlajak kata.
Tanpa sepatah bicara, Vic bangun. Malas-malas dia melangkah menuju ke bilik tidur. Jujen rasa macam nak tolak sahaja suaminya tu dari belakang. Biar cepat sikit sampai ke bilik. Sengajalah tu berlengah-lengah. Tak cukup lagikah menyakiti hatinya?
Kelibat Vic sudah tak kelihatan lagi tetapi bunyi dia menanggalkan pakaiannya dapat Jujen dengar dengan jelas. Dia ni nak buat apa sebenarnya? Nak ikut aku ke tidak ni? Isy, Benggali ni... aku bagi sebijik karang, baru dia tahu.
"Vic! Kalau nak salin baju tu cepatlah sikit. Orang dah lapar ni," gerutu Jujen seraya berkawat masuk ke dalam bilik. Namun, dia berpusing balik bila melihat Vic berdiri di sisi katil tanpa seurat benang. "Awak nak ikut ke tidak ni, Vic?" laung Jujen dari luar.
Vic buat tak tahu sahaja. Memang sengaja ingin menguji kesabaran Jujen. Dia masuk ke dalam bilik air dan mandi. Lama. Jujen dah menggelegak di ruang tamu. Perangai tak semenggah Vic tu perangai baru. Mana dia dapat entah? Takkan bhaiya yang mengajarnya tadi? Kalau betul, apa jadah Vaibhav nak merosakkan rumah tangga adiknya sendiri?
Tidak lama kemudian Vic keluar dari bilik air dan bersiap. Kedengarannya dia bersiap dalam keadaan yang tergesa-gesa. Tak macam tadi. Kemudian dia keluar ke ruang tamu, meluru ke arah Jujen lalu memeluk isterinya itu yang berdiri keras macam patung akibat terkejut.
'Apa jadahnya, ya Allah... aku pening kepala dengan Benggali ni hari ni,' bisik hati Jujen semasa dia meleraikan diri dari pelukan suaminya itu. "Awak ni kenapa? Tak sihat ke?" Jujen melekapkan tapak tangannya ke dahi Vic. Tak panas pun. Normal sahaja.
"I'm sorry," ucap Vic. Diciumnya dahi Jujen berkali-kali. "I'm sorry for hurting you and I'm sorry for making you cry."
Mata Jujen panas semerta. Terus berair. Hidungnya merah. Dia kembali memeluk Vic dan mula teresak-esak. "I'm sorry too, sayang."
"I love you, you know? I love you very much." Vic mengeringkan air mata yang membasahi pipi Jujen.
"I love you very much too. Tapi... boleh saya tahu apa yang buat awak berubah hati? Apa yang buat awak meminta maaf pada saya?"
"Tak ada... masa mandi tadi saya teringat wajah awak semasa kita di dalam kereta. Dah lama saya tak nampak wajah awak berseri-seri macam tu. Saya tahu hati awak memang gembira. Lega sebab semua masalah besar kita sudah berakhir. Tapi saya... awak tahulah saya ni... ada sesuatu yang tak kena dengan saya. Kalau tidak, takkan saya sanggup merosakkan kegembiraan isteri saya sendiri. Saya minta maaf, Suzanna. Saya minta maaf sangat-sangat."
"Saya maafkan awak. Sekurang-kurangnya awak cepat sedar akan kesalahan awak," sindir Jujen.
"Chal teri maa di!" Vic tersenyum dan mengangkat tangannya, pura-pura mahu menampar Jujen.
"Ehhh... beranilah tampar saya!"
"Saya takkan tampar awak, sayang. Sampai bila-bila saya takkan menyakiti awak sebagaimana yang..." Vic tak jadi meneruskan kata-katanya. Dia mengusap parut pada lengan Jujen. Parut akibat dilibas dengan tali pinggang oleh abah dahulu.
Jujen menelan liur bila dia teringatkan perbuatan abah terhadapnya. Timbul semula rasa terkilan dalam hatinya, namun segera dia memaafkan abah. Peristiwa itu dah lama berlalu. Tak payah nak dikenang-kenangkan semula.
"Vic, yang awak cakap tadi tu... apa maksudnya?"
"Yang mana?"
"Chal..."
Serta-merta Vic menggeleng. "Jangan cakap! Tak baik."
"Apa maksudnya?"
"Tak ada apa-apa."
"Awak mencarut, ya?"
Vic menggeleng lagi.
"Ya! Awak mencarut. Teruklah awak ni. Mencarut kat isteri sendiri."
"Dah. Tak usah panjang-panjangkan lagi perkara ni. Nanti kita bergaduh balik. Jom kita keluar makan. Saya dah lapar sangat-sangat ni. Lepas tu kita buat apa yang awak nak buat hari ni. Apa sebenarnya yang awak rancangkan?"
"Adalah..."
"Cakaplah. Tak payah berahsia-rahsia."
"Kejap lagilah. Kita makan dulu."
"Okey. Pergi basuh muka. Kemaskan mekap dan tudung awak dulu."
Jujen akur. Selepas itu mereka turun ke tingkat bawah dengan berpegangan tangan. Di dalam kereta pun masih berpegangan tangan sambil berbual dengan ceria macam biasa. Bila bergaduh, boleh runtuh dunia dibuat dek Jujen dan Vic tetapi bila tak bergaduh, macam belangkas. Asyik melekat sahaja. Lepas tu mulut masing-masing tak henti-henti bercakap. Bersembang berdua. Memang tak ingat dunia dah masa tu. Ada sahaja perkara yang mereka jadikan modal untuk berbual. Dari hal kehidupan sehinggalah ke masalah dunia. Tak pernah lagilah mereka buat hal masing-masing. Sorang duduk sini, sorang duduk sana. Tak pernah! Bila Vic balik sahaja dari kerja, Jujen tutup komputer riba dia dan letak telefon pintarnya jauh-jauh. Mereka makan bersama-sama dan selepas itu duduk rapat di atas sofa panjang itu, menonton TV atau bersembang. Kebetulan mereka berkongsi pendapat yang sama. Perbualan pun jadi lancar kerana tiada bantahan atau tentangan daripada sesiapa.
Tengah hari itu Vic membawa Jujen ke restoran kegemaran isterinya. Kedai kebab yang agak tersorok dari kesibukan kota tetapi makanannya, fuh... memang lazat. Walaupun kedai makan itu terletak jauh, namun orang lebih rela berkunjung ke situ untuk menikmati makanan yang enak. Tambahan pula restoran itu mengenakan harga yang jauh lebih murah daripada restoran lain.
"Kita jalan-jalan dulu nak, Vic?" ajak Jujen usai menjamah makan tengah hari.
"Okey."
Perlahan-lahan mereka menyusuri kaki lima deretan kedai di situ sambil berpegangan tangan. Beberapa orang wanita dan lelaki tua menegur mereka, dan memuji wajah mereka yang seiras. Jujen tersenyum lebar. Mana taknya... orang kata kalau muka suami isteri itu hampir serupa, jodoh mereka kuat. Syukur alhamdulillah. Semoga jodoh mereka kekal hingga ke syurga. Aamiin... Jujen berdoa dalam hati.
"Duduk sini?" Vic menuding ke arah sebuah bangku panjang.
Jujen bersetuju. Dia duduk rapat di sebelah Vic yang mendepakan tangannya di bahagian atas tempat bersandar. Jujen silangkan kakinya. Bahu kanannya melekat pada dada kiri Vic. Tangan di atas paha Vic. Begitulah keadaan mereka kalau di rumah pun. Betul-betul macam belangkas.
"Apa sebenarnya yang dah awak rancangkan untuk malam ni, sayang?" soal Vic.
"Okey, macam ni... boleh tak awak ambil cuti panjang dalam masa yang terdekat ni?"
"Untuk apa, sayang?"
"Saya nak bawak awak balik ke Malaysia. Dan India."
Serta-merta suasana menjadi sunyi dan sepi. Hati Jujen terasa bagai dihempap batu bila dia tengok riak wajah Vic bertukar jadi agak keras daripada tadi.
"Vic?"
"Jom kita balik ke rumah!"

KALAU DAH JODOH 2Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang