Hadilla menyapu air mata yang bergulir di kedua belah pipi. Sedan kecilnya meluruh segala kesedihan hati. Kenangan itu terlalu pahit untuk ditelan. Sungguh kelat untuk di kenang. Kisah pertemuan semula dengan ayahnya kini mengincar-incar hatinya tambah nelangsa. Luka lama berdarah kembali. Kenapa ayah harus muncul lagi, merobek hati mereka ke gaung yang dalam? Kenapa dia mencari mereka lagi? Mereka tak perlukan pertemuan ini! Tidak idamkan sama sekali!
"Puan, kami nak keluar ni untuk makan tengahari. Puan nak kirim apa-apa? Puan ok ke?"
Teguran kak Maznah, setiausahanya di balik daun pintu, membuat lamunannya sekali lagi mati andar. Hadilla cepat-cepat menyeka air mata yang membasah di tubir mata.
"Takpe lah, kak Maznah. Saya pun nak keluar ni. Tak balik lagi petang nanti"
"Baiklah Puan. Saya pergi dulu ya!"
Kak maznah bingkas berlalu sambil menutup daun pintu kayu kukuh itu dengan teliti. Seolah-olag gugup melihat dirinya dihurung emosi seperti itu. Tampak aksi yang salah tingkah.
Hadilla merapi solekan di matanya. Diseka kesan air mata yang menempel dengan sehelai tisu, lalu disapu kembali dengan bedak compak. Tak lupa dipoles lagi gincu di bibir yang sudah samar warnanya. Dia bangun seraya menyisir pula rambutnya yang mengurai mencecah bahu dengan jemari tangan. Dihela nafasnya perlahan seraya terpekur sejenak. Setelah itu digenggam kunci kereta dari atas meja. Turut meraih beg tangan dari perut laci kanan. Dia mahu keluar dari ruang yang melemaskan itu. Lari menenangkan diri.

ANDA SEDANG MEMBACA
SELAYAR LARA
Conto“Mengapa mereka runtuhkan rumah kita umi? Kenapa kita kena keluar?” Suara kecilnya penuh kaget meminta penjelasan umi. Umi terus termenung. Kak Long pula tak henti-henti berisak tangis menyapu air mata dengan tangan baju. Suasana begitu muram. Per...