2

6 0 0
                                    

"Pergilah Ila menjenguk. Dah begitu lama orang tua itu terkedang kaku di hospital. Nampak seperti masanya sudah tak lama!"

Sayup-sayup tergiang suara Mak Long Saanah membujuknya malam tadi mengegar di nubari. Hadilla merasakan yang dia sudah cukup sempurna melayan kehendak lelaki itu. Sudah ditempahkan sebuah kamar khas untuknya di wad kelas pertama. Seorang jururawat juga diadakan khas untuk menjaganya. Malah dia tegar membiayai keseluruhan keperluan yang ada. Baginya itu sudah cukup baik berbanding apa yang dilakukan oleh lelaki itu pada umi dan mereka adik-beradik dulu.

Namun Maklong Saanah tetap mengesanya tanpa putus asa. Bahkan memohon agar dirinya tidak menyimpan sebarang dendam dalam hati. Bertegas agar dendam itu tidak bersemarak membakar diri. Sehingga membuak penyesalan dikemudian hari.

"Saya tak mampu menjengah wajahnya, Mak Long... terlalu luka!"

Sekilas wajah Mak Long Saanah memenuhi ruang nubari. Adik umi yang berbakti menjaga mereka selama ini. Membalut luka mereka yang tercedera, setelah bubarnya tanggungjawab lelaki yang bernama ayah. Malah menjadi peneraju semangat hidup mereka.

Mak long yang berkerjaya sebagai guru itulah yang memelihara kehidupan mereka sekeluarga tanpa berkeluh. Bahkan, membiayai pelajaran mereka adik-beradik sehingga mampu menyandang puncak jaya di hari ini. Bakti yang tak terbilang luhur seumur hidup.

Mak Long Saanah tahu apa yang mereka hadapi. Apa yang gemulah umi tempoh dengan jiwa yang lara. Bagaimana dia, tiga beradik mengaut hidup muda dengan penuh trauma. Mak Long saksi segala sengsara. Namun kini dia didesak agar menyibak luka itu kembali. Dia tak sanggup! Mak Long tidak mengerti!

Hadilla mengeluh lemah. Jam mewah yang berpaut kaku di sudut atas pintu masuk dijerling tipis. Detak locengnya yang bergegar gagah melupus sejenak benak yang bercelaru. Tepat waktu tengahari.

Di luar sayup-sayup terdengar keriuhan dari suara para kakitangannya. Mungkin semuanya sibuk bergegas untuk keluar makan tengahari. Ternyata sungguh lama perasaannya terjera di ruang biliknya itu. Sepanjang pagi dia tak dapat membereskan apa-apa kerja pun. Hanya melamun melayan hati kacau. Jiwa tambah pusang.

"Pergilah Ila. Siapa pun dia, dia tetap seorang ayah yang tak dapat dicari ganti. Darahnya mengalir di setiap gerah tubuhmu. Tak dapat di kecuali!".

Suara bujukan Mak Long Saanah bergiang terus di halwa telinga. Seakan menekan-nekan dadanya yang tak kuncup debar. Hadilla meneguk rakus air mineral yang diraih dari sudut kanan meja. Cuba menyiram kepedihan dalam senakan hati. Mohon diberi ketenangan minda. Penyejuk raga..

Wajah gemulah umi yang dipotret indah di sudut dinding kamar, ditatap dengan benak yang hiba. Senyum umi yang menggoyah rasa, seakan penyejuk semangat. Hanya itu kenangan wajah umi yang diabadikan.

Potret yang ditempah khas dari pelukis tersohor itu seolah-olah hidup dalam sebuah bingkai besar bersadur rona emas. Wajar membujur sirih umi yang penuh kemelayuan membias tulus hati. Sepasang mata bundar umi yang beralis indah sarat tarikan. Sinar mata itu menyimpan lara sampai mati.

SELAYAR LARATempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang