5

8 0 0
                                    

Kereta dipandunya laju meluncur di dada aspal. Sepantas debar yang berdegup kencang di rongga benak. Hadilla masih termangu-mangu mengemudi tanpa arah tujuan. Dia mati kutu. Fikirannya menerawang entah ke mana.

Tingkap sisi keretanya dibuka bersama deru penghawa dingin yang masih melancar di ruang dalam. Angin yang deras menyibak-nyibak wajah serta helaian rambutnya yang terurai. Angin ikut mengibar-ngibar baju kurung hijau daun pisang yang dikenakan. Turut menyelak-nyelak lengan baju bersulam rajut di tangan kiri yang memaut kemudi. Sehingga parut itu jelas ternampak

"Apa yang kau nak tenguk sangat ha! Suka sangat nak tenguk! Kau kemari sini. Aku tunjukkan kau yang nak tengok sangat tu! Kemari kau!"

Ayah mengheretnya ke dalam kamar umi. Dia ditangkap mengintai ayah yang sedang sibuk mengulung sesuatu di sebalik pintu kamar. Ayah membanting tubuhnya yang kecil itu tanpa belas kasihan. Tangan kecilnya sakit terpulas dalam genggaman tangan kekar ayah.

"Sakit ayah! Sakit! Jangan ayah! Sakit!"

Raungannya memecah keheningan rumah pusaka. Umi tiada di waktu itu, kerana sibuk membasuh baju di rumah makcik Gayah. Nenek turut mengikut sambil menjenguk anak makcik Gayah yang bersalin zuriat pertama.

Paras ayah berseringai menakutkan. Matanya membuntang aneh seperti kerasukan. Ayah menenyeh-nenyeh puntung rokok daun yang berbara ke lengannya sambil bergilir-gilir menyedutnya mengepul bara. Dia yang bertubuh kurus meronta-ronta menahan kesakitan. Dicuba sedaya upaya untuk melepaskan diri. Ayah tidak peduli. Makin dikuatkan cengkaman tangannya mendekap tubuh kecilnya yang tak berdaya.

Ayah makin kuat tertawa seperti tidak siuman lagaknya. Mata ayah merah seperti jelmaan iblis dan berkhayal entah apa-apa. Seakan terhibur melihat dirinya yang masih kecil itu teronta-ronta menanggung kesakitan. Peristiwa itu berlaku berulang-ulang sehingga hampir seluruh tangan kecilnya berbirat kesan cucuhan. Lebam-lebam di belakang tubuh kecilnya tak terkira, gara-gara penangan sepakan kaki ayah. Terlalu kejam!

"Honnnnnnnnnn!"

Bunyi hon kenderaan di belakang mematikan lamunannya lagi. Dia menekan minyak, seraya meluncur keretanya laju melintasi lampu merah. Airmata masih merembes jatuh berjujuhan. Esakan halus masih meraung di sela rongga dada. Hatinya sebak. Dia memutuskan untuk behenti di pinggir pantai Danga yang panjang bersisiran di tepi jalan itu. Menyambut sendu hati.

Langit yang membiru tampak suram di sebalik kepulan awan komulus nan putih samar. Hadilla menengadahkan wajahnya. Membiarkan bayu laut yang bersemilir mencecah lembut ke seluruh wajah. Tak diperduli bahang matahari yang ikut menyentuh hangat kulitnya di tengahari itu. Dia nampak wajah umi di situ. Wajah dengan senyum penyejuk yang abadi.

Wajah tenang umi melayar di mata hati. Dia masih ingat di saat umi dilanda nazak hampir dipukul maut lewat dua tahun yang lalu. Wajah umi tetap tenang. Umi jatuh ketika mengambil wudhuk di waktu pagi hening. Jeritan Mak Long Saanah mengejutkan mereka adik beradik di bilik masing-masing. Kak Long memangku kepala umi yang siap berkerudung putih untuk solat subuh. Wajah umi tetap segar menatap paras mereka, adik-beradik satu persatu.

"Umi akan pergi! Rasanya masa telah tiba. Kak Long jagalah adik-adik ya! Jejak lah ayahmu. Maafkan lah dia. Ayahmu cinta umi yang tiada tara. Biarpun dibalas tuba, dia tetap suami umi. Ayahmu jua. Maafkanlah dia. Kerana umi sudah lama memaafkan.."

Umi berlalu tanpa rengkuhan sakit. Begitu tenang. Wajah umi yang memutih mulus persis manusia yang tidurnya dalam aman nyenyak. Senyum tetap terukir tanda jiwa nan damai.

Hadilla berdesah pilu. Angin yang membelai sekujur tubuhnya seolah-olah dekapan tangan umi yang mengelus mesra. Airmatanya mengering dalam sejatan angin. Memaut damai.

"Memaafkan itu amat indah, Ila. Contohilah umimu. Dia pergi dalam damai, kerana ada maaf dalam hati. Tiada dendam dibawa pergi dalam jiwa".

Bujukan Mak Long Saanah bergiang lagi. Seolah-olah meluru halus mempuput rasa

Hadilla meneruskan pemanduannya lagi. Kereta Honda mewah itu meluncur laju di jalan aspal yang berwap bahang terik matahari. Bergerak tegar memasuki laman bangunan berwarna putih berbumbung merah yang tersergam besar di hadapannya. Hadilla terus terpaku menatap bangunan itu. Telefon tangannya tiba-tiba berdering.

"Kau kemana Ila. Dia sudah tenat. Datanglah!"

Suara lengkingan Mak Long Saanah memeranjatkan dirinya yang terduduk kaku. Dia tersentak seolah-olah disambar halilintar. Bagai dibias aura semangat baru, dia keluar dari perut keretaitu. Malah berlari anak memasuki ruang bangunan itu. Menuju ke wad kelas pertama

Hadilla melihat Mak Long Saanah di sudut ruang menunggu. Di tangannya erat memaut surah kecil yasin sambil bibir berkumat kamit mengalunkan ayat suci itu. Hadilla melangkah perlahan ke arahnya. Mak long Saanah bingkas berdiri menatapnya dengan mata berkaca.

"Akhirnya, kau datang juga iIa!", ucap Mak long Saanah perlahan. Ada haru pada nada suara itu.

Hadilla memeluk Mak long saanah erat. Seakan mahu melepaskan segala gemurat hati. Air matanya merembes lagi tanpa lelah.

"Ila!".

Terdengar namanya dipanggil dari arah belakang. Hadilla menoleh. Dilihat kelibat Kak Long yang terjengkot-jengkot dengan kakinya yang capek itu. Berlangkah menuju ke arahnya dengan paras sayu. Kaki capek ulahan ayah. Bibir Kak Long menguntum senyum haru. Tangan kanan kemas menjinjing sang adik yang turut ikut serta.

Adiknya yang sedang menuntut di Amerika itu muncul mendadak mengejutkannya. Bilakah dia pulang? Hadilla terpana. Mak Long Saanah mengucap alhamdulillah dalam hati. Mereka adik beradik seolah-olah berjanji untuk berkumpul di sini.

"Kita akan sama-sama menempuhnya, Ila! Kita akan sama-sama tunaikan hasrat umi!"

Kak Long berucap tegas. Seperti membias semangat kepada mereka adik beradik. Tangan mereka berpaut erat dalam genggaman padu.

"Kak Long sudah memaafkan?"

"Kita akan cuba memaafkan. Demi umi!"

Airmata bergulir di pipi kak Long. Adik sudah tersedu tangis. Mak Long Saanah juga masih diselubungi haru.

Mereka menyelak daun pintu putih wad kelas satu itu dengan jiwa yang sengaja didamaikan. Debaran masih sarat mengisi dada. Terlihat seorang tua terkedang lesu di atas sebuah katil serba putih. Wajahnya terlihat amat tua menanggung derita jiwa. Kesakitan dari pelbagai penyakit yang ditanggung tampak jelas terpamer lewat helaan lesu nafasnya. Mata tua itu terkebil-kebil menatap mereka dengan riak tidak percaya. Ada gurasan kesal penuh di raut wajahnya. Mata tua itu berkaca-kaca

"Anakku! Maafkanlah ayah! Maafkan ayah!"

Suara tua itu beringis bercampur sendu. Penuh derita. Seperti adik beradiknya, Hadilla mengamit haru. Airmata pecah di setiap wajah

"Ayahhh!"

SELAYAR LARAWhere stories live. Discover now