3

6 0 0
                                    

Umi sudah banyak berkorban. Umi menempuh lara hidup demi mereka, anak-anaknya. Fiqura umi membenamkan kasih mereka berlumur haru. Sejak kecil mereka tidak pernah hidup dalam kesenangan. Penuh pahit dan getir. Malah masih segar di cepu ingatannya, tatkala mereka hidup di sebuah pondok kecil berdinding papan dan berbumbung nipah milik nenek kepada umi. Di rumah pusaka itulah mereka membesar dan umi mendidik budi pekerti.

Batinnya luruh sayu mengenangkan umi yang amat cekal jiwanya. Pelbagai kerja dilakukan untuk menyempurnakan mereka serta berbakti pada nenek yang sudah melarat tua. Siang umi berkerja di dusun pusaka milik keluarga. Adakalanya dia mengambil upah membasuh kain dan masuk ke rimba mencari herba terpilih yang mendatangkan duit. Malam pula, tangannya tidak pernah lelah menjahit baju pada yang tekun mengupah. Jahitannya begitu halus sekali. Malah tiada tolok banding di kampung mereka.

Ayah pula jarang menampakkan muka. Seingatnya, sejak kecil mereka tak pernah dilayan seadanya. Tidak bertanya khabar dan bertegur jauh sekali. Dia pulang hanya tika ingin berkehendakkan sesuatu dari umi. Justeru hanya untuk melunas hati perut.

Umi selalu parah diperlakukannya. Raungan umi membuatkan mereka adik beradik saling menangis berpelukan mengincar lara malam. Tamparan, herdikan dan pukulan ayah pada umi membesarkan mereka dalam naungan trauma.

Hadilla masih ingat di waktu tragedi kemuncak dalam hidup mereka di rumah pusaka nenek itu. Ketika itu dia hanya 6 tahun. Malam itu ayah yang berwajah bengis beserta pakaian yang kusut-masai pulang lagi. Riaknya baran disela liang amarah yang tak dilintas fikir. Umi di pukul teruk. Kepalanya dihantuk keras ke lantai papan. Raungan umi bergegar di persada malam. Ratapan umi menghiba bahana diperlakukan secara tidak adil.

Nenek yang dimamah pikun dan bertubuh kecil cuba melerai amokan itu. Namun dia di tolak ke luar tangga kayu yang curam sehingga tersungkur menemu ajal. Kak long yang cuba membantu umi, dihentak kayu api di kaki kanannya sampai menjadi capek hingga kini. Jeritan kak long ketika itu tak pernah luput di rongga ingatannya seumur hidup.

Ayah bagai dirasuk syaitan. Dengusan kuat nafasnya disela aroma minuman yang memabukkan menggerunkan mereka. Jergahan serta bunyi pukulan demi pukulan bergema membingit suasana. Dia dan adik hanya mampu saling berpelukan seraya memandang dari sudut ceruk dapur, tanpa mampu berbuat apa-apa. Dan ayah menghilang lagi bersama barang yang dirampasnya.

Keesokan harinya, situasi suram mengelilingi mereka. Gemulah nenek di kebumikan dengan sepenuh pilu di hati umi. Kehadiran penduduk kampung serta anggota polis tak mampu memadamkan bara pilu di lubuk hati. Ibunya tewas ditangan suaminya sendiri.

Namun umi tidak pernah kalah pada takdir yang menimpa. Umi terus bangkit. Bekerja tak behenti-henti seakan tidak menghiraukan lelah diri. Terus menbimbing mereka tanpa gundah. Senyum tetap mengukir biar luka terus mencarik. Hanya tuhan yang tahu hati umi penuh duka sengsara. Ayah pula terus menghilang tidak pulang-pulang lagi. Mungkin sudah dapat apa yang dicitanya. Atau takut akan dirinya dijejaki pihak berkuasa. Mereka aman buat seketika.

Damai itu tidak lama. Hidup mereka bergolak lagi tatkala di suatu malam rumah pusaka umi didatangi sekumpulan orang yang mencari ayah. Empat orang pemuda berwajah bengis bersama riak tidak bersahabat menjadi tamu yang tidak diduga. Hadir dengan suara amaran yang menggegar liang nurani. Rusuh di wajah umi tampak tambah getarnya.

"Kita harus pergi, nak! Kita harus pergi! Kita harus tinggalkan tempat ini. Bersiaplah!"

Nada tenang yang berkisah diwajah umi mengkagetkan mereka. Mata umi yang berkaca menyulam derita pasti diingat mereka seumur hidup.

Mereka bergegas membungkus segala pakaian dalam selonggok kain yang besar. Segala keperluan sekolah juga tak lupa dicapai. Umi mengaul segala lauk yang dimasak ke dalam periuk nasi yang besar lalu turut melonggok ke dalam sehelai kain batik untuk di gendong.

Mereka meninggalkan rumah itu. Kak long dengan longgokan kain baju. Dia yang menjinjing sang adik yang terkapai-kapai mengikutinya. Umi dengan gendungan periuk di pangkuan. Mereka berjalan tanpa menoleh.

Umi bertangis esak di sepanjang jalan. Wajah mereka adik beradik beriak pucat bagai dikejut halilintar. Saat itu hujan turun agak lebat, berpusar-pusar menyirami tubuh mereka. Airmata umi jatuh bergulir bersama rintis hujan melemas wajah. Mereka basah kuyup lalu berlindung di parkin bas dipinggir kampung.

Dari jauh, dia menyeka lemasan hujan di sela wajah kecilnya seraya menoleh sejenak. Tampak rumah pusaka nenek di runtuhkan orang. Dusun umi ditarah semuanya. Musnah begitu sahaja.

"Mengapa mereka runtuhkan rumah kita umi? Kenapa kita kena keluar?"

Suara kecilnya penuh kaget meminta penjelasan umi. Umi terus termenung. Kak Long pula tak henti-henti berisak tangis menyapu air mata dengan tangan baju. Suasana begitu muram. Pertanyaan kecilnya tidak berjawab. Adik memeluknya dari belakang menahan gigil kesejukan. Umi meraih adik dalam pelukan lalu meraungkan tangis hiba lagi. Dia terpaku tidak mengerti. Sesungguhnya dia terlalu kecil benar waktu itu untuk memahami arti lara.

Sepanjang malam, mereka sekeluarga bermalam di situ. Makan nasi bergaul lauk seperti rojak dari periuk nasi gendungan umi. Mulut kecil mereka disuap umi satu persatu dengan penuh sayu. Umi masih bertekad tenang. Lantas dalam gerimis malam yang membasah, mereka tidur berpelukan dalam pangkuan umi, menahan gigil sejuk. Hanya sehelai tuala lusuh milik umi yang melindung mereka dari hurungan liar agas serta nyamuk.

Sehinggalah Mak Long Saanah, adik umi datang menjemput mereka di parkin itu. Setelah penghulu kampung menghubunginya apabila terkesan kebakaran di rumah pusaka umi, serta kehilangan jejak mereka sekeluarga yang kabur begitu sahaja. Mak Long saanah nekad datang mencari kelibat mereka sekeluarga sampai bertemu. Ajak ikut hidup bersama di rumahnya di kota besar ini. Sementelah dia juga sebatang kara menyongsong diri setelah kematian suami. Mereka melayar hidup baru yang lebih sempurna.

Sementelah dia meningkat remaja, barulah pertanyaan masa kecilnya terjawab. Kaki Kak Long menjadi capek bahana dipukul ayah. Geran pusaka nenek yang dirampas ayah lalu di gadaikan pada pemiutang. Tanah dan rumah nenek dirampas juga atas ulahnya. Ayah membuatkan umi hilang segalanya. Ayah juga membunuh nenek yang tidak berdosa. Ayah terlalu kejam!

SELAYAR LARAWhere stories live. Discover now