Rasa bersalah pada ibu? Memang ada. Tetapi hanya ini saja cara untuk dia membantu ibunya itu. Setelah puas bermain tolak-tarik dan melayan seribu satu macam sikap Farish padanya, hari ini akhirnya dia bersimpuh ayu di sisi Farish yang segak berbaju melayu. Kalau sebelum ini, agenda ini bagaikan satu tiket loteri, entah kenapa hari ini, duduk di sini, jantungnya seakan tidak mampu berdegup normal. Di sisinya, Puan Rogayah tersenyum tenang. Sesekali dia berpaling, berlaga pandangan dengan majikannya itu. Sungguh dia berdebar menanti akad yang bakal dilafaz.
Permintaan Farish, majlis akad nikah yang sederhana. Cuma itu yang Farish mahu. Dia pula, langsung tiada masalah kerana saat itu kepalanya penuh dengan bayangan RM seratus ribu. Berterbangan jatuh dari langit menerpa ke arahnya.
Tetapi hari ini rasanya dia menggigil menanti lafaz keramat yang membawa satu ikatan nanti. Diam-diam dia mendengar jurunikah memulakan majlis. Seterusnya, diam-diam dia mendengar lafaz dari bibir Farish. Satu lafaz yang menjadikan dia milik lelaki itu. Yang membuat hidupnya seratus peratus berubah. Tiba-tiba ada rasa kekok yang menyelubungi hatinya. Jadi pegun. Mendengar jurunikah membaca doa, dia turut menadah tangan mengaminkan doa. Seakan tidak percaya begitu cepat dia akan melepasi fasa ini. Seharusnya saat ini dia masih bersuka-ria menghabiskan zaman remajanya. Dia menyesalkah?
"Raisya,"
Dia tersentak. Puan Rogayah sudah menyentuh bahunya.
"Ya, Puan,"
Puan Rogayah tersenyum. Wajah yang dirias cantik itu nampak pucat. Nampak menggelabah.
"Salam suami tu,"
"Hah? Suami?,"
Puan Rogayah mengangkat kening. Nampaknya gadis ini menggelabah betul. Tangan kanan Raisya sudah menekan dada. Kenapa begitu laju degupan jantung ini? Lebih laju debarnya apabila tawa kecil tetamu yang hadir memeriahkan majlis akad nikah sampai ke telinganya. Malu tiba-tiba. Perlahan dia mengusap wajah.
"Saya lupa...,"bisiknya perlahan. Puan Rogayah tersenyum panjang. Mendorong tubuhnya sedikit ke hadapan, berdepan dengan Farish yang sudah mendekatinya. Seketika dia mengangkat muka memandang wajah Farish, rasanya seperti mahu pitam. Usikan yang menyapa telinga menambahkan lagi rasa segan sekaligus membuat jantungnya berdegup kencang. Tangan dihulur dan dia dapat lihat jemarinya yang sudah sejuk seperti ais sedikit menggigil. Saat bersentuhan dengan tangan Farish, kehangatan sentuhan Farish bagai mengalir meresap ke jemarinya yang hampir membeku. Perlahan dia menunduk mengucup jemari Farish. Seketika, pantas kepala diangkat dan terdengar Farish terjerit kecil. Kepalanya pula terasa sengal.
"Aduh...,"perlahan dia menggosok kepala dan terkebil-kebil dia melihat Farish menyentuh bibir. Berdarah. Dagu Farish terhantuk di kepalanya dan bibir lelaki itu berdarah. Dia ternganga. Ini bukan malu lagi tetapi sudah menjadi berganda-ganda malu. Laju dia menoleh memandang Puan Rogayah. Kemudian berpaling pula menghadap Farish yang tertunduk.
"Sakit ke? Sorry. Saya tak perasan,"
Farish menekan bibir dengan jari. Cuba untuk bertenang.
"Berdarah tu,"tokok Raisya kelam-kabut.
"Farish? Okay ke?,"
"Sikit je. Pengantin perempuan ganas betul,"jawab Farish dengan nada sedikit bergurau. Gurauan yang membuat ruang tamu menjadi riuh seketika. Gurauan yang membuat Raisya berdoa agar lantai akan merekah menelan dirinya.
"Tak apalah. Suruh pengantin perempuan bawa pengantin lelaki masuk. Bibir luka tu,"
Satu suara yang tidak diketahui milik siapa, tiba-tiba membuat nafas Raisya seakan terhenti. Laju dia menoleh memandang ibu mertuanya.
"Betul tu. Raisya bawa Farish ke bilik. Cari ubat,"
Raisya mengangkat kening. Puan Rogayah mengangguk memberi isyarat bahawa itu merupakan satu perintah yang perlu dia buat. Dan dengan berat hati dia bangkit sambil memaut lengan Farish.
"Farish, ikut Raisya. Tengok luka tu,"Puan Rogayah bersuara. Bimbang kalau-kalau Farish membuat tindakan yang boleh menjatuhkan air muka menantunya. Lega hatinya apabila Farish akur dan melangkah pergi bersama Raisya.
Sedikit laju Raisya menarik lengan Farish meninggalkan ruang tamu.
"Teruk ke bibir tu?,"soal Raisya sambil meniti anak tangga. Farish sekadar merenung tanpa menjawab.
"Salah Encik Farish. Kenapa mulut nak rapat dengan kepala saya?,"sambungnya apabila Farish seakan tidak mahu menjawab.
Farish kerutkan kening. Dia luka bibir terhantuk kepala saat mahu mencium dahi Raisya, tetapi kini dia pula disalahkan.
"Kamu tak pernah tengok orang nikah ke?,"
Raisya termenung seketika. Selama ini masanya habis di sekolah dan di rumah ibu. Memang dia jarang menghadiri majlis kahwin sesiapa pun. Majlis nikah, lagilah tidak pernah dia hadiri. Lambat-lambat dia menggeleng.
"Okay. Tak pernah tengok orang kahwin dekat majalah atau tv?,"
Raisya tersengih.
"Pernah. Kat majalah. Tapi saya tengok barang hantaran aje. Yang lain saya tak layan.,"jawab Raisya bersama tawa kecil.
"Tak pernah tengok drama kat tv?,"
Raisya menjongket bahu.
"Ibu memang tak bagi kita orang tengok tv sesuka hati. Tengok pun rancangan tertentu saja. Habis belajar, saya kerja kat sini. Bila kerja kat sini, mana sempat nak layan drama kat tv?
Farish mengeluh perlahan. Akhirnya dia mengalah. Sakit hati bercakap dengan Raisya.
Raisya menolak pintu bilik Farish. Pertama kali melangkah masuk ke bilik lelaki itu. Besar dan dihias cantik. Farish melangkah menuju ke katil. Mencapai tisu di meja kecil di sisinya. Perlahan ditekan di bibirnya. Terasa sedikit pedih. Raisya tercegat memandang.
"Nak saya tolong apa-apa ke?,"
"Tak perlu,"
Raisya mengeluh. Tadi hebat jantungnya berdegup kencang. Tetapi, kini rasanya perasaannya sedikit stabil.
"Nak saya tolong ambilkan ubat ke?,"
Farish menggeleng. Tisu ada ada sedikit kesan darah, dibuang ke dalam tong sampah.
"Sikit je,"
Raisya tersenyum.
"Nasib baik sikit je. Kalau patah gigi tu? Mesti hilang hensem Encik Farish. Lain kali jangan dekat-dekat sangat,"ujarnya sambil tergelak. Lucu membayangkan gigi Farish patah kerana terhantuk kepalanya.
Farish diam tanpa apa-apa reaksi. Tidak kelakar lawak yang Raisya buat apabila insiden terhantuk hingga luka bibir seketika tadi, tetap membuat dia berasa malu.
"Sepatutnya saya cium dahi kamu,"
Raisya diam seketika. Jadi sebab itukah Farish jadi begitu hampir dengannya. Dia memandang wajah Farish.
"Cium dahi saya? Sudi ke Encik Farish? Kenapa tak cakap awal-awal sebelum akad nikah tu? Manalah saya tahu,"
Farish membuang pandang.
"Tutup topik,"ujarnya pendek. Tidak mahu lagi bercakap tentang insiden yang berlaku. Raisya menjongket bahu.
"Jadi, Encik Farish rehatlah. Saya keluar dulu,"
"Okay. Beritahu mama kejap lagi saya turun,"
Raisya mengangguk. Pantas melangkah keluar dari bilik Farish. Diam seketika mencari kekuatan untuk sekali lagi menyertai tetamu-tetamu di bawah.
*****
YOU ARE READING
Sayang Papa Saya Tak?
Romance"Seratus ribu, Encik Farish. Yang tak gatal pun mesti jadi gatal"- Raisya. Bagaimana Farish tidak pening dengan Raisya yang begitu? Kisah mereka ada di sini.