Mencintai Dia... (tajuk sementara) 14

18.2K 418 49
                                    

Raisya menggaru kepala. Salah dia. Terpaksa dia akui, ini semua gara-gara mulut cabulnya. Akhirnya dia mengalah. Perutnya berkeroncong saat ini, dia sudah tidak boleh salahkan Farish lagi. Sangkanya memasak tidak sesusah mana. Tetapi, hari ini dia akui dia silap besar. Berlagak memberitahu Farish yang dia boleh memasak merupakan kesilapan yang dua kali lebih besar.

Sekali lagi dia mengacau nasi di dalam periuk nasi elektrik. Nasinya lembek. Tersangat lembek. Dia mengeluh lemah. Disenduk nasik lembek yang tidak nampak seperti bubur tidak juga nampak seperti nasi, ke dalam mangkuk. Lemah langkah dibawa ke meja. Hilang semangat mahu memasak. Dengan malas dituang kicap ke dalam mangkuk nasi. Sambil pejam mata, disuap nasi lembik bersama kicap ke mulut. Sedap? Memang tidak sedap namun, dipaksa juga untuk ditelan.

"Padan muka kau Raisya. Elok orang tolong belikan makanan, kau berlagak. Suruh beli barang dapur segala. Berlagak boleh masak lagi. Sekarang ni, makanlah nasi yang tak serupa nasi ni, ya,"dia bersuara sendiri sambil meneguk oren Sunquick. Mahu menolak masuk nasi yang tidak begitu mudah untuk ditelan.

"Makan apa tu?,"

Raisya menongkat dagu. Soalan dari belakang sudah dia tahu milik siapa.

"Cepat awak balik,"balasnya tanpa menjawab soalan Farish.

"Dah kenyang. Baliklah,"

Raisya mencemik.

"Kamu masak apa? Tak ada lauk? Minta beli macam-macam semalam, ingatkan lauk penuh meja hari ni. Nasib baik saya tak tunggu masakan kamu,"soal Farish sambil merapati meja makan.

Raisya mengeluh panjang.

"Hari ni mood saya nak makan bubur,"

Farish menjenguk.

"Are you sure itu bubur?,"

"Saya masak bubur, memang macam ni. Awak dah kenyang, sila ke tepi. Jangan kacau saya nak makan,"

Farish tersenyum sinis.

"Betul ke kamu pandai masak ni?,"

Raisya mengerling. Soalan itu seperti soalan ajak bertengkar.

"Awak kenyang. Saya lapar. Jadi, jangan cari pasal ya?,"

"Mengaku sajalah. Kamu... memang... tak... pandai...masak,"

Raisya kerutkan kening. Sebelum menjadi suami, Farish tayang muka serius dua puluh empat jam tanpa ada suara. Tetapi, sejak menjadi suaminya, ada satu benda yang dia sedar. Selain daripada tayang muka serius, mulut Farish juga bukan main celupar mengutuknya. Menyindirnya.

"Tak kisahlah. Saya pandai ke... tak pandai ke... mulut saya saja yang makan. Jangan kacau sayalah,"

Seperti biasa Farish sekadar menggeleng perlahan. Plastik di tangan diletakkan ke atas meja. Melihat ikan yang disiang Raisya semalam, semuanya hilang kepala, dia sudah agak gadis ini hanya bercakap besar. Melihat Raisya terkial-kial membasuh beras di sinki tadi pun sudah cukup untuk memberitahu yang gadis ini memang tidak pernah masuk ke dapur. Hasratnya untuk makan di luar, dibatalkan apabila terfikir mungkin masakan Raisya tidak akan menjadi.

Raisya yang baru mahu suap nasi ke mulut, terhenti. Terkebil-kebil melihat plastik di atas meja.

"Tengok apa lagi? Hidangkanlah,"

Raisya bulatkan mata.

"Makan tengahari ke?,"

"Dah tu? Nanti report dekat mama cakap saya tak bagi makan pula,"

Raisya tersengih. Mangkuk nasinya terus ditolak ke tepi. Terus dia mengangkat punggung mengambil pinggan dan mangkuk.

"Awak dah makan?,"

Sayang Papa Saya Tak?Where stories live. Discover now