'Insyirah'
"WELCOME to Amsterdam," ketua pramugari memulakan pengumuman pendaratan.
Schipol. Lapangan terbang kedua tersibuk di Eropah selepas Heathrow, London. Aku akan berada di sini hanya untuk tiga jam. Transit sementara menunggu pesawat yang akan membawa aku ke tempat tujuan yang sebenar. Jauh dari Malaysia pastinya.
Aku melihat pemandangan gelagat manusia yang sibuk dengan hal masing-masing sebelum menoleh ke arah skrin besar di hadapan yang menunjukkan senarai penerbangan lanjutan yang akan berlepas dalam masa satu jam dari sekarang. Tentulah, penerbanganku yang seterusnya tak ada dalam senarai.
Aku ada lebih kurang... dua jam lagi untuk bersenang-senang disini.
Kaki melangkah lebih dalam dan aku temui sebuah kedai buku. Hampir 45 minit bersantai di sana, aku meneruskan perjalanan dan tiba di kawasan imigresen.
Semakin jauh masuk ke bangunan terminal Schipol, semakin aku rasa seperti berada di pusat membeli-belah. Sambil berjalan, aku melihat pelbagai kedai yang menjual pelbagai jenis barangan berjenama. Daripada baju fesyen terbaru, wangian, kosmetik, sampai ke barangan elektronik, semuanya lengkap. Konsep KLIA 2 juga lebih kurang sama. Terasa macam... aku masih berada di Malaysia.
Memandangkan aku masih ada lebih kurang 1 jam sebelum berlepas, aku terus menuju ke Starbucks dan beratur di kaunter. Setibanya giliran aku, seorang lelaki Belanda mengambil pesanan bersama senyuman.
"Black mocha and your name, miss?"
"Maira," balasku.
Maira sudah tentu bukan nama aku. Tapi lebih mudah untuk pemuda itu fahami kalau nak dibandingkan dengan sebutan nama asal, Insyirah. Lagipun, ianya cuma secawan plastik. Tak salah kan, kalau aku guna nama ibu untuk kegunaan sebegini.
Kopi pesanan yang bertulis 'Maira', aku ambil daripada kaunter di hujung dan mencari tempat duduk yang kosong. Sambil menikmati kehangatan kopi pekat berjenama antarabangsa itu, aku teringat kata-kata Aiman sewaktu menghantar aku ke Lapangan Terbang Pulau Pinang semalam. Bukan aku tak nak khabarkan ke mana tujuan aku, tapi sebaiknya biar semua orang tak tahu. Aku perlukan masa untuk diri aku sendiri.
Aku perlukan 'rawatan'.
Sempatkah diri ini 'dirawat' sebelum atuk, ayah dan yang lain menemui aku? Berapa banyak masa yang aku ada sebelum waktu tu tiba?
Mungkin mereka menganggap yang aku masih merajuk tentang isu perkahwinan.
Tidak. Kedatangan aku ke sini bukan kerana Fakhrullah Harrieson. Tak mungkin. Dia terlalu baik untuk diperlakukan sebegitu.
Cuma, ada sesuatu yang semakin menampakkan dirinya. Selama ini, dia hanya bersembunyi di sebalik kegelapan dan bayang-bayang dan kini, ia kembali merangkak keluar. Aku perlukan masa untuk itu. Aku perlukan ruang untuk memahaminya
Sedang leka melayan perasaan, waktu jam yang tertera di dinding kedai membuatkan aku bingkas bangun. Beg sandang aku galas, lalu berlari laju menuju ke pintu C7. 20 minit lagi. Sempat.
Setibanya di sana, aku beratur dengan orang-orang yang sama hala tujuan denganku.
** ** ** ** **
SELURUH tubuh terasa kejang. Dari tingkap, aku lihat lampu-lampu terang dan bangunan lapangan terbang semakin membesar.
Akhirnya, pada pukul 7 petang waktu Rom, aku mendarat di Lapangan Terbang Fiumicino Leonardo da vinci. Memandang ke luar, aku lihat tompok-tompok air di tingkap pesawat.
Musim sejuk sudah bermula di Eropah. Cuaca mesti bertambah sejuk kalau dengan keadaan hujan macam ni.
YOU ARE READING
FLAW/LESS
Random"Hidup ni bukanlah suatu jalan yang rata dan ditaburi bunga melainkan adakalanya disirami air mata dan juga... darah." "Even if... I've killed someone, I can't remember it. Hang rasa tu adil ka untuk semua orang?! Because I'm sure don't see anything...