"Ayah, sakit! Hentikan semua ini, ayah!"
Satu suara kecil terus merayu terhadap satu figura di depannya. Air matanya berhamburan tatkala segala pujuk rayunya tidak langsung diendahkan. Seolah dirinya sedang bercakap dengan sebatang tunggul kayu atau sebarang objek yang tidak bernyawa. Kata-katanya umpama mencurah air ke daun keladi kerana libasan yang diterimanya semakin meligat dan mengganas.
"AYAHHH!!!"
Jerit suara tersebut lagi sambil memeluk tubuh kecilnya. Bukan kali pertama tubuh itu berbirat dilibas dengan pelbagai objek yang mampu meninggalkan kesan calar di badannya. Acap kali juga dia merayu agar perbuatan itu dihentikan namun jarang sekali rintihannya didengari. Tali pinggang hitam berkepala tembaga itu masih lagi bebas menjamah tubuhnya dengan penuh rakus tanpa rasa belas.
"KAU DEGIL! AKU DAH KATA AKU TAK SUKA, AKU TAK SUKA LA! KENAPA KAU TAK FAHAM BAHASA, HAH?"
Jerkah suara tersebut dengan nafas yang termengah-mengah, barangkali sudah kepenatan dengan hukuman yang dijalankan olehnya. Tubuh keding yang terbaring mengerekot menyamai posisi seketul fetus ditendang kuat olehnya tanpa ada sedikit pun rasa simpati.
"Woi! Tak payah kau nak berpura-pura pengsan di hadapan aku! Semak aku tengok, tahu?"
Jeritnya lagi pada tubuh yang menggeletar di atas tanah merah itu. Matanya merah menyala menyaksikan titisan air yang gugur di pipi kanak-kanak itu. Baran merasuk kembali ke dalam tubuhnya. Terus dicekik leher budak di atas tanah itu dan dijulang tinggi ke udara sebelum dicampak pada tiang seri rumah.
"Kau lelaki! Anak jantan tak boleh menangis la! Kau memang sengaja nak malukan aku, kan? Kau nak orang kata aku tak pandai ajar anak ke, hah?"
Laungnya kuat dari jarak 20 meter.
"Aduh!"
Budak tersebut hanya mampu mengaduh kesakitan tanpa mampu melawan. Mana mungkin kudratnya akan mampu melawan lelaki sasa di hadapannya. Tangisannya yang tadi cuba ditahan kembali berhamburan. Terhinggut-hinggut tubuhnya menahan sendu di hati apabila diperlakukan seperti itu sekali lagi. Niatnya hanya untuk menggembirakan hati bapanya namun, apakan daya. Tiada langsung hatta sekelumit kasih yang bertapak dalam hati tua itu.
Budak tersebut sedia memejamkan matanya bagi menerima lagi sebarang bentuk hukuman dari bapanya apabila derapan kaki orang tua itu mula mendekati dirinya yang sekadar terkulai layu. Matanya dipejam rapat dan rahangnya diketap kuat, cuba untuk menyerap sebarang daya hentakan mahupun libasan yang bakal disasarkan padanya.
Satu saat.
Dua saat.
Tiga saat.
Apabila dia merasakan tiada langsung kesakitan yang merangsang saraf neuronya, dia memberanikan diri untuk membuka sedikit kelopak matanya bagi menjengah situasi pada saat itu. Kelihatan kelibat seorang tua berpakaian lusuh berwarna biru pudar tercegat di hadapan bapanya. Nafas budak tersebut dihembus lega apabila figura itu memunculkan diri. Terasa dirinya diselamatkan oleh Tuhan pada saat itu. Telinganya ditajamkan bagi mendengar perbualan kedua orang tua di hadapannya.
"Kau dah sudah dera budak tu, Zaki?"
Soal suara tadi dengan tenang. Namun, di sebalik ketenangan suara, tampak satu riak tegas bercampur penyesalan di wajah tua itu. Wajahnya jelas menceritakan betapa besarnya kekecewaan yang membekas dalam hati tua itu. Lelaki sasa tersebut melagakan gerahamnya sebelum menutur kata,
"Ayah tidak akan faham cara saya ajar anak saya. Saya tahu apa yang terbaik untuk dia."
"Ya. Aku tahu yang dia itu zuriatmu, tapi, apa memang patut diperlakukan sebegini? Dibelasah saban hari pada usia hijau sebegini tidak sesuai untuk dirinya, Zaki."
YOU ARE READING
UnitI
Mystery / Thriller"Aku memang manusia yang tak guna!" "Kau yang tak guna atau kau tak mempergunakan diri kau sebaiknya?" "Aku pilih..." Chester bukanlah watak yang apabila dilahirkan, terus hidup senang. Dia sememangnya ditakdirkan untuk hidup malang, bak kata N, "Or...