"Hah, macam mana kau hari ni? Rasa elok sikit?"
Soal Marcus sedikit teruja sambil bersiar-siar bersama Chester pada petang itu. Walaupun wajah Chester sedikit pucat, dia menggagahkan dirinya untuk mengukirkan senyuman kepada Marcus yang sentiasa menemaninya tanpa jemu.
"Marcus. Kenapa kau baik sangat dengan aku?"
Soal Chester sambil menapak perlahan diiringi oleh Marcus di taman hospital. Kata doktor, luka jahitan di kepala Chester sudah beransur sembuh dan dia boleh melakukan aktiviti yang ringan sahaja pada waktu ini seperti berjalan. Doktor juga tidak menggalakkan Chester untuk terlalu berfikir atau dia bakal mengalami stress yang mungkin akan melambatkan proses penyembuhannya kelak.
Marcus terhenti secara mengejut apabila soalan sebegitu diutarakan oleh Chester secara tiba-tiba. Dia hanya memandang Chester yang tampak tenang menyelusuri tumbuh-tumbuhan yang menghijau di sekitarnya.
Apa yang kau cuba fikirkan, Chester? Apakah kau akan menerima aku sekiranya aku mendedahkan tujuan aku berdamping dengan kau?
"Eh, kau ni. Tak pernah dengar ke orang kata kita tak perlukan sebarang sebab untuk sayang seseorang itu?"
Marcus cuba mengelak dari memberikan jawapan konkrit kepada soalan Chester. Namun, pada masa yang sama, Marcus sangat serius terhadap apa yang diperkatakan. Setiap bait perkataan yang meluncur keluar dari bibirnya telah difikirkan dengan teliti dan pantas. Segalanya adalah kerana Marcus sedar mulut adalah senjata paling ampuh dalam menjatuhkan tamadun manusia. Disebabkan itulah, teradapat satu pepatah yang amat digemari oleh Marcus iaitu kerana pulut santan binasa dan kerana mulut, badan binasa.
"Kau... Maksudkan apa yang kau kata? Emm... Apa yang aku cuba sampaikan..."
"Chester!"
Panggil Marcus sambil memegang kedua-dua belah pipi Chester. Anak mata Chester direnung dalam sambil Marcus melepaskan keluhnya. Dia sedar bahawa Chester masih lagi menaruh sedikit rasa syak wasangka secara tidak sedar dalam hati rapuhnya. Kepercayaan tidak boleh dipaksa untuk bertapak dalam diri setiap manusia namun kepercayaan boleh dipupuk jika kena dengan caranya.
"Aku. Akan. Bersama. Kau. Walau. Apa. Pun. Yang. Terjadi. Faham?"
Ujar Marcus satu per satu di hadapan Chester. Kedua-dua belah kening Marcus berkerut seribu sambil menuturkan kata, tanda dia amat serius dengan apa yang diperkatakan. Marcus amat tidak menyukai mana-mana hidupan yang memungkiri janji kerana ia seolah-olah memperolokkan sebuah kepercayaan yang telah diberikan oleh satu hidupan kepada satu hidupan lain.
"Janji?"
"Janji."
"Walau apa pun yang terjadi?"
"Walau apa pun yang berlaku, di mana saja kau berada. Aku tetap akan berada di sisi kau."
"Terima kasih, Marcus. Sebab selalu ada dengan aku."
"Segalanya baru hendak bermula, Chester."
"Apa?"
Baru saja Chester mahu mendengar penjelasan lanjut daripada Marcus, tiba-tiba perbualan mereka diputuskan apabila ada suara yang melaungkan nama Chester.
"Chester! Zakwan dah sedar!"
Mendengarkan khabar tersebut, raut wajah Chester berubah secara mendadak. Senyuman lebar mula diukirkan pada mukanya sebelum dia bergegas ke arah sang pemanggil. Marcus ditinggalkan bersendirian di belakang sambil mengetap bibirkan kuat. Emosi Marcus pada saat itu sukar untuk diteka kerana air mukanya tampak kosong.
"Jangan lupa cari aku bila kau susah, Chester."
Tutur Marcus sebelum berpaling dan berlalu pergi.
YOU ARE READING
UnitI
Mystery / Thriller"Aku memang manusia yang tak guna!" "Kau yang tak guna atau kau tak mempergunakan diri kau sebaiknya?" "Aku pilih..." Chester bukanlah watak yang apabila dilahirkan, terus hidup senang. Dia sememangnya ditakdirkan untuk hidup malang, bak kata N, "Or...