"Saya ulang sekali lagi! Apa yang awak dah buat pada rakan-rakan yang lain?!"
Kedengaran satu jerkahan kuat dalam bilik interogasi. Chester hanya menggaru-garu kepalanya sambil melepaskan keluhan buat kesekian kalinya.
"Kan saya dah kata, saya tak tahu. Perkara terakhir yang saya ingat, mereka tengah sedap membelasah saya. Buktinya, tuan boleh lihat luka-luka yang berbekas pada tubuh saya. Tuan juga boleh menyoal Zakwan. Dia pasti ada penjelasan yang jelas mengenai situasi yang saya alami."
Balas Chester penuh sabar. Keningnya dikerutkan sambil merenung ke arah pegawai polis yang bertugas untuk menyoal siasat dirinya. badannya mula keletihan. Sudah seharian Chester ditahan di dalam bilik gelap tersebut. Mindanya semakin meronta dan merayu agar dipertemukan semula dengan pancaran matahari atau dengan tumbuhan hijau lain yang mampu menenangkan jiwa yang kacau. Hidupan di hadapannya bukanlah sesuatu yang mampu memberi sebarang ketenangan, bahkan kecelakaan sekiranya Chester tersalah bicara.
Tangan kiri Chester ditongkat di atas meja bagi menampung pipi kirinya. Tangan kanannya turut melakukan aksi yang sama dan hasilnya, Chester sedang merenung penuh kebosanan ke arah pegawai di hadapannya. Kelihatan anak mata pegawai tersebut bersinar marah seiring dengan pergerakan mulutnya yang seakan ingin menyatakan sesuatu namun ditahan di dalam hati.
Mata kanan yang tiba-tiba gatal memaksa Chester untuk menggaru-garu hujung anak matanya sambil satu perasaan lega penuh nikmat dirasakan apabila kegatalan tersebut beransur hilang. Bosan memandang wajah sang pegawai, Chester bersandar semula pada kerusinya sambil menanti soalan yang lebih relevan daripada interogator.
"Macam mana saya nak soal manusia yang koma? Bukannya dia boleh bercakap pun,"
Bidas pegawai tersebut dengan suara yang meninggi.
"Tuan nak tahu satu perkara tak?"
"Hah! Baru kau nak mengaku salah kau?"
"Sabar tuan. Dalam agama pun ada kata, sabar tu sebahagian daripada iman. Apa tuan tidak tahu? Atau tuan tidak pernah hayati maksud kata-kata itu?"
"Kau tu budak baru putus susu! Jangan ada hati nak ajar aku macam-macam! Aku dah banyak makan garam daripada kau, tahu?!"
"Oh, patutlah tuan nampak berisi. Darah tinggi ke tuan? Ke ada penyakit tiga serangkai yang lain?"
"Kau jangan nak loyar buruk dengan aku, okay?"
Marah pegawai itu sambil mencekak kolar baju milik Chester. Satu denyutan dirasai pada kepalanya yang masih lagi berbalut akibat dipukul dengan kayu oleh Izzul tempoh hari. Tangan kanannya pantas memegang kepalanya yang mula menyalurkan deria kesakitan yang tidak terperi pada seluruh anggota badannya.
"Erghh! Aduh..."
Chester mengaduh kesakitan apabila rasa sakit itu tidak mampu dibendungnya lagi. Air matanya mula mengalir ke pipi apabila dia dapat merasakan denyutan di seluruh badan, seolah-olah tubuhnya memutarkan kembali detik-detik dia dibelasah dahulu. Suara ayahnya dan Izzul mula saling bertingkah dan bergema dalam mindanya.
"JANGAN! SAKIT!!! SAKIT!! HENTIKAN!"
Chester meraung kesakitan sambil meronta-ronta agar dilepaskan dari cengkaman pegawai tersebut. Nafasnya mulai perlahan dan pandangannya mulai berbalam-balam.
"HUKK!! HUUKKK!!! HUUUKKK!!!"
Chester cuba untuk mengumpul nafas apabila dadanya berasa sempit. Benda terakhir yang Chester lihat adalah sekumpulan pegawai polis bergegas masuk ke dalam bilik tersebut dan memangkunya sebelum kesedarannya hilang secara total.
YOU ARE READING
UnitI
Mystery / Thriller"Aku memang manusia yang tak guna!" "Kau yang tak guna atau kau tak mempergunakan diri kau sebaiknya?" "Aku pilih..." Chester bukanlah watak yang apabila dilahirkan, terus hidup senang. Dia sememangnya ditakdirkan untuk hidup malang, bak kata N, "Or...