"Cuba lagi, Chester. Jangan putus asa."
Arah satu suara dari tepi. Sebuah fail berisi kertas catatan perkembangan sesi pemulihan Chester diselak dan diteliti setiap kali kaki Chester melangkah di atas treadmill.
"Huff... Hufff... Huffff..."
Chester nyata enggan mengalah walaupun dadanya telah berasa sempit pada saat itu. Diikutkan hati, mahu saja dia berhenti melepaskan lelah dan menikmati air oren ais di dalam bilik berpendingin hawa. Memikirkan hal itu saja membuatkan Chester semakin lelah.
"Jangan fikir nak senang sekarang, Chester! Kalau kau nak pulih macam biasa, tahap kecergasan kau kena jaga juga."
Arah petugas yang memantau Chester seolah-olah tahu apa yang sedang bermain dalam minda budak tersebut. Mata Chester dijulingkan ke atas sedikit sebelum terus mengorak langkah di atas trek larian itu.
Selang beberapa belas minit kemudian, Chester dibenarkan untuk berehat seketika apabila degupan jantungnya melebihi had yang ditetapkan, menandakan bahawa Chester masih lagi di bawah paras kecergasan yang sepatutnya.
"Semput... Aduh! Macam mana aku nak keluar dari sini, latihan macam ni pun aku dah lelah."
Rungut Chester bersendirian sambil duduk bersandar ditemani oleh sebotol air mineral di sisinya. Peluh yang berlari turun di wajah terus diseka sambil cuba mengatur kembali ritma pernafasan yang dirasakan sangat berterabur pada saat itu. Segala-galanya terasa seperti mimpi apabila diimbas kembali.
Masih lagi menari-nari dalam mindanya saat dia dilibas tanpa belas oleh ayah sendiri. Memori dibelasah oleh Izzul dan konco-konconya juga masih lagi segar dalam ingatan. Entah kenapa, semakin lama Chester berjalan dan cuba bergantung harap pada Tuhan, semakin dia diabaikan.
Apakah Tuhan tidak lagi mahu menerima aku? Adakah aku dilaknat olehNya kerana melupakan Dia dahulu?
Chester berperang dengan pelbagai persoalan dalam mindanya. Bukanlah dia mengharap sangat tentang bantuan dari Tuhan. Cumanya, dia masih lagi tidak dapat menerima kenyataan bahawa ajaran yang dia percaya selama ini hanyalah palsu semata!
Hidup ini bergantung sepenuhnya pada kekuatan diri untuk selamat dan terus berjaya. Yang lemah akan ditindas dan yang kuat akan berkuasa. Buat selamanya, dunia ini akan berjalan mengikut sistem seperti ini.
Soal satu suara yang kedengaran familiar di telinga Chester. Kepalanya didongakkan ke arah punca suara itu datang. Zakwan.
Senyuman secara automatik terlakar pada bibir milik Chester. Kehadiran Zakwan seolah-olah satu keajaiban yang berlaku dalam hidupnya. Setelah dibuang keluarga, Chester sudah lama tidak merasakan kehangatan kasih sayang setulus ini dari orang lain. Jika adapun, semuanya hanyalah bersalut kepalsuan yang sementara. Setelah beberapa lama, Chester akan kembali ditinggalkan bersendiri. Namun, apabila dia bersama dengan Zakwan, perasaan yang sangat ikhlas dapat dirasakan dalah hatinya.
"Belum. Rehat sekejap saja. Letih sangat tadi. Mana mampu nak lari lama-lama."
Balas Chester perlahan sambil menyunggingkan senyumannya. Sejak semalam, dia teringin benar untuk bertemu dengan Zakwan dan bertanyakan mengenai apa yang Zakwan mahu perkatakan.
Baru saja dia mahu membuka mulut, suaranya dipintas dahulu oleh Zakwan.
"Kau nak ikut aku tak, Chester?"
"Apa? Nak ke mana?"
Soal Chester keliru. Keningnya dikerutkan sedikit apabila disoal sedemikian oleh Zakwan secara spontan. Otaknya mula memproses pelbagai kebarangkalian dalam ajakan yang dihulurkan oleh Zakwan.
YOU ARE READING
UnitI
Mystery / Thriller"Aku memang manusia yang tak guna!" "Kau yang tak guna atau kau tak mempergunakan diri kau sebaiknya?" "Aku pilih..." Chester bukanlah watak yang apabila dilahirkan, terus hidup senang. Dia sememangnya ditakdirkan untuk hidup malang, bak kata N, "Or...