Chester melemparkan pandangannya ke luar tingkap bas. Dia memilih untuk duduk berseorangan di kerusi bahagian hadapan, jauh dari rakan-rakan rumah kebajikan yang lain. Sekali-sekala, terdengar suara rakan lain yang tenggelam timbul dengan deruman bas. Chester sebenarnya enggan menyertai sebarang aktiviti yang melibatkan dirinya dan dunia luar.
Namun, apakan daya, dia perlu mengikut segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan atau, dia akan berdepan hukuman sekiranya ingkar. Tidak bermakna bahawa Chester bersetuju untuk berubah dan mula bergaul. Tidak sama sekali. Dia cuma bimbang akan kemungkinan bahawa dia bakal diusir dari pusat kebajikan tersebut jika terlalu memberontak. Kadang kala, dia mesti hidup dengan tidak menongkah arus jika tidak mahu mengundang sebarang kesukaran bagi dirinya kelak.
Chester hanya mampu mendengus perlahan apabila memikirkan segala bebanan hidup yang terpaksa ditanggungnya. Bukannya dia tidak pernah tahu bahawa dunia adalah mahaguru yang paling kejam bagi manusia sepertinya. Hanya yang kuat dan berkuasa saja mampu untuk meneruskan kelangsungan hidup manakala yang lemah akan terus ditindas tanpa mengenal usia. Tiba-tiba, ada satu suara yang menegur Chester dan mengheretnya keluar dari lamunan panjangnya.
"Kenapa kau nampak bosan, Chester?"
Soal Marcus sambil menyilangkan kakinya. Matanya merenung ke arah Chester yang tidak mempedulikan soalan yang dilemparkan oleh Marcus sebentar tadi. Keluhan Chester jelas kedengaran sebelum dia mengalih pandang ke arah Marcus yang sabar menanti jawapan balasan daripadanya.
"Aku... Tak faham kenapa kita perlu ke zoo. Hmm... Maksud aku, aku faham bahawa di zoo ada berbagai-bagai jenis haiwan yang berkumpul. Tapi, kenapa perlu dikurung? Bukankah haiwan diciptakan untuk meliar dan mengawan dengan bebas dalam habitat asal mereka?"
Tutur Chester sambil menopang dagunya di tepi tingkap. Pergerakan awan yang berputar perlahan di dada langit diperhatikan apabila bas meluncur masuk ke dalam plaza tol Sungai Dua. Marcus terkedu mendengar persoalan yang terpacul keluar dari mulut Chester.
Itu bukan soalan yang selalu disoal oleh seorang budak 11 tahun. Dia ni memang di luar jangkaan. Menarik.
Marcus merenung Chester sambil ligat memikirkan jawapan yang sesuai agar dapat memuaskan hati budak tersebut. Marcus mendongak dan memandang bumbung bas sambil mula menyusun kata. Setiap tuturnya mestilah tepat supaya Chester tidak berupaya untuk membidak hujahnya dengan isi-isi perdebatan yang tidak akan berkesudahan.
"Kau... Percaya bahawa hidup ini ada undang-undang?"
"Tak. Undang-undang hanya dicipta oleh manusia supaya ada perbezaan di antara baik dan jahat. Soal keadilan bukanlah segala-galanya jika kau bercakap mengenai undang-undang."
"Ish, kau ni. Aku tengah cakap pasal undang-undang kehidupan. Setakat undang-undang buatan manusia apa barang."
"Apa maksud kau, Marcus?"
"Kau tahukan pasal teori survival to the fittest?"
"Ahh. Teori mengenai yang kuat akan menjadi penguasa dan yang lemah bakal menajdi hamba?"
"Tepat sekali. Sekarang, kau aplikasikan undang-undang tersebut kepada persoalan yang kau lontarkan sebentar tadi."
Chester memandang Markus penuh keliru. Otaknya sukar untuk menghadam kata-kata yang terbit dari mukut sahabatnya itu. Dia mengerutkan dahinya seraya berkata,
"Aku tak faham apa yang kau cuba sampaikan."
Marcus hanya menepuk dahinya apabila mendengar kata-kata Chester. Dia hampir terlupa bahawa Chester masih lagi seorang kanak-kanak berusia 11 tahun walaupun kadang kala, pemikiran Chester jauh lebih matang dari usianya.
YOU ARE READING
UnitI
Mystery / Thriller"Aku memang manusia yang tak guna!" "Kau yang tak guna atau kau tak mempergunakan diri kau sebaiknya?" "Aku pilih..." Chester bukanlah watak yang apabila dilahirkan, terus hidup senang. Dia sememangnya ditakdirkan untuk hidup malang, bak kata N, "Or...