25| Syukur

1.1K 79 4
                                    

Secara kasar,
terhasil oleh seorang insan,
diolah oleh seorang insan,
untuk seorang insan.

Credits to:
@mushair_

Author of:
+Sajak tak cukup hipster
+Bangkit

********************************

Seandainya kau fikir
menjadi dia itu mudah,
semudah tanggapan remehmu itu,
wahai sahabat,
kau salah.

Sama sekali salah!

Sesungguhnya,
menjadi dia itu tidak pernah mudah.

Kerna,
kalau kalau kau tahu
ertinya payah,
takkan kau keluh
peritnya susah.

Lihat sahaja tubuhnya lesu,
lebih bertulangkan semangat daripada zat,
kurang nutrisi walau hati cekal membesi.

Kau fikir sengaja,
dia menyeksa diri berhari,
menahan lapar sesuka hati?
Sengaja,
pagi petang dia membanting tulang,
hanya untuk mencari sesuap nasi dibawa pulang?

Walau dia si fakir miskin,
tak pernah sesekali dia menghukum Tuhan.
Kerna baginya,
hitam putih hidup ini,
tak patut dijadikan alasan.

Berbeza sekali dengan kau,
yang punya badan gempal,
sihat walafiat
walau berperangai keparat.

Kau!

Yang terlalu mabuk berfikir penampilan diri
lebih daripada penjagaan syariat,
memuja muja muka sendiri tanpa penat,
sehinggakan sanggup menahan lapar walaupun petik jari,
mudah sahaja makanan itu kau dapat.

Namun, masih jua kau bersungut.
Merungut itu tak kena,
ini tak cukup.
Semacam masalah cinta,
kau bikin masalah dunia.

Adakah kau tiada sekelumit rasa,
bersyukur dengan nikmat dunia?
atau masih tegar menjadi si tamak dosa?

Tepuk dada tanya selera,
wahai sahabat.

Lihatlah dirinya,
Lihatlah dirimu, sahabat.

Bandinglah apa ada dengannya,
Apa ada denganmu, sahabat.

Jika kau berada di tempat dia,
menyarung telapak yang paling hina,
apakah mampu kau bersabar menghadapi ujian hidup Yang Maha Hebat?

Percayalah,
betapa bertuahnya dirimu,
masih diberi nikmat,
tapi tetap,
kau riak dengan kesenangan dunia,
menyombong kepada akhirat.

Sentiasa,
janganlah kau alpa, sahabat.

Sentiasa,
tundukkanlah kepalamu,
sujudlah dengan rendah diri,
dan zuhudlah sekecil kecil hati, sahabat.

Gunakanlah akalmu.
Ungkapkanlah lidahmu.
Tadahkanlah tanganmu
untuk menyahut rasa syukur.

Seandainya hari ini belum sempat kau ucapkan kalimah keramat,
Ayuh! Ikutlah aku berzikir, sahabat.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah,

segala puji bagimu,
Tuhan pemberi nikmat.
Yang Maha Kuasa lagi Maha Hebat.

Tiada yang lain,
melainkan Engkau yang satu,
Tempat aku memohon ampun,
Tempat aku memohon petunjuk.

Alhamdulillah, Ya Allah.
Terima kasih atas rahmat-Mu.

-S.A//Mushair-

Suara Jiwa | CompletedWhere stories live. Discover now