BAB 1

1.3K 31 0
                                    


PUAN SRI ATIKAH duduk termenung panjang di meja makan yang dipenuhi dengan pelbagai jenis sarapan yang sudah sedia terhidang. Itulah yang sering dilakukannya setiap pagi setelah dia bersara dari dunia korporat hampir lima tahun yang lalu. Setia menunggu cucu-cucunya untuk bersarapan bersama-sama. Dan untuk ketika itu jugalah dia dapat berpeluang mengambil masa untuk bertanya khabar dengan kedua-dua warisnya itu. Yelah masing-masing pun semakin sibuk dengan tanggungjawab yang dipikul. Keluar awal pagi dan lewat malam baru lah nampak bayang muka. Dan semestinya saat itu dia tidak mahu untuk melepaskan peluang untuk bertemu muka dengan kedua-dua cucunya yang paling disayanginya itu.

Seketika dia tersenyum sendiri. Mula teringatkan akan kenangan-kenangan lama ketika dia masih bersama dengan anak-anak dan menantunya. Ketika itu kedua-dua sulung dan bongsunya, Fazlan dan Fakhrul masih lagi bersamanya. Masing-masing sedang bahagia dengan isteri dan anak-anak yang sudah berusia lima tahun. Dan Puan Sri Atikah tidak dapat menafikan yang itulah antara saat paling bahagia di dalam hidupnya. Walaupun ketika itu arwah suaminya sudah tiada di sisi. Meninggalkannya dengan anak-anak akibat sakit jantung yang mengejut.

Namun kebahagiaan yang dikecapi itu tidak bertahan lama. Anak-anak dan menantunya itu terlibat di dalam kemalangan sehingga meragut nyawa masing-masing. Ketika itu mereka sekeluarga sedang di dalam perjalanan untuk pergi bercuti. Yang terselamat hanyalah dia dan kedua-dua cucunya yang masih lagi kecil. Lama juga Puan Sri Atikah mengambil masa untuk melupakan semuanya. Lagi-lagi apabila Rykal dan Azrif terlalu kecil untuk memahami apa yang sudah terjadi. Semuanya menjadi cabaran yang kuat untuknya membesarkan Rykal dan Azrif yang sudah bergelar anak yatim piatu itu.

Dan kini setelah dua puluh lima tahun kejadian itu berlaku, barulah dia boleh mengeluh kelegaan. Rykal dan Azrif sudah pun menjangkau usia tiga puluh tahun ketika ini. Sudah cukup matang untuk mengendali hidup sendiri. Masing-masing agak rapat dengan sesama sendiri seperti adik beradik kembar walaupun mempunyai hubungan sepupu. Dia pun sudah tidak lagi mengambil tahu akan syarikat yang menjadi peninggalan arwah suaminya itu. Semuanya sudah diambil alih oleh Rykal Safuan dan Azrif Iqbal.

"Fazlan, Fakhrul.. mama janji mama akan jaga Rykal dan Azrif selagi umur mama masih panjang.. selagi tubuh mama masih lagi kuat." Puan Sri Atikah berkata perlahan. Seakan-akan berjanji pada dirinya sendiri. Dan tanpa sedar ada air mata yang bergenang di kelopak matanya.

Sungguh ketika ini hanya Rykal dan Azrif sahajalah yang menjadi tempatnya untuk bergantung harap selain menjadi penghibur hatinya di kala kesunyian. Dan semua itu menunjukkan tidak tergambar kasih-sayangnya pada Rykal dan Azrif. Infiniti!

Sekilas dia sempat mengerling ke arah dinding ruang tamu yang menempatkan satu frame gambar besar yang diletakkan di ruangan itu. Satu gambar keluarga yang diambil pada hari raya puasa dua puluh lima tahun yang lalu. Itulah antara gambar-gambar terakhir bersama-sama dengan anak dan menantunya sebelum mereka semua pergi. Terlalu banyak kenangan pahit manis yang tersimpan kemas. Walaupun begitu dia sudah pun reda dengan apa yang sudah berlaku.

"Rykal, Azrif.. tok ma sayang sangat dengan kamu berdua." Sambung Puan Sri Atikah lagi dengan nada perlahan. Hujung kelopak matanya dikesat sedikit dengan ibu jari. Tidak mahu kedua-dua cucunya itu perasan dengan emosi yang agak sensitif pada pagi ini.

BUNYI AIR dari singki bilik air dari sebuah banglo dua tingkat yang terletak di pinggir sebuah bandar kedengaran mencurah-curah keluar. Satu figura seorang lelaki kelihatan sedang santai berdiri berhadapan singki. Sebelah tangannya sedang memegang pili paip dan sebelah tangannya pula sedang ralit dengan aktiviti menggosok gigi dengan keadaan menunduk memandang ke bawah.

Assalamualaikum CintaWhere stories live. Discover now