Bab 5

648 14 2
                                    



JAM JENAMA Hublot pergelangan tangannya sudah menghampiri pukul satu tengah hari tatkala Rykal keluar dari biliknya. Dia yang sejak tadi berkurung sahaja di dalam bilik semasa kedatangan Sherry mula berasa bosan. Lagi-lagi bila perut pun dah mula buat bunyi pelik-pelik. Mahukan sesuatu untuk alas perut yang kosong. Dan dia pula malas mahu menerjah ke bilik Azrif yang tidak jauh dari biliknya itu untuk melihat samada perempuan bernama Sherry itu sudah pulang atau pun tidak. Malas jika bertembung muka dengan perempuan bernama Sherry itu. Sherry itu boleh tahan jugak gediknya. Macam tak cukup dengan sepupunya seorang.

Meja setiausaha kepada Azrif itu didekati. Seorang perempuan muda yang lebih dikenali dengan panggilan Khai itu dipandang seketika. Nampak khusyuk benar buat kerja. Sampai macam langsung tak sedar yang dia sudah pun berdiri di situ untuk beberapa saat.

"Khai, Encik Azrif dah keluar ke?"

Soal Rykal bertanya. Sekejap-sekejap matanya memandang ke arah bilik Azrif yang bertutup rapat dari dalam. Macam sunyi je. Dah keluar kut?

"Dah Encik Rykal, dengan Cik Sherry."

Jawab Khairina jujur dan penuh sopan. Rykal mengangguk perlahan. Akhirnya pulang juga. Desis hatinya sebelum menarik telefon bimbitnya dari poket keluar. Mula menekan-nekan skrin telefon bimbitnya itu sebelum satu Whatsapp dihantar kepada Azrif yang sudah keluar entah ke mana.

"Oh lupa, awak tak keluar makan ke? Kerja-kerja jugak, kesihatan kena jaga jugak." Sempat Rykal menegur dan menasihati akan setiausaha milik Azrif yang kelihatannya begitu tekun membuat kerja. Seolah-olah perempuan muda itu seperti sudah lupa akan waktu makan dan berehat yang sepatutnya.

"Kejap lagi Encik Rykal.. ada kerja sikit lagi ni." Balas Khairina sambil tersengih segan. Rasa terharu pula dengan sikap prihatin pegawai atasannya itu pada pekerja bawahan sepertinya. Yalah kebiasaannya orang yang berpangkat dan berjawatan tinggi ini jarang sangat nak buat baik dengan pekerja biasa. Kalau ada pun mungkin boleh bilang dengan jari!

SEJAK DARI dalam bilik pejabat lagi Sherry sudah menarik muka. Tanda merajuk dengan Azrif yang seakan hilang ingatan terus akan tempoh perkenalan mereka itu. Walaupun ketika itu mereka berdua sudah berada di dalam kereta, keadaannya tetap sama. Sherry langsung tidak bercakap. Langsung tidak memandang kepada Azrif di sebelah. Lebih suka memandang ke cermin tingkap. Lebih suka memandang orang awam yang lalu-lalang di kawasan parkir berbumbung itu. Yalah hati memang rasa sakit. Penghawa dingin kereta yang sejuk itu pun tak dapat nak menyejukkan hatinya yang sedang panas. Tak adalah sampai panas berapi atau menggelegak. Tapi serius dia kecewa dengan lelaki kacak bernama Azrif Iqbal itu. Macam langsung tak menghargai akan detik perkenalan mereka sebulan yang lalu.

Manakala Azrif pula sedang ligat memikirkan idea untuk memujuk Sherry. Dan disebabkan itu jugalah mereka berdua masih berada di tempat parkir itu walaupun pada ketika itu enjin kereta sudah pun dihidupkan.

"Habis tu apa sebenarnya? You bagitahulah I.. I betul-betul tak tahu ni." Soal Azrif lagi. Pandangan ditala pada Sherry di sebelah yang langsung tidak menoleh ke arahnya. Susah betul nak kena handle perempuan ni. Nak merajuk pun agak-agaklah jugak. Cakap tu biarlah terang. Biarlah straight je to the point. Tak payahlah nak kena konar baring sangat sana-sini. Ni main terjah macam tu aje manalah aku nak faham apa niat sebenar. Lepas tu orang tanya bukannya nak cakap betul-betul. Last-last aku jugak yang kena. Haihh, macam-macam hal! Gerutu hati kecil Azrif.

"You dah lupa ke hari ni hari genap sebulan perkenalan kita?" Akhirnya Sherry menoleh. Dia kembali menyoal Azrif dengan soalan maut. Wajah kacak Azrif ditatap seketika. Menagih jawapan yang sebenar.

Assalamualaikum CintaWhere stories live. Discover now