BAB 9

933 52 21
                                    

Siapa sangka, hanya satu kematian saja yang diperlukan untuk melenyapkan ribut di rumah. Siapa sangka, hanya satu kematian saja yang diperlukan untuk membaiki sebuah rumah tangga yang goyah. Siapa sangka, hanya satu kematian saja yang diperlukan untuk membuatkan aku berubah.

Sejak malam itu, segalanya bagaikan berlalu dengan pantas. Dan semuanya aku lalui dalam keadaan yang kabur dan bingit. Bagaimana malam itu yang menelefon aku bukannya ahli keluarga. Bagaimana malam itu, aku digegaskan ke hospital dengan pipi yang lencun dengan air mata. Bagaimana aku mencubit kuat lenganku di dalam kereta itu, cuba untuk memastikan apa yang terjadi semuanya hanyalah mimpi. Yang aku hanya bermimpi. Namun setiap kali aku mencubit lenganku, masih terasa sakit. Aku tak pedulikan lenganku yang semakin merah, namun aku terus mencubit dan cubit, sambil berdoa yang akhirnya lenganku tak terasa sakit lagi apabila dicubit.

Bau hospital menusuk-nusuk hidung. Lembaga-lembaga putih berjalan sini-sana. Sibuk. Hingar. Dan aku terus dibawa ke ruang itu, ruang yang kalau boleh aku taknak jejak lagi. Takkan jejak lagi. Ruang yang menempatkan kak ngah yang tubuhnya dibaluti dengan segala tiub melingkar, memeluknya erat, bagaikan menghalang malaikat maut daripada mengambil nyawanya. Dadanya berombak kecil. Matanya pejam.

Dan aku tak dapat tahan lagi raungan yang aku simpan sedari tadi. Raungan yang aku diamkan sejak ribut melanda rumah itu. Dan hospital itu penuh dengan pekikanku. Air mata yang laju mengalir belum boleh menyenyapkan jeritanku. Aku jerit sepuas hatiku.

Mak dan abah. Ini semua salah mereka. Kalau bukan kerana mereka, kak ngah masih elok ketawa denganku. Berjenaka denganku. Aku lihat mak abah yang duduk di tepi kak ngah cuma diam, ditemani tangisan mereka. Mereka tak layak ada di sini. Mereka tak layak menghirup udara di dalam ruang yang sama dengan kak ngah. Tak layak.

Dan bunyi tit tit tit yang kedengaran sejak aku melangkah masuk ke dalam ruang ini, tiba-tiba bertukar menjadi satu bunyi tit yang panjang. Dan panjang dan berbunyi sehingga infiniti saat. Serta-merta jeritanku hilang. Hilang direnggut malaikat maut yang pergi bersama-sama nya kak ngah.

Aku terasa bahuku disentuh lembut. Aku pusing ke belakang, dan mataku menikam wajah dua orang (seorang lelaki dan seorang perempuan) yang sembab dengan air mata.

"Adik..." si perempuan menegurku. Pegangannya di bahuku dipereratkan. Keadaannya kusut. Mukanya cala-balar, penuh dengan luka dan darah kering. Bajunya komot dan kotor dengan warna merah.

"Adik kena bersabar," kata si lelaki pula sambil tangannya mengelap pipiku yang sudah basah. Mukanya lebam. Rambutnya kusut-masai, tak terurus.

Siapa? Siapa mereka berdua? Aku tak kenal dua orang ini. Yang sebelum ini sering melontar lembing-lembing kata antara satu sama lain. Yang sering merejam jeritan antara satu sama lain. Yang sering memenuhkan telingaku (dan hatiku) dengan pergaduhan-pergaduhan yang entah aku tidak tahu berpunca daripada apa. Yang sedang berdiri di hadapanku, berpelukan, bagaikan sebulan yang lepas, tiada apa yang pernah berlaku di antara mereka berdua. Tiada pergaduhan. Tiada pertengkaran. Aku tak kenal dua orang ini.

"Adik," si perempuan terus melutut, tangannya didepakan ke arah aku. Aku mengambil satu langkah ke belakang.

"Adik?" si lelaki pula kehairanan melihat perbuatanku. Masih aku tak sangka, mereka masih ingat aku. Selama sebulan tidak pula aku mendengar perkataan adik itu dipanggil kepadaku dengan rasa kasih sayang seperti ini.

Aku berpaling daripada mereka dan berjalan ke arah kak ngah. Jalanku songsang, ke kiri dan ke kanan, bagaikan orang mabuk. Muka kak ngah nampak tenang. Matanya tertutup rapat. Jika tidak kerana dadanya yang sudah berhenti berombak, aku akan katakan yang kak ngah sedang tidur. Tapi tidak. Kak ngah sudah di atas sana. Berjumpa Tuhan.

Aku pegang tangan kak ngah. Sejuk. Dan sekali lagi, jeritan yang aku pendam sedari tadi, berjaya merangkak keluar daripada mulutku, dan sekali lagi, hospital itu dipenuhi jeritan aku yang berharap dia dapat kembali.

***

Segalanya berlalu dengan pantas. Penat menjerit. Tidur di atas kerusi. Bangun. Pulang ke rumah. Mandi. Pakai baju melayu. Yasin di tangan. Sedu dan tangis bersilih ganti dengan kalimat Tuhan. Jenazah sampai. Rumah penuh dengan saudara-mara. Juga kawan-kawan kak ngah. Jenazah dimandikan. Dikapankan. Ciuman terakhirku kepadanya diberikan. Jenazah diiring ke kuburan. Ditanam. Dikambus. Ditenggelamkan di dalam tanah. Talkin dibaca, penuh dengan sendu dan hiba. Mereka pergi. Dan aku masih di sini. Aku tak mahu kak ngah keseorangan, kesejukan di sini.

"Kak ngah ingat tak, adik kena kurung dalam bilik dengan mak sebab nakal sangat? Lepastu akak pun jadi hero adik, bukak pintu senyap-senyap, seludup adik keluar. Lepastu bila kantoi dengan mak, habis kak ngah kena libas dengan hanger.

"Lepastu, ingat tak yang masa bang long kantoi rokok dengan abah. Kita dua menyorok dekat bilik adik sebab takut gila masatu dengan abah. Lepastu abang long kena paksa dengan abah, suruh hisap sepuluh batang rokok serentak. Sampai terbatuk-batuk dia. Terus dia taubat taknak hisap rokok lagi kan?

"Kak ngah ingat tak, semalam, masa kak ngah suruh adik keluar dari bilik tapi adik senyap je? Adik menangis bila dengar suara kakak panggil adik semalam. Bila kak ngah dah keluar dari rumah, tahu tak adik nak buat apa? Adik nak bunuh diri. Nak pergi dari dunia ni. Adik dah tak tahan dengan ribut dekat rumah tu. Adik dah tak sanggup nak dengar diorang jerit-jerit lagi. Adik dah nekad semalam. Tapi...

"Kak ngah yang pergi dulu sebelum adik. Mungkin ini cara Tuhan nak tegur adik. Nak halang adik dari buat kerja bodoh tu. Tuhan masih sayang adik kan kak ngah?

"Tapi Tuhan lagi sayang kak ngah. Sebabtu kak ngah pergi dulu kan kak? Kan? Kak ngah jangan lupa tunggu adik dekat syurga ya? Akak jangan seronok sorang-sorang dekat situ tanpa adik. Tunggu adik ya kak? Tunggu adik. Please," aku biarkan saja air mata yang mengalir tak berhenti daripada tadi. Setitik dua jatuh membasahi tanah yang masih merah lagi. Pagi ini redup. Matahari malu, berselindung di balik awan. Angin pun bertiup syahdu, mengelus pipiku yang basah dengan air mata. Bagaikan sedang memujukku, membawa hiba pergi.

Aku memegang tanah merah di hadapanku dan membayangkan tangan kak ngah yang lembut membalas pegangan tanganku. Kami berdua menggenggam tangan masing-masing. Erat.

"Kak ngah... Adik rindu."

***

Catatan penulis:

Woahhhhhhh lamanya dah tak menulis dekat sini! Apa khabar semua orang? Sihat? Saya nak minta maaf sangat-sangat buat mereka yang tertunggu-tunggu sambungan bab 8. Berapa bulan lah yang korang kena tunggu. Sorry sangat-sangat!

Harap bab 9 ni mampu mengubat rindu korang dekat Kerol. Terima kasih buat mereka yang masih lagi menunggu. Terima kasih banyak-banyak :)

(entah berapa lama lagi korang akan tunggu untuk update bab seterusnya. hahah)

Anda telah sampai ke penghujung bahagian yang diterbitkan.

⏰ Kemaskini terakhir: Aug 10, 2017 ⏰

Tambah cerita ini di Pustaka anda bagi pemberitahuan tentang bahagian baharu!

UBAH (HIJRAH, #2)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang