Terketar-ketar kursor bergerak ke arah butang email yang bertajuk Keputusan Penilaian Manuskrip. Suhaila mencekalkan hati. 'Dengan nama Allah', dia pun menekan tetikus.
Sial!, luap hatinya apabila membaca dua perkataan pertama – 'Dukacita dimaklumkan'. Ingin dia menjerit hingga putus rengkung! Terasa bahang membakar telinganya. Terkumat-kamit mulutnya walaupun tidak berbicara!
"Nah, siapkan!". Terhempas segumpal borang permohonan di atas mejanya. Puan Maimah yang gedempol sedang berdiri menghadapnya.
Sepantas kilat Suhaila melompat dari kerusinya, lalu melempang muka tembam puan Maimah! Ditambah penumbuk sulong ke perut gendut ketuanya itu. Puan Maimah terumbang-ambing, berlari-lari anak cuba untuk mengawal imbangan, tetapi gagal. Dia jatuh tergolek-golek seperti tayar pancit di atas lantai pejabat!
"Hellooo!", jerit sinis Puan Maimah.
"Ha!.Oh..oh..Baik puan!', tersipu-sipu Suhaila apabila tersedar dari khayalan brutalnya.
Puan Maimah mendengus. Lalu, berpusing meninggalkan stesen kerja Suhaila. Suhaila menghela nafas lega melihat belakang Puan Maimah yang lebar berlalu pergi.
Suhaila pun larut ke dalam kerusi yang kini memapah seluruh jisimnya. Perlahan-lahan amarahnya menyuram. Sedikit demi sedikit, perasaan kecewa menusuk sanubari. Akhirnya, sedih yang teramat! Apabila sayunya tidak dapat dikawal, dia bergegas keluar ke hujung balkoni pejalan kaki, lalu menangis terisak-isak.
...
"Kenapa awak terkumat-kamit semalam?", soal FIRDAUS sambil tersenyum. Firdaus adalah sukarelawan sosial Hospital Kuala Lumpur. Dialah Cina mualaf yang curi-curi melihat aksi panik Suhaila.
Terkejut Suhaila. Dia sedang makan meggi sambil membaca novel cinta remaja di dalam pantri. Sememangnya, Suhaila gemar makan di pantri kerana tidak ramai yang makan di situ. Jadi, bolehlah dia makan sambil baca novel dengan tenteram. Lagipun, harga makanan di kantin sudah mahal melampau.
"Hah apa awak cakap ni?", Suhaila cuba mengelak.
"Alah, ini mesti pasal manuskrip, kan? Tak apa Sue, jangan kecewa ya. Cuba lagi!", dorong Firdaus dalam memujuk. Sambil itu, dia menarik kerusi, lalu duduk bertentangan dengan Suhaila.
"Hurrmm, benarlah Firdaus. Kena reject lagi", desah Suhaila.
Suhaila sering menceritakan tentang aktiviti penulisannya kepada Firdaus, bukannya sukarela tetapi tak sengaja. Senyuman Firdaus yang mendamaikan serta kehalusan budi pekertinya membuatkan Suhaila selesa dan selalu terlepas cakap. Dan, terus bercakap.
"Tak tahu nak cakap apa. Saya rasa, manuskrip terakhir tu lagi baik dari kebanyakkan novel di pasaran!", sambung Suhaila.
"Entah apa yang penerbit nak? Bila tanya, dia orang cakap, tak bagus. Itu sahaja! Tak ada feedback langsung! Dah lah......", Suhaila terus membebel.
Firdaus hanya mengangguk dan mendengar sepenuh perhatian kepada keluhan Suhaila. Sambil itu dia meninjau wajah perempuan genit di hadapannya. Muka Suhaila bulat, bukannya tembam, tetapi bentuknya bulat. Kulitnya putih pucat hingga menampakkan anak-anak urat. Dahinya luas dan matanya besar. Hidungnya tirus. Dagunya kecil. Dengan rambut yang lurus paras bahu, rupanya tak ubah seperti kanak-kanak dewasa.
"Sabarlah Sue!", pujuk Firdaus setelah Suhaila selesai bercakap.
Suhaila tidak berkata apa-apa. Dia hanya meneguk air dari mug besar yang digenggam dengan kedua tangannya. Kini giliran dia meninjau Firdaus! Rupa Firdaus seakan-akan Nik Abduh anaknya Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz – versi Cina mualaf! Suhaila tidak pernah melihat puncak kepala Firdaus kerana Firdaus sentiasa berketayap. Mukanya kurus hingga menampakkan tengkorak. Matanya sepet. Misai dan janggutnya sehelai-sehelai. Senyumannya menusuk ke hati. Jika hendak dibandingkan dengan watak dalam novel-novel kegemarannya, Firdaus kalah teruk!
"Kenapa awak tiba-tiba senyum ni?", terpinga Firdaus melihat perubahan mendadak Suhaila, dari sedih kepada gembira.
