V - CURANG

36 0 0
                                    

Dalam berpacaran, Firdaus banyak syarat. Tak boleh bersentuhan, tak boleh berdua-duaan di tempat sunyi, tidak boleh menonton wayang dan beberapa lagi. Jika lelaki lain yang menetapkan syarat-syarat begini, boleh jadi Suhaila memberontak. Buat Firdaus, tidak. Suhaila menurut permintaan Firdaus tanpa terbeban walau seberat zarah pun.

Bagi Firdaus, Suhaila sejak bergelar teman hatinya, makin mempersona. Suhaila mempunyai pemikiran yang segar. Ada sahaja idea baru yang ingin dikongsikan. Tidak seperti kawan-kawannya yang serius dan tegas, Suhaila periang dan santai. Ini memberikan kelapangan jiwa buat Firdaus. Cuma, kadang-kadang, kecomelan Suhaila membuatkan dia terfikir untuk melakukan perkara di luar batasan agama. Agama yang digenggamnya seperti menggigit dengan geraham.

Suhaila pula mula berjinak menutup aurat kepala. Dia mengenakan skarf melitup, diikat di pangkal belakang kepala. Biarpun hijabnya tidak menuruti syariah, yakni tengkok dan dadanya masih terdedah, Firdaus gembira melihat perubahan Suhaila. Peralihan yang membuatkan Firdaus bertambah sayang pada kekasihnya itu.

...

Masa berlalu tanpa mereka sedari. Sudah genap enam bulan mereka berpacaran! Suhaila ingat dan mengingatkan Firdaus yang terperanjat. Seperti enam bulan yang lepas, Suhaila ingin Firdaus belanja-nya di restoran American Fish and Chips. Kali ini, dia tak terasa galak.

Mereka singgah di MPH kerana Firdaus ingin mencari buku Sheikh Hamzah Yusuf yang sukar ditemui dalam negara. Suhaila terpaksa menahan godaan ruangan novel Melayu kerana mahu mengekor Firdaus. Lagipun, dia sudah memborong novel di pesta buku. Semasa di pesta buku, Firdaus mengekornya. Kali ini, giliran dia mengekor Firdaus pula. Itulah tolak ansur dari padangan Suhaila. Malangnya, buku yang dicari Firdaus tiada. Suhaila tampak kecewa tetapi Firdaus tenang, bersahaja. Mereka pun beredar.

Di pintu MPH, mereka dihampiri beberapa perayu syarikat penerbitan yang membuka gerai pameran sempena pelancaran novel terbaru mereka. Firdaus mengalah kerana susah baginya berkata tidak. Dia menuruti mereka ke rak pemeran. Suhaila mengekor sahaja.

Alangkah terkejutnya Suhaila apabila melihat novel yang baru dilancarkan – judulnya sama dengan judul manuskripnya yang ditolak 6 bulan lepas! Bukan itu sahaja, terpampang nama Dayang Norafizah di muka hadapan novel tersebut. Kak Nora!

Suhaila pun mencapai senaskah dari rak pameran. Terketar-ketar dia membuka novel yang sama judul dengan manuskrip novelnya, bernamakan Kak Nora sebagai penulis. Dia memeriksa beberapa perenggan di bab-bab berlainan. Ternyata, itu novel tulisannya! Perkataan demi perkataan!

Dalam ketidak-haruan itu, kelihatan Kak Nora duduk di sebuah meja tidak jauh dari rak pameran. Kak Nora sedang menandatangan autograf! Besertakan novel di tangannya, Suhaila pun bergegas, memotong barisan manusia, ke arah Kak Nora. Sesampainya di hadapan meja, Kak Nora mendongak. Kak Nora tak terkata apa-apa bila terpandang Suhaila. Wajah Suhaila yang putih, kini merah menyala!

Suhaila menghempas novel dari tanggan, sekuat-kuatnya ke atas meja!

"Sue....", Nora merayu.

"Pengkhianat!", jerit Suhaila seperti ingin tercabut kerongkongnya.

"Sue....", Nora merayu lagi. Tetapi tiada apa yang mampu diluahkannya.

"Perempuan sundal!", terketar-ketar suara Suhaila.


"Sue,..Sue,...", tegur Firdaus. Dia terpinga-pinga melihat Suhaila yang sedang menggeletar keseorangan.

"Ha!...Oh..", Suhaila terkejut. Keliru dia seketika. Rupanya dia berkhayal.

"Sue....", pujuk Firdaus, cuba mententeramkan Suhaila.

"Awak, .. Novel ni, manuskrip saya yang ditolak", berlinangan air mata Suhaila sambil menunjukkan novel yang terbuka di dalam tangannya.

"Apa?", binggung Firdaus.

"Tak apa. Mari ikut saya", pinta Suhaila sejurus terlihat Nora di penjuru medan penglihatannya.

Suhaila pun pergi ke kaunter pembayaran dan membeli senaskah 'novelnya sendiri'. Dia mengajak Firdaus untuk berbaris bersama manusia yang mahukan autograf. Semasa berbaris, barulah Firdaus sedar bahawa novel yang sedang dilancarkan itu adalah ciplak hasil kerja kekasihnya. Firdaus naik marah.

Setibanya mereka di meja yang dilitupi baldu merah, dihiasi sejambak ros merah jambu, Suhaila memberikan naskahnya kepada Nora.

"Adik nama apa yer?", tanya Nora sambil tersenyum manis.

"Suhaila Embong", jawab Suhaila yang juga tersenyum, sedikit kelat. Kecewa di matanya tak dapat diselindung.

"Macam pernah jumpalah adik ni?", sambil tersenyum, Nora mengerutkan dahinya.

Serta merta, kerutan dahinya hilang, matanya membulat dan mulutnya ternganga. Adik di hadapannya itu, Sue! Sue yang ber-skarf! Dia tak terkata apa-apa. Kelu. Tenggelam dalam rasa bersalah!

Suhaila juga bisu seribu bahasa. Dia menggeletar semula. Dia masih tak percaya yang Kak Nora, idola yang disanjungnya selama ini sanggup berlaku curang kepadanya. Mengkhianati kepercayaannya! Mempergunakannya!

"Awak ni siapa nak memplagiat kerja orang? Awak ni penulis atau penciplak? Tak tahu malukah? Ini syarikat penerbit apa ni?....", Firdaus membebel. Dia tak tahan melihat Suhaila yang hanya tercegat menggeletar menahan tangisan di sebelahnya.

Tidak lama kemudian, datanglah sekumpulan pengawal keselamatan untuk mententeramkan keadaan. Suhaila dan Nora masih kelu tak berbahasa. Mata mereka bertemu, tiada ramah, penuh kesedihan. Suhaila akhiri renungannya dengan setitis air mata lalu menoleh ke arah Firdaus yang sedang meronta-ronta – cuba melepaskan diri dari pegangan pengawal keselamatan. Suhaila pun pergi mendapatkan Firdaus. Naskahnya ditinggalkannya di atas meja.

...

Nora tidak dapat menahan rasa sugul. Dia mengemas barang-barangnya lalu beredar. Dia ingin mendapatkan Suhaila. Dia ingin memohon maaf. Dia ingin mengaku yang dia mengkhianat! Dialah insan sehajat-jahat manusia!

Nora menyelinap di celah-celah manusia, cuba mencari Suhaila yang telah hilang dari pandangannya. Hampir ke setiap penjuru Mega Mall dia pergi, masih tak kelihatan kelibat Suhaila.

Tiba-tiba, Nora terlihat sesuatu yang ganjil – ketayap putih di kalangan kepala-kepala pengunjung restoran American Fish and Chips. Ketayap itu seperti ketayap lelaki cina yang membebel sebentar tadi. Nora menghampiri restoran tersebut, meninjau-nijau. Melalui cermin lutsinar yang mendindingi restoran, terlihat Suhaila duduk bertentangan dengan lelaki cina yang berketayap itu.

Suhaila sedang mengelap air mata yang tak henti berderai. Kadang-kadang dia merenung jauh. Kadang-kadang dia melekapkan muka ke tapak tangannya. Jelaslah kepada Nora bahawa tiada maaf yang perlu dipinta. Hubungan mereka sudah pun terkubur.

Nora mengesat air matanya. Lalu, pergi dengan hati yang amat bersalah.

KEMILAU CINTA NOVELISWhere stories live. Discover now