Selepas melancarkan novel pertamanya, SUHAILA berhenti kerja sebagai kerani di Hospital Kuala Lumpur. Sebagai novelis ternama, Suhaila terlalu sibuk dengan undangan ke majlis-majlis berkaitan penulisan, di dalam dan luar negara. Dia juga perlukan masa untuk melakukan perkara yang dia suka iaitu menulis.
Sehingga kini, Suhaila sudah menghasilkan lapan buah novel yang kesemuanya bestsellers. Novel–novelnya turut mendapat sambutan luar biasa di pasaran Asia Tenggara termasuk Singapura, Indonesia dan Brunei. Beberapa buah novelnya memenangi anugerah lokal dan antarabangsa. Beberapa darinya diterjemah ke pelbagai bahasa.
Suhaila sentiasa menjadi rebutan penerbit rancangan bual bicara di TV dan radio, terutama sekali di Indonesia. Di sana, Suhaila diberi panggilan manja, Mbak Sue! Orang Indonesia sangat menyanyanginya.
FIRDAUS pula membuka syarikat penerbitan yang asalnya bertujuan untuk menerbitkan novel-novel Suhaila pada harga mampu milik. Kini, syarikat miliknya dan Suhaila itu berkembang. Ia turut menerbitkan karya-karya penulis baru. Model penerbitan syarikat mereka yang pro-penulis merubah norma penerbitan negara. Syarikat mereka bukan sahaja memberi bayaran setimpal, tetapi turut menjaga kebajikan penulis-penulisnya seperti memberi perlindungan perubatan, peruntukan simpanan hari tua, geran penyelidikan serta latihan berterusan. Syarikat mereka terus memacu perubahan budaya penerbitan negara selari dengan standard antarabangsa.
Suhaila berbaik semula dengan NORA. Dia tidak sampai hati melihat idolanya terus dihina dalam dunia penulisan. Suhaila masih ingat jasa Nora kepadanya. Waktu dia terkial-kial menulis dahulu, Nora-lah yang memberi dia semangat dan sokongan. Setelah dipujuk, akhirnya Nora bersetuju untuk menjadi ketua editor di syarikatnya. Semenjak itu, Nora mula menulis kembali. Dia sudah menghasilkan tiga buah novel. Kesemuanya, bestsellers! Ikatan istimewa adik-kakak novelis ini bagaikan air yang dicincang – tidak akan putus!
SUHAILA & FIRDAUS melangsungkan perkahwinan tiga bulan pasca lamaran di Sungai Chao Phraya. Mereka dikurniakan seorang putera dan seorang puteri kacukan yang comel-comel!
~ Selesai ~
