I - MINAT

24 0 0
                                        

Suhaila tekun memasukkan data permohonan bantuan perubatan ke dalam komputer di stesen kerjanya. Tekunnya, setekun remaja bermain playstation. Mata tidak berganjak dari skrin.

Ting! Bunyi komputer menganggu tumpuannya. Bunyi itu menandakan email baru, baru sahaja masuk. Suhaila pun membuka emailnya. Tersentak jantungnya bila membaca tajuk email yang baru sampai.

Keputusan Penilaian Manuskrip.

Ianya email jawapan dari syarikat penerbitan. Kandungannya akan menentukan sama ada manuskrip novelnya diterima atau tidak!

Hati Suhaila bergelora. Dia memandang ke semua arah, mencari wajah yang mendamaikan. Tidak ketemu. Kesemua kerani lain asyik bekerja seolah-olah dirasuk komputer! Tiba-tiba, Suhaila terlihat seorang Cina mualaf yang sedang curi-curi melihatnya dari pintu hadapan. Arrgh, tidak membantu!

Suhaila perlukan udara! Tercungap-cungap, dia bangkit dan berjalan ke pintu belakang. Dia berhenti sejurus keluar dari pejabat, di balkoni pejalan kaki. Dari tingkat dua bangunan pentadbiran hospital itu, terpampang kota raya Kuala Lumpur yang sesak dengan bangunan pencakar langit. Pandangan yang sedikit klaustrofobik tetapi lebih melegakan dari stesen kerjanya. Suhaila menarik nafas panjang.

...

Suhaila meminati novel sejak di bangku sekolah. Kala rakan-rakan sebaya menghabiskan duit raya untuk mainan dan pakaian, dia membeli buku fiksi. Minat membacanya berkembang kepada penulisan. Dari usia 12 tahun, Suhaila mencuba nasib dalam pelbagai pertandingan menulis. Ada pertandingan yang dimenangi, kebanyakkanya tidak.

Selepas tamat SPM, menuruti kata hatinya, Suhaila memohon kursus Sarjana Muda Bahasa Melayu dan Linguistik. Namun, permohonannya ditolak kerana keputusan SPM-nya tidak mencapai piawaian. Akhirnya, dengan berat hati, dia terima tawaran Diploma Kesetiausahaan. Setelah tamat pengajian, dia diambil bekerja sebagai kerani di Jabatan Kebajikan, Hospital Kuala Lumpur.

Haluan kerjaya tidak seperti yang diangan-angankan. Namun, ia tidak menghalang Suhaila dari mengejar cita-cita sebenar iaitu menjadi seorang novelis. Dia mengasah bakat. Dia menulis blog. Penulisan yang dirasakan baik, dihantarnya ke majalah dan surat khabar. Ada yang diterbitkan, kebanyakkannya tidak. Dia turut menyertai bengkel dan program-program berkaitan penulisan. Dari situlah dia menemui Nora, seorang editor yang banyak mendorong dan menyokongnya untuk menulis novel.

Hingga kini, Suhaila sudah menghantar empat manuskrip novel kepada syarikat penerbitan. Tiga darinya ditolak bulat-bulat. Apabila disoal, 'apa yang tidak kena?', jawapan penerbit hanyalah, 'tidak cukup baik'. Kering! Akan tetapi, Suhaila tidak patah semangat. Dia terus mengarang. Empat bulan lepas, dia menghantar satu lagi manuskrip. Jawapan kepada percubaan kali ini berada dalam email, di hadapan mukanya sekarang!

KEMILAU CINTA NOVELISTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang