Januari 2016.
Bilik Jen gelap tanpa sebarang cahaya. Langsir yang tebal di jendela tidak disingkap langsung. Jen selesa berbaring begitu. Biarpun tidurnya sudah hampir melebihi 12 jam.
Ketukan bertalu-talu dipintu biliknya membuatkan anak mata Jen membesar di ruang bilik yang gelap itu.
Lambat-lambat Jen bingkas dari katil. Biarpun ketukan di pintu mungkin akan menyebabkan pintu biliknya roboh.
"Apa bising-bising sangat ni Liza?" soalnya dengan nada dan riak tak puas hati. Geram apabila tidurnya diganggu.
"Bangunlah Jen! Matahari dah pacak atas bumbung rumah, kau masih berlingkar."Bebel Liza. Sesaat kemudian Liza pekup hidung sendiri. Ada bau kurang enak dari bilik Jen.
"Ya Allah, Jen! Bukalah tingkap bilik tu. Dah berbau bilik kau ni. Bagi udara tu masuk sama. Macam manalah badan nak sihat kalau udara terperup di dalam bilik saja." Daripada mode membebel, Liza dah tukar kepada pakar motivasi.
"Kau nak apa ni Liza?" Dia berpura-pura mengorek telinga. Menunjukkan betapa dia bosan mendengar semua kata-kata Liza itu.
"Aku nak pergi kerja dah ni. Nasi aku dah masak. Lauk-pauk pun ada bawah tudung. Nanti kau makan ye." Suara Liza dah tak setinggi tadi. Suaranya persis seorang ibu meninggalkan pesanan untuk anaknya.
"Okey." Jen berkira-kira mahu menutup kembali pintu bilik tetapi dihalang oleh Liza.
"Apa lagi?" suaranya jelas kurang senang apabila Liza masih belum puas mengganggu.
"Jangan lupa makan. Penat aku memasak."
"Yalah!" jawabnya pendek. Ada rengusan kurang senang dihujungnya.
"Jen."
"Apa lagi Liza oit! Cepatlah pergi kerja, nanti lambat pula kau sampai." Dah tak lalu berdiri lama-lama di muka pintu, Jen kembali duduk di atas katil. Dibiarkan saja Liza tercongok berdiri di pintu biliknya.
"Hospital sekangkang kera je dengan apartment kita ni. Tak adanya aku nak lambat." Tegas Liza si jururawat Hospital Universiti itu menyangkal.
"Bangun mandi Jen!" Liza yang di muka pintu tadi, masuk ke dalam menarik tangan Jen.
Jen menepis tangan Liza, membuatkan Liza terundur sedikit ke belakang.
"Ya Allah! Mujur kau sepupu aku Jen. Kalau tak..." Liza menggeleng perlahan. Perangai Jen semakin lama semakin teruk.
"Kalau tak apa? Kau nak halau aku keluar?" soal Jen berbunyi sinis.
"Dahlah, aku nak pergi kerja. Jangan lupa mandi, makan. Dan, tolong buka langsir bilik kau ni!" arah Liza sebelum keluar dari bilik Jen.
Pergi sajalah! Ada aku halang. Gumam Jen.
Setelah Liza berlalu dari bilik, Jen kembali berbaring di atas katil. Matanya memandang tepat ke siling. Lengan kanannya dibawa menutup dahi. Lama dia berposisi begitu.
Lamunannya bukan sekadar kosong. Fikirannya berputar laju mengimbas kembali kejadian di tahun yang lalu.
Setelah drama adaptasi novelnya Suamiku Bukan Anak Dato', Suamiku Anak Tan Sri ditayangkan, hidupnya berubah 360 darjah.
Daripada hidup tenang, bahagia, kehidupannya Jen bertukar arah. Daripada positif kepada negative.
Drama yang sepatutnya ditayangkan sebanyak 155 episod itu terpaksa dihentikan apabila memasuki tayangan episode ke 55.
Semuanya gara-gara dikritik hebat oleh netizen.
Apa saja yang Jen tidak terima? Caci maki, kata nista malah tohmahan turut dilemparkan kepada keluarganya. Sehinggakan kehidupan emak dan ayah di kampong turut merasa tempiasnya.
Dia dilabel penulis cerita soft porn. Gara-gara adegan di dalam drama (juga novelnya) dikatakan terlampau ghairah.
Malah dia turut ditegur oleh segelintir uztaz dan ustazah kerana menghasilkan karya yang sedemikian.
Paling teruk adalah, netizen membakar novelnya di tengah-tengah ibu kota. Di hadapan Sogo lantaran kempen memboikot drama dan novelnya.
Dia juga turut diugut bunuh oleh beberapa individu. Katanya, kerana novelnya anak-anak remaja menjadi hanyut dengan dunia maksiat. Dia dituduh menggalakkan remaja sekolah terjebak dengan kancah zina.
Akhir sekali, pihak produksi dan rumah penerbitan terpaksa menghentikan tayangan drama juga cetakan novelnya akibat teruk dikecam oleh netizen.
Sejak daripada itu, dia hidup di dalam tekanan. Menghidapi insomnia, mengalamai gangguan perasaan. Walaupun sebelum ini tidurnya memang tidak pernah cukup, tetapi dia puas.
Kini, dia terpaksa tidur dengan bantuan pil. Perasaanya juga mudah terganggu. Beberapa kali juga dia buat cubaan membunuh diri. Mujur saja, Liza cepat sampai. Kalau tidak, kematiannya hanya perkara yang sia-sia cuma. Sudahlah sia-sia, berdosa pula itu.
Jadi, jalan terbaik adalah mengasingkan diri daripada dunia luar.
Mengingati semua perkara-perkara sedih itu membuatkan jiwa Jen bertukar rasa, hiba. Tak semena-mena bahagian hujung matanya basah, hangat mengalir sehingga ke tulang pipi kirinya.
YOU ARE READING
Magis
AcakApabila yang ditulis menjadi apa yang kau alami. Tentu saja ia adalah mimpi yang ngeri.