Beberapa hari selepas permohonan maafnya tak diterima Danee, Jen memang dah tak bertemu doctor itu. Iyalah, bagaimana mahu bertentang mata apabila setiap kali Danee bersembang dengan Liza di hadapan rumah, dia dah lari duduk berkurung di dalam bilik.
Panggilan telefon Danee semua dia rejected. Mesej tak berbalas.
Liza ketuk pintu bilik bagai nak pecah pun dia tak peduli.
"Kalau kau nak selamat, jauhi aku!"
Kata-kata Danee itu ibarat rakaman pita kaset. Setiap kali wajah Danee terbayang, suara itu pun berulang.
Jen pandang jam di dinding. Sudah hampir dua jam Liza ke hospital, bekerja. Dia pasti Danee juga begitu. Sebelum keluar sempat Jen mengintai di celehan lubang pintu rumah. Memastikan tiada kelibat Danee di situ.
Buku-buku yang dipinjam daripada kedai Mat dikepit di celah ketiaknya. Pintu rumah dikuak perlahan. Begitu juga dengan pintu grill. Seminumum mungkin dia cuba kurangkan bunyi bising. Dipusing gugusan kunci selambat yang boleh.
Baru saja dia nak masukkan gugusan kunci ke dalam poket seluar, bunyi pintu rumah depan dibuka mematikan pergerakannya.
Danee yang tercegat di muka pintu dipandang Jen dengan serba-salah. Ketika itu jugalah buku-buku yang diapit di ketiaknya hendak jatuh berselerak di lantai. Jen mendengus kuat, kurang selesa dengan situasi sekarang. Janggal sungguh rasanya.
Jen duduk mencangkung, mengutip satu per satu buku di lantai.
Kenapalah Danee ada di rumah waktu ni? Kerja ke tidak dia ni? Memanjang ada. Rungutan demi rungutan melintas di dalam hatinya.
"You masih marahkan I ke Jen?" soal Danee yang turut duduk mencangkung mengutip buku-buku Jen.
Jen angkat wajahnya, kini dia dan Danee saling bertentang mata. Jarak penglihatan mereka ketika itu jika diukur mungkin saja sepanjang pembaris 30 sentimeter.
Danee dengan wajah teraga-agak. Jen dengan wajah blur. Untuk beberapa ketika mereka saling bertatapan.
Jen menekur wajah bersih Danee lama. Mencari sesuatu. Garis sinis pada wajah doctor itu.
"Sepatutnya saya yang tanya awak soalan itu Danee?" Serius saja wajah Jen bertanya.
"Hah?" Terpinga-pinga Danee cuba memahami.
"Hari tu..." Jen berhenti tak jadi menyambung bicara. Hendak saja dia muntahkan kembali apa Danee katakan pada tempoh hari. Tetapi dimatikan saja niatnya itu. Buat apa serabutkan lagi keadaan. Bagus juga apabila dia dan Danee tak lagi berkawan. Tak perlulah Danee mencampuri setiap urusannya lagi.
"Siapa awak sebenarnya Danee? Kadang-kadang awak sinis, kadang-kadang awak mesra. Saya tak dapat nak faham!" Jen rampas bukunya di tangan Danee, kasar. Kemudian, terus tinggalkan Danee terkontang-kanting menghadam apa yang dituturkannya tadi.
***
Geramnya pada Danee belum habis. Jen mengheret moodnya ketika bertembung dengan Danee tadi sehingga ke kaunter kedai buku Mat.
Short term memory? Atau Danee itu mempunyai penyakit split personality? Jen belum habis memikirkan hal Danee.
"Cik Jannah sihat?" tanya Mat dengan wajah polos.
"Sihat Mat. Kenapa, nampak saya macam tak sihat ke?" Jen tenung Mat yang berkaca mata berbingkai hitam tebal itu tepat.
"Nampak macam Cik Jannah stress. Maaflah kalau pertanyaan saya tadi buat cik kurang senang." Mat ambil buku-buku yang dipulangkan Jen lalu di bawa ke troli kayu dua tingkat separas pinggang itu.
YOU ARE READING
Magis
RandomApabila yang ditulis menjadi apa yang kau alami. Tentu saja ia adalah mimpi yang ngeri.