Bungkusan air jagung bersilih ke tangan kiri. Jemari kanan yang terbebas lantas meraba poket mencari kunci. Terjumpanya ia, kunci dimasukkan ke dalam lubangnya lalu diputar lawan arah jam – perbuatan yang berakhir dengan bunyi 'klik'. Pintu ditolak. JEFRI pun melangkah ke dalam. Lekas-lekas dia merapatkan pintu sambil menekan punat di tombol pemegang, mengunci pintu itu kembali.
Dia menyusur ruang resepsi dan pejabat yang tidak berpenghuni. Perasaannya sedu dan bersalah. Pagi itu dia memberhentikan saki-baki stafnya. Empat pekerja terakhir, yang paling setia. Kesemuanya menangis, merayu-rayu untuk terus bekerja. Jefri benar-benar terpaksa kerana tidak mampu menggaji mereka. Syarikatnya kerugian teruk selama dua tahun dan kini bagaikan telur di hujung tanduk, di ambang bankrap. Dirinya pun begitu.
Apalah nasib mereka?, soalnya melihat meja-meja kosong di ruang pejabat. Hatinya luluh mengenangkan nasib staf-stafnya yang kini hilang punca rezeki. Bagaimanakah kehidupan mereka? Bagaimana pula keluarga yang mereka sara?
Jefri berpusing dan memasuki biliknya. Hah! dia mendengus bila terbaca insignia yang menera namanya sebagai pengarah. Diletakkan bungkusan air jagung ke dalam tupperware empat segi di atas meja. Dia pun berjalan ke kerusi di seberang meja lalu rebah ke dalamnya. Dia bersandar sambil melengung ke siling. 'Ya Allah, kau tolonglah staf-stafku yang aku berhentikan', Jefri berdoa. Dadanya sempit bagaikan ditindih sebongkah batu yang berat.
Bungkusan air jagung yang berdiri tegak di dalam tupperware dicapai Jefri. Kelihatan peluh-peluh dingin di permukaan plastik air jagung itu. Perlahan-lahan dia memutarkan kerusinya menghadap tingkap. Dari situ, di tingkat lima, terlihat ribuan manusia membanjiri bazar ramadan yang selari dengan bangunan pejabatnya.
Jefri melonggarkan ikatan air jagung dan menyisip straw di celah lubang yang terhasil. Dia pun menyedut straw. Air jagung lantas membasahi kerongkongnya yang kontang. Kepuasannya, orgasmik! Matanya terkebil-kebil. Pernafasannya mendalam, tersekat-sekat. Otot-ototnya mengejang. Kenikmatan yang memuncak hasil renjatan amygdala di otak.
Ahhh! Jefri melepaskan udara yang terkumpul di paru-parunya. Kewarasannya kembali. Dia terasa bersalah berbuka awal. Tetapi, itulah sekelumit nikmat pada hidupnya yang serba tak kena ketika ini. Tuhan pasti mengerti. Ramadan yang lepas dan sebelumnya, dia warak. Puasa tak tinggal. Terawih pun penuh. Ketika itu, dia sangat mengharapkan pertolongan dari langit. Tetapi, semakin dia berharap, semakin sukar kehidupannya. Kini, dia kembali kepada tabiat asalnya – tak berapa rajin berpuasa. Bukannya berhenti berharap. Tidak! Cuma, dia keletihan.
YOU ARE READING
RAWAM RAMADAN
Short StoryMenyingkap kisah rawan kehidupan di bulan Ramadan. Moga kita beroleh pengajaran dari cerpen ini. Selamat membaca! :)