Jefri memindahkan seratus ringgit ke akaun Hayati seperti yang dijanjikan. Dia mendesah panjang apabila melihat baki akaunnya kurang dari seribu. Selesai urusan bank atas talian, dia melawat laman sesawang Uber. Barangkali, dia boleh menjadi pemandu Uber bagi menyara hidupnya. Boleh tahan, kata hatinya setelah membaca terma-terma yang ditetapkan Uber.
Air jagung dihirup dan sebatang lagi rokok dinyalakan. Jefri menelek telefon bimbitnya. Dia mencari nombor Riswan. Terjumpanya ia, dia terus menelefon Riswan.
"Ha Jef, apa kau nak?", jawab Riswan.
"Abang Wan sibuk ker? Boleh cakap?", Jefri tidak mahu menggangu Riswan jika Riswan sedang sibuk.
"Boleh!", ujar Riswan.
"Abang Wan apa khabar?", Jefri cuba memecah kejanggalan antara mereka yang lama tidak berhubung.
"Baik. Alhamdulillah! Kau amacam?", Riswan ingin tahu perihal juniornya itu dari mulutnya sendiri.
"Saya masih struggling Abang Wan. Makin parah sebenarnya", jelas Jefri.
"Hurmmm. Kau nak bantuan ker?", soal Riswan. Nadanya seperti rimas.
"Ya, tapi bukan untuk saya. Untuk seorang staf saya ni. Dia ibu tunggal, anak tiga. Suaminya meninggal accident lima tahun lepas. Dia sekarang betul-betul terdesak – takde duit nak makan. Saya nak bantu, tak terbantu kerana saya pun terdesak. Saya terfikir, mungkin Abang Wan boleh bantu....", dia pun menceritakan panjang lebar kesusahan Hayati. Bantuan yang dipinta untuk bulan Ramadan sahaja.
"Hurmmm. Nanti aku fikirkan!", jelas Riswan.
"Okay Abang Wan. Nanti calling-calling lah yer!", Jefri sangat mengharap.
"Kau puasa atau tak ni?", soal Riswan. Dia berprasangka kerana pertuturan Jefri tersekat-sekat seperti sedang merokok.
"Puasa-lah. Haha!" , Jefri mengawal remangnya.
"Okay-okay. Nanti aku call!", Riswan mengakhiri perbualan.
...
Riswan seronok bila Jefri menagih pertolongannya. Sudah lama hatinya membengkak. Jefri sentiasa mencabar egonya. Semasa di Amerika, Jefri yang lebih muda seperti tidak hormat kepadanya. Di majlis usrah, ketika pelajar-pelajar lain menurut sahaja katanya, Jefri mempunyai pandangan berbeza. Bukan itu sahaja, pelajar-pelajar junior menjadikan Jefri sebagai role-model. Keterbukaan pemikiran dan keyakinannya bersaing dengan pelajar antarabangsa memukau mereka.
Sejarah kerjayanya juga dicemari Jefri. Walaupun menyertai Konsortium Minyak Nasional dua tahun selepasnya, Jefri lebih popular. Idea-idea Jefri menarik minat rakan sekerja dan pihak atasan. Jefri kemudiannya dilantik sebagai pengurus, memintasnya. Setelah Jefri berhenti dan membuka syarikat pembersihan gerudi minyak sendiri, Riswan melakukan pelbagai helah bagi menghalang syarikat Jefri dari mendapat kontrak Konsortium Minyak Nasional. Iri hatinya melonjak apabila syarikat Jefri mampu bersaing di luar negara.
Kemerosotan syarikat Jefri kebelakangan ini menggembirakan Riswan. Dia mengikuti perkembangan ini dengan penuh minat. Di khalayak, dia pura-pura prihatin. Senyap-senyap, dia tertawa. Antara berita yang memuaskan hatinya adalah keretakan rumah tangga Jefri yang berakhir dengan perceraian. Jefri yang dulunya gah, kini terhina, merayu belas kasihannya. Hatinya membesar.
Riswan bersandar, berselimpang tangan di belakang kepala sambil tersenyum. Dia yakin Jefri tidak berpuasa. Hurrmm...Alangkah seronoknya jika Jefri dicekup ponteng puasa!
YOU ARE READING
RAWAM RAMADAN
Short StoryMenyingkap kisah rawan kehidupan di bulan Ramadan. Moga kita beroleh pengajaran dari cerpen ini. Selamat membaca! :)