Sambil merebus racun tikus untuk dijadikan pati, Hayati terkenangkan peristiwa yang berlaku pada dirinya. Semasa berbuka di surau tadi, dia ditempelak pengerusi surau. Masih tengiang-ngiang cemuhan pengerusi itu.
"Kau ni sampah! Waktu lain tak nampak muka, bila berbuka ada sahaja – dengan anak-anak pulak tu. Iftar ni bukan untuk orang yang malas bekerja seperti kau. Makanan ni untuk jemaah yang datang solat maghrib dan terawih. Ini bukan tempat kau makan free. Pergi kau, sampah!"
Cemuhan itu di khalayak ramai. Hayati malu dan rasa terhina. Bersepai sisa maruahnya. Tangisan anak-anak ketika dia mengheret mereka pergi, amat memilukan hatinya.
Peristiwa di siang hari turut menusuk hiba yang tak mampu dibendungnya. Pulang dari sekolah, anak-anak gadisnya yang kegirangan menunjukkan plastik lutsinar yang mengandungi getah-getah rambut yang melekat padanya hati-hati kecil pelbagai warna. Bila ditanya, 'dari mana datangnya getah-getah itu?' – jawab mereka, 'penjaja di pagar sekolah beri hutang. Dua ringgit harganya'. Mereka merayu-rayu kepada Hayati. Dengan hati yang berat, Hayati menyuruh anak-anaknya memulangkan getah-getah rambut itu, waktu itu juga. Dia bingkas ke biliknya, lalu menangis dan menangis. Dia – ibu yang tak berguna! Kala anak-anak orang lain meminta baju dan kasut Raya yang mahal-mahal, keinginan anak-anaknya menggayakan getah rambut yang berharga dua ringgit pun tak mampu dikotakannya!
...
Setelah racun itu melikat, Hayati memasak dua bungkus meggi. Itulah bekalan sahur terakhir buat mereka sekeluarga. Wang yang diberikan Jefri dua minggu lepas sudah habis. Seperti biasa, meggi dimasak sehingga kembang. Hayati memasukkan separuh dari pati racun tikus itu ke dalam periuk dan mengacaunya hingga sebati. Sesudah masak, dia bahagikan meggi itu kepada tiga mangkuk.
Hayati mengejutkan anak-anak gadisnya yang tidur bergelimpangan di ruang tamu rumah murah yang disewanya. Di situlah tempat anak-anaknya tidur, di situlah tempat anak-anaknya bermain, di situ jugalah tempat anak-anaknya belajar.
Dengan malas, mereka bangkit dan berjalan ke dapur. Setelah semuanya bersila, Hayati menghulurkan mangkuk-mangkuk meggi kepada mereka. Anak-anaknya makan dengan penuh selera. Selesai sahaja, mereka mengadu sakit perut yang teramat. Serentak, mereka menggelupur seperti terkena sawan. Buih-buih merah mula keluar dari mulut mereka. Mereka meronta-ronta. Setelah beberapa minit, tubuh mereka mengejang, kemudiannya longlai, lalu rebah ke lantai.
Hayati yang tercegat di penjuru dapur menjerit sepenuh kudrat. Hanya suara serak yang keluar dari kerongkongnya.
Anak-anaknya yang terkulai di lantai dapur diangkat satu-per-satu ke biliknya. Disusun mereka baik-baik di atas katil. Dia memeluk erat dan mencium anak-anaknya buat kali terakhir.
Hayati menggenggam kole yang mengandungi pati racun tikus. Terketar-ketar, dia berdoa, 'Ya Allah, ampunilah aku.. Ya Allah!' Racun itu diteguknya.
Perutnya pedih seperti terbakar. Tercungap-cungap, dia menahan perit yang dahsyat. Dia tersedak-sedak, lalu bermuntahan darah. Badannya terasa seperti disiat-siat. Terguling-guling dia menggelupur. Dari saat itu, segala derianya hilang. Tiada lagi bunyi, tiada lagi rasa sakit. Yang tinggal hanyalah bayangan ibu, bapa dan suami yang bersilih ganti. Kemudian, bayangan ketiga-tiga anaknya. Bayangan mereka semakin lama semakin samar, semakin jauh. HAYATI pun melonjak meninggalkan tubuhnya lalu mendakap anak-anaknya. Tiba-tiba, gelap!
YOU ARE READING
RAWAM RAMADAN
Short StoryMenyingkap kisah rawan kehidupan di bulan Ramadan. Moga kita beroleh pengajaran dari cerpen ini. Selamat membaca! :)