Kring-kring! Bunyi telefon Jefri yang bernada klasik. Nada yang mengejutkan dia dari persoalan, 'jagung itu buah atau sayur?' yang singgah di fikirannya. Trivia begini meredakan sedikit kekusutan yang menyarang kepalanya. Istirehat otak yang bersifat sementara!
Jefri menjeling nama yang tertera di skrin telefon. HAYATI. Hayati adalah kerani yang diberhentikan enam bulan lepas. Dia ibu tunggal yang mempunyai tiga anak perempuan yang masih bersekolah rendah. Setelah diberhentikan, Hayati mengkuli bagi menyara anak-anaknya. Kadangkala, Jefri menghulurkan sedikit bantuan kepada Hayati.
Jefri menghela nafas lalu mengangkat telefon.
"Bertenang Yati, bertenang...", pujuk Jefri setelah mendengar suara Hayati yang tenggelam timbul kerana menangis terisak-isak.
"Maaf Encik Jefri...", Hayati cuba mengawal diri.
"Tak mengapa. Cuba cerita kepada saya satu-per-satu", Jefri menenteramkan Hayati seperti seorang kaunselor.
"Saya tak tahan hidup begini! Restoran yang saya kerja tak berniaga di bulan Ramadan. Saya tiada kerja. Saya langsung tak berduit. Makan pun saya bawa anak-anak ke surau, berbuka di sana. Sahur meggi sudah kira bertuah!", keluh Hayati.
"Ya...", Jefri memberi ruang kepada Hayati untuk meluahkan lara di hatinya.
"Saya telefon ketua kampung, tak berjawab. Imam masjid pun sama. Telefon wakil rakyat, dia janji macam-macam tetapi kosong. Adik-beradik, asyik membebel sahaja. Tiada siapa yang tolong. Sebab itulah saya telefon Encik Jefri. Saya tahu Encik Jefri pun susah sekarang. Saya minta maaf banyak-banyak", sambung Hayati.
"Eh tak apa Yati. Beginilah, saya akan masukkan seratus ringgit ke dalam akaun Yati. Lepas tu kita fikirkan apa yang boleh kita buat", ujar Jefri.
"Allahu Akbar! Terima kasih banyak-banyak Encik Jefri. Allah sahaja yang mampu balas jasa Encik Jefri!", respon Hayati yang masih terisak-isak.
"Kalau ada apa-apa masalah jangan segan untuk hubungi saya ya. Jika saya dapat bantu, saya bantu. InsyaAllah", pesan Jefri penuh empati. Dia benar-benar merasai kesengsaraan Hayati.
Jefri tersandar pada kerusinya. Dia pun menyedut air jagung lalu menyalakan sebatang rokok. Setelah separuh rokok dihisapnya, dia mengesot kerusi menghampiri meja dan menghidupkan komputer peribadinya. Dibukanya Facebook dan dicari insan bernama RISWAN Shah. Dia pasti insan yang bernama Riswan itu mampu membantu Hayati!
...
Jefri mengenali Riswan sejak zaman universiti. Riswan adalah seniornya sewaktu belajar di Amerika. Kedua-dua mereka mengambil Ijazah Perakaunan. Riswan alim. Semasa di Amerika, Riswan menjadi ketua usrah kepada pelajar-pelajar Malaysia.
Selepas tamat pengajian, Jefri bertemu Riswan kembali di Konsortium Minyak Nasional. Sama-sama bekerja sebagai akauntan. Setelah beberapa tahun, Jefri meletak jawatan untuk memulakan syarikat pembersihan gerudi minyak. Entah mengapa syarikatnya tidak pernah mendapat kontrak dari Konsortium Minyak Nasional walaupun dia mempunyai rekod cemerlang bersama bekas majikannya itu. Tiada rezeki, apakan daya? Jefri membawa syarikatnya ke luar negara. Syarikatnya berkembang melalui tender antarabangsa. Tetapi, sejak harga minyak dunia menurun dua tahun lalu, kontrak berkurang dan akhirnya, gersang.
Riswan pula terus kekal bersama Konsortium Minyak Nasional. Sekarang sudah bergelar pengurus. Gajinya tinggi dan stabil. Jefri yakin, Riswan yang alim itu akan membantu saudara Islam yang kesusahan seperti Hayati!
Dia tersenyum melihat foto terbaru Riswan di Facebook. Muka Riswan yang berjambang sudah menembam. Perutnya terkehadapan, melindungi kepala tali pinggang. Kedua pehanya seolah bercantum. Geli hatinya. Jeda otak yang bersifat sementara, tetapi penuh pengharapan!
YOU ARE READING
RAWAM RAMADAN
Short StoryMenyingkap kisah rawan kehidupan di bulan Ramadan. Moga kita beroleh pengajaran dari cerpen ini. Selamat membaca! :)