Dokumen di tangan jatuh berselerak sejurus pintu pejabat dihempasnya. Bungkusan air tembikai nyaris terjatuh sekali. Jefri berjongkok mendapatkan dokumen yang bertaburan. Dokumen yang terjatuh itu adalah notis kebankrapan syarikatnya dari mahkamah.
Jefri berjalan deras merintasi ruang pejabat. Dia terserempak sebuah kerusi. Kerusi itu ditendangnya hingga terpelanting. Jefri lalu bergegas memasuki biliknya. Diletakkan bungkusan air tembikai ke dalam tupperware empat segi di atas meja. Dia kembali ke pintu biliknya dan merobek insignia yang menera namanya sebagai pengarah. Insignia itu dihempasnya ke dinding – pecah berkecai!
Jefri lalu duduk di kerusinya. Nafasnya berat. Amarahnya membuak-buak! Dia mencapai bungkusan air tembikai, melonggarkan ikatan, lalu menyedut airnya dari straw yang tersisip di celah bukaan. Rokok dinyalakan. Sedikit demi sedikit, murkanya mereda.
Kring-kring! Jefri memicing mata pada skrin telifon bimbitnya. Nama Riswan muncul. Dia teruja. Sudah dua minggu dia menunggu. Cepat-cepat dia menerpa telefonnya yang berada di atas meja.
"Walaikum salam, sheikh!", jawab Jefri.
"Jef, aku nak tolong staf kau tu!", ujar Riswan.
"Alhamdulillah. Terima kasih Abang Wan! Nanti saya mesej nombor akaun dia", gembira Jefri.
"Tak payah! Aku nak bagi cash! Aku kirim melalui kau, boleh? Kau ada mana sekarang?", Riswan menyatakan hajatnya.
"Saya ada di pejabat", jawab Jefri.
"Pejabat kau dekat bazar ramadan Taman Suria kan? Nanti, lepas Asar aku sampai", jelas Riswan.
"Okay. Saya tunggu!", Jefri pun memberi nombor unit pejabatnya. Dipesan supaya Riswan menelefonya bila sampai di pintu pejabat. Mereka pun menamatkan perbualan.
Ahh awal lagi. Baru pukul tiga petang! Jefri memutarkan kerusinya menghadap tingkap, meninjau keletah manusia di bazar ramadan. Sebatang lagi rokok dinyalakan.
Masalah kembali menyerang fikirannya. Disedut rokok dalam-dalam dan dihembuskan asapnya ke arah siling. Ya Allah, tolonglah aku!, Jefri berdoa.
Tiba-tiba kedengaran tapak kaki memasuki biliknya! Segera dia memutarkan kerusi. Klik-klik! Terperanjat Jefri melihat Riswan yang berdiri di seberang meja, menala telefon bimbit ke arahnya sambil mengambil gambar. Tupperware yang berisi bungkusan air tembikai berada di tangan kanan, manakala rokok yang masih berasap tersepit antara pangkal jari telunjuk dan hantunya.
Detik bagaikan terhenti. Mata Jefri terbeliak. Mulutnya terkuak. Wajahnya pucat seperti mayat!
Terlihat dua sosok gempal berpakaian jubah mengapit Riswan yang sedang tersengih. Sengihan yang tidak dapat dikawal. Geli hati Riswan melihat Jefri yang melopong seperti orang terencat akal. Klik-klik! dia mengambil beberapa lagi gambar, bukan sebagai bukti kerana bukti sudah pun cukup, tetapi untuk suka-suka!
Dua sosok berjubah itu menghampiri Jefri. Pegawai-pegawai Jabatan Agama itu memberi isyarat supaya air tembikai diletakkan di atas meja dan rokok dipadamkan. Jefri menuruti arahan mereka. Jefri turut memberikan kad pengenalannya seperti yang dikehendaki. Seorang dari pegawai Jabatan Agama itu lalu mengambil butiran peribadi Jefri. Dia kemudiannya memberikan sekeping nota yang mengandungi tarikh perbicaraan kes ponteng puasa di bawah seksyen 137 undang-undang syariah kepada Jefri. Dalam pada itu, Riswan asyik merakam detik 'bersejarah' yang terungkai di hadapannya.
Usai urusan pegawai Jabatan Agama, Riswan pula bersyarah, "Kau ni Jefri, bukan budak-budak lagi. Macam-macam nikmat Tuhan berikan kepada kau, tapi tak pernah kau bersyukur! Sekarang, Tuhan tunjuk. Tengoklah apa yang terjadi pada hidup kau. Semua ini salah kau! Kau berdosa! Bertaubatlah!"
Kata-kata itu langsung tidak menginsafkan Jefri. Ingin dia pelangkung muka Riswan yang tersenyum sarkastik. Namun, niat itu serta segala maki hamun, dipendamnya. Dia hanya mengganguk tanda faham. Dia mahu mereka berambus secepat mungkin. Hatinya, koyak-rabak!
...
Sebenarnya, Riswan sudah merancang serbuan itu. 'Hajat' menolong Hayati hanyalah umpan untuk menangkap Jefri. Janjinya untuk berkunjung selepas Asar, sekadar helah. Dia dan pegawai-pegawai Jabatan Agama tiba awal. Malah, mereka nampak Jefri memasuki bangunan pejabatnya dengan sebungkus air tembikai.
YOU ARE READING
RAWAM RAMADAN
Short StoryMenyingkap kisah rawan kehidupan di bulan Ramadan. Moga kita beroleh pengajaran dari cerpen ini. Selamat membaca! :)