Andai laut beralun tenang,
Mengapa daratan diterjah gelora?
"Nisa, bateri telefon aku nak habis ni! Kau dengar sini! Kau pergi ke meja aku. Bawah laptop tu ada bil. Kau tolong settlekan dulu. Aku tak sempat ni."
Lelaki itu diam seketika. Beberapa saat menarik nafas. Kemudian bercekak pinggang. Dia yang dalam keadaan berdiri jelas tampak menggelisah. Sekejap ke depan, sekejap ke belakang. Memberi ruang pada orang di sana membalas kata.
"Alah, kau cakap aje dengan dia. CR yang beri arahan. Kata aku ada hal penting. Pandai-pandailah!" Wajah itu serius mendengar sesuatu sambil jari telunjuknya sesekali dirapatkan ke bibir. Memberi isyarat pada sahabat di hadapannya. Jangan bising. Jangan keluar suara.
Firdaus mendongak memandang. Terlopong seketika. Alamak, aku terbabit ya dalam skandal hilang tanpa rekod di pejabat?! Ada sedikit debar dalam hati Firdaus.
"Nisa, jangan tak buat tau! Line telefon aku kalau kena potong, besok sebelum subuh, kau tu aku potong empat!"
Bateri iPhone yang nyawa-nyawa ikan itu padam terus. Talian terus terputus.
Chairil Razlan senyum sambil kenyit mata ke arah Firdaus. Sahabat yang seorang itu tidak pasti mahu senyum atau berasa senak perut.
"Hah! Kan senang. Telefon habis bateri. Tutup semua cerita! Jom kita pergi mancing!" CR atau Chairil Razlan yang kekadang dipanggil Cougar dengan senang hati mencapai lima batang joran yang sudah tersandar di tepi dinding ruang tamu itu. Membelek setiap satunya dengan penuh ghairah dan kasih sayang.
"Sibuk kerja aje kita ni, terabai semua joran aku." Chairil seperti tidak peduli kerut di dahi Firdaus.
"Betul? Selesai dah masalah kau?"
"Betullah! Jangan risau... Apa guna ada orang suruhan."
"Eh, tu nombor personal kau kan yang nak kena potong tu? Bukan pejabat?"
"Alah, apa beza? Nombor telefon personal ke, nombor telefon rasmi ke... Sama aje! Mak aku kalau nak telefon mana ada ikut buku. Mana ada pakai undang-undang. Dia nak jerit, dia nak jerkah aku guna dua-dua nombor tu selamba dia aje!"
"Apa kena-mengena mak kau dekat sini?" Firdaus terkelip-kelip memandang Chairil yang sudah siap berseluar Bermuda, T-shirt tanpa lengan dan kaca mata hitam yang tergantung pada rantai leher peraknya itu.
"Eh, mestilah ada kena-mengena. Kalau madam besar boleh tak ikut buku, aku ni staf laki mak aku. Sama darjatlah, kan? Nombor personal ke, nombor ofis ke sama aje! Kalau aku yang bagi arahan pada Si Nisa tu, dia tak boleh bantah!"
"Huh! Besar kepala!" Firdaus mencebik sambil tangannya pantas memasukkan beberapa bungkusan ke dalam beg galasnya.
"Hah! Jangan banyak cakap... Aku tarik balik duit belanja memancing!"
"Okey! Okey! Kau betul! Tahu... Tahu... Mak kau memang kekadang telefon direct ke pejabat sebab nak pesan beli makanan kucing." Firdaus pantas mengeyakan kata-kata bos kecil merangkap sahabatnya itu. Kurang-kurang, dapat tumpang sekaki menjadi tukang iring Chairil bila jejaka itu memancing.
"Yang kau bawa barang banyak-banyak ni apa hal?" Terpaku Chairil memandang bungkusan yang berbuntil-buntil di tepi beg galas Firdaus.
"Bawa bekallah. Taklah kebulur nanti sambil-sambil tepuk nyamuk. Sambil tunggu ikan makan umpan."
"Hoi, aku ni nak ajak kau memancing laut, bukan kolam dekat Sea Lion tu! Bot tu bot fiber. Yang kau bawa segala benda macam nak berkhemah ni buat apa? Perut memulas nanti mana nak membuang?"
YOU ARE READING
Izinkan Aku Jadi Sayapmu
RomanceNovel akan berada di pasaran Julai ini! Tajuk: Izinkan Aku Jadi Sayapmu Penulis: Lily Haslina Nasir Muka Surat : 784 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-0890-92-0 Harga: RM29.00 (Semenanjung) // RM32.00 (Sabah & Sarawak)