Dalam Hati Kusimpan Rasa.
Kata hamba kata dikota,
Bukan sekadar secebis bicara.
Tatkala melangkah masuk ke Cangkir Cafe di hujung jalan Kelana Jaya nan sibuk itu, Chairil tergamam. Langkah bagai terhenti, angin kering bagai kematian deru. Dia menangkap kelibat yang satu itu. Suram lampu kekuningan dalam kafe yang serba klasik bagai menghumban Chairil pada nostalgia tiga tahun sudah. Firdaus jadi serba salah.
"Bro, dia datanglah!"
"Siapa?"
"Itu..."
"Siapa?"
"Macam tu aku pergi dululah, ya?!" Firdaus seperti memahami. Meninggalkan Chairil bagai memberi ruang.
Syirah! Syahirah Malik. Susuk wajah itu tak mungkin dilupakan Chairil. Gadis genit, penuh tenaga yang satu ketika penuh pesona. Chairil pernah nanar menagih cintanya. Sihir cinta itu membuatkan dia menjadi tertutup hati pada semua perempuan selepas itu.
Kenangan pupus disira angin. Alangkah pedihnya menghadapi sejujur-jujurnya kenyataan ini. Berapa tahun sanggup mengingatinya? Berapa lama hati harus menahan luka? Bunga anggerik kemilau warna bagai menyanyi di puncak pandangan. Burung yang berterbangan berkawan-kawan lepas bebas menguak pintu awan, hilang di balik langit. Dadanya terbelah dalam debar resah. Chairil terkaku sebenarnya menatap wajah Syirah di hadapannya. Tapi wajah kaku itu pantas dipadam, pura-pura tiada rasa yang tercuit.
"Hai..."
"Errr... Hai!"
"Boleh duduk?"
Chairil mengangguk.
"Sihat?"
"Macam yang Syirah tengok."
"Sibuk?"
"Biasa."
Perempuan di hadapan Chairil itu bagai kehilangan kata-kata. Serba-serbi menjadi canggung. Semuanya menjadi tidak kena. Bagai tidak pernah kenal antara mereka. Sedangkan satu ketika dahulu, perempuan bermata bundar dan berambut ikal berombak separas bahu itu sentiasa lekat dalam hati Chairil.
"Ada apa ke sini?"
"Saja. Tanya khabar. Tak boleh?"
"Bukan tak boleh. Tapi tak perlulah sampai Firdaus kena tipu I untuk kita jumpa dekat sini."
"Jangan cakap macam tu. Firdaus pun tak mahu tolong Syirah. Tak payah marah Firdaus. Syirah yang ikut dia ke sini. Syirah balik cuti sebulan. Teringin sangat nak jumpa Chairil. Boleh, kan?"
"Hah, dah jumpa ni, dah berbual, dah tahu I sihat. Tak ada apa yang berubah. Okey, selesai kan kita?"
"Chairil! Sombongnya!"
"Bukan masalah sombong. Life must move on. Takkan kita nak hidup dalam cerita lama."
"Auntie sihat?"
"Sihat."
Mereka terdiam seketika. Tidak tahu apa yang harus dibualkan. Chairil pula sengaja mengelak dari terus berbual. Pantas mencapai telefon dan menelefon pejabat.
"Pia, Chairil sini. Petang ni lepas pejabat you ada apa?"
Sofeatulaishah yang di hujung talian tergamam. Lepas pejabat? Apa hal?
"Balik rumah terus."
"Nanti tolong carikan I barang-barang untuk memancing. Ingat nak memancing dekat Klang."
"Hah?" Sofeatulaishah benar-benar tergamam. Mahu terloncat dia dari kerusi mendengar arahan majikannya itu.
"Petang ni?"
YOU ARE READING
Izinkan Aku Jadi Sayapmu
RomanceNovel akan berada di pasaran Julai ini! Tajuk: Izinkan Aku Jadi Sayapmu Penulis: Lily Haslina Nasir Muka Surat : 784 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-0890-92-0 Harga: RM29.00 (Semenanjung) // RM32.00 (Sabah & Sarawak)