Bab 9

2.8K 41 0
                                    

Pelangi di Balik Awan.

Saya umpama habuk di papan,

Ditiup angin terbang melayang.

Rasa sebal tidak terucap dalam hati Sofeatulaishah. Pulang ke rumah, kepala terasa berdenyut-denyut. Lama benar dia tak kena migrain. Muka terasa pijar, dahi panas membahang dan kelopak mata bagai perlu disanggah dengan lidi. Perut menjerit lapar tapi Sofeatulaishah benar-benar patah selera.

"Kalau Pia berhenti kerja boleh, abah?"

Haji Imran yang sedang menyuap nasi terkejut. Nyaris saja dia tersedak.

"Hah?"

"Pia nak berhenti? Tak sampai sebulan pun lagi kerja." Jelingan mata emak cukup tajam. Seperti mahu dipancung anaknya itu.

"Apa masalah?" Abahnya tenang bertanya.

"Payah nak cakap. Kalau sebut, nanti orang kata Pia yang perasan." Dia sendiri tidak tahu dari mana mahu bermula cerita. Kalau mengadu, terasa macam keanak-anakan. Silap hari bulan ada yang menuduh dia ditimpa perasaan pada Chairil.

"Mesti ada sebab besar kalau belum sebulan dah nak berhenti kerja." Emak cuba mengorek rahsia. Sofeatulaishah benar-benar serba salah. Tapi dia tahu, kalau dia terus berdiam diri dan memendam rasa, boleh panasaran jiwa. Mahu senget kepala dibuatnya. Setiap hari ke pejabat dengan sebongkah batu terpikul di bahu. Terpandang saja muka Chairil, jantungnya berdebar-debar. Mendengar saja lelaki itu berkata-kata terasa menggelegak darah ke segenap urat nadi.

"Tak tahan kerja? Tak seronok? Itu biasalah. Orang baru kena sabar."

"Huh!" Dia menggumam perlahan. Belum apa-apa, abah sudah memberi nasihat klise.

"Rugi kalau kakak berhenti. Pian pun belum sempat rasa gaji pertama kakak." Sufian tiba-tiba menyampuk.

"Kau diamlah!" Sofeatulaishah menjegilkan mata pada adik yang sentiasa sibuk pasang telinga.

"Pia rasa macam orang tak suka Pia di pejabat tu. Semua yang Pia buat macam serba tak kena. Sepanjang masa asyik nak sindir Pia. Tak sudah-sudah nak malukan Pia. Macam Pia ni tunggul di pejabat. Tak tahu mana nak letak muka." Ada sebak pada suara itu. Tapi Sofeatulaishah cepat-cepat menarik nafas, memujuk hatinya.

Terbeliak Hajah Asmah mendengar keluhan anak gadisnya itu.

"Eh, siapa buat macam tu pada Pia?" Naluri keibuan terus melimpahkan rasa simpati. Haji Imran tenang sahaja sambil menggeleng.

"Biasalah tu! Bukan ke abah dah kata. Budak baru kena banyak sabar. Kena tahan lasak. Kalau kerja pertama dah tak tahan, tempat lain pun sama juga nanti."

Terasa luruh hati Sofeatulaishah mendengar kata-kata abahnya itu.

"Bukan masalah dengan kawan kerja, abah. Ni yang tak suka Pia, anaknya Tuan Ramli. Chairil Razlan tu! Mamat perasan bagus! Meluat betul Pia!" Tidak mampu menutup cerita yang satu itu, terhambur juga nama Chairil Razlan di atas meja makan itu. Terjuih bibir Sofeatulaishah apabila menyebut nama itu. Bencinya bukan kepalang. Terasa memang tidak mampu dijernihkan lagi perasaannya terhadap Chairil. Pada saat begitu, dia hanya bertahan, mengawal diri demi tidak mahu mengaibkan nama orang tuanya yang bersahabat dengan keluarga Chairil.

"Ya Allah!!! Dengan anak bujang Tuan Ramli rupanya yang Pia gaduh?" Kali ini ada gelak kecil di hujung bibir Hajah Asmah. Sufian yang tadi asyik pasang telinga sama teruja mendengar cerita kakaknya itu.

"Bukan gaduh! Siapa pula nak gaduh dengan dia? Buang masa, mak!"

"Habis tu kalau bukan gaduh, apa? Benci-benci suka?" sergah Haji Imran dengan sejuring senyum di hujung bibir. Bertambah terbakar hati Sofeatulaishah.

Izinkan Aku Jadi SayapmuWhere stories live. Discover now