Bab 4

3.6K 48 0
                                    

Panasaran Jiwa.

Andai pipit membilang tasbih,

Tafakur helang membaca ratib.

KETAR masih bersisa. Dada berombak, nafas bagai tidak tersusun. Wajah manis tersipu-sipu itu plastik sebenarnya. Pipi dan bibir kejang berpura-pura senyum. Terima kasih, Ya Allah!!! Kalau boleh waktu itu juga mahu dia berlari ke surau berhampiran, mengambil wuduk, menyarung telekung dan bentang sejadah. Buat sujud syukur! Mujur mulut ini tak cabul sangat!

Nasib baik muka ni tak terlepas membuat muka kekwat lagi ketat waktu bertentang mata dengan pak cik pakai singlet Pagoda di majlis kenduri kahwin dia beberapa minggu sudah. Itu pun sempat juga dia berprasangka. Pak cik macam apek ni duduk di tempat hulu, takkan dia ada kabel nak tolong orang masuk kerja! Haish... Bos besar rupa-rupanya pak cik bersinglet pagoda ni! Ambil kau, Pia! Pak cik hulurians ni somebody rupanya!

"Okey, jom ikut saya, Sofea."

"Errr... Ke mana?"

"Saya kenalkan dengan staf-staf yang lain di tingkat 20 ni dulu."

Sofeatulaishah mengangguk dan mengikut saja langkah pantas Huda yang berkeletak-keletuk dengan stiletto merah cili. Gadis langsing yang wajahnya murah dengan senyum itu membawanya dari bilik ke bilik. Dia diperkenalkan dari meja ke meja.

"Assalamualaikum... Selamat pagi, Kak Rose! Kenalkan, ni Sofeatulaishah Imran staf baru Menara Rumah Manis."

"Waalaikumussalam... Sedapnya nama! Nak panggil apa ni?"

"Panggil Sofea boleh, Pia pun okey." Mereka bertukar salam dan saling menghadiahkan senyuman. Seboleh mungkin Sofeatulaishah mengawal debar di dada. Kecutnya perut Tuhan saja yang tahu. Dia cemas dengan beberapa soalan yang dia sendiri tidak jangka dan tidak tahu macam mana harus dijawab.

"Eh, kita memang ada buat pengambilan staf baru ke Huda?" tanya Kak Rose sebelum Huda dan Sofeatulaishah melangkah pergi.

"Yang terkini ni sebenarnya macam tak ada. Errr, Sofea mohon bila, ya?" Polos sungguh pertanyaan Huda.

Oh, engkau memang tak tahu apa-apa, ya Huda?! Semakin bergetar hati Sofeatulaishah. Tergagap-gagap dia menjawab. Badan tiba-tiba terasa beku, keras kejung bagai dipasung ke bumi. Mujur saja tidak terkelu di hadapan khalayak.

"Lama juga. Tak ingat bila saya mohon." Allahuakbar! Tak pasal-pasal berbohong sunat pagi ini!

"Itulah... Bila Tuan Ramli sebut ada staf baru nanti lapor diri, kelam-kabut saya selongkar fail database kita. Cari-cari Sofea punya fail tak jumpa. Nak tak nak kena tebalkan muka mintak salinan data dari Encik Chairil. Mujur aje tak kena carut dengan Encik Chairil. Saya tak tahu macam mana boleh tak jumpa."

Bersungguh-sungguh Huda bercerita. Menambah kalut dan gelora jiwa Sofeatulaishah. Kalau direnung betul-betul wajahnya ketika itu memang pucat lesi tidak berdarah. Peluh dingin memercik di dahi dan di telapak tangan.

"Nanti Sofea kalau ada urusan bab kontrak atau tender, boleh terus ke meja Kak Rose, ya?!" Keramahan wanita yang berjubah hitam dan berselendang hijau serindit itu meredakan sedikit tekanan Sofeatulaishah. Pantas dia mengangguk tapi bibirnya agak terkaku. Senyum! Senyum, Pia! Jangan buat muka terkujat! Berkali-kali dia mengingatkan diri sendiri.

Serentak itu juga laungan zikrullah tidak henti-henti bertasbih di jelapang hati. Hanya pada Allah saja tempat dia berserah. Terasa diri kerdil sangat ketika itu. Berulang kali dia memujuk diri menenangkan perasaan sendiri. Ya Allah, kalaulah orang di Menara Rumah Manis ni tahu aku masuk kerja ni gunakan kabel paling besar, menggunakan bos paling atas, alangkah segannya!

Izinkan Aku Jadi SayapmuWhere stories live. Discover now