Bab 2

5.4K 60 1
                                    

Laut, Langit, Kulepaskan Resah.

Awan bertepuk, langit menangis,

Jeritan hati siapa yang tahu.

Seharian mata Puan Ramnah asyik mengerling langit di luar sana. Hatinya berdoa, biarlah putih kapas di langit itu terus bersisik-sisik. Janganlah ada rona kelabu. Usahlah matahari malu-malu untuk siang ini. Biar tangannya lincah di dapur, kemudian membelek pokok di halaman, hatinya tidak tenteram. Sekejap-sekejap memandang ke luar pagar. Mengharap kelibat Chairil muncul segera.

"Apa masalah dia ni? Ada telefon tak tahu pakai! Kalau dah tak mahu jawab telefon tu, baik campakkan aje ke laut!" Sabar semakin tipis. Terhambur juga segala yang terbuku dalam hati.

"Awak marah siapa?" tanya Tuan Ramli yang sedang membelek dokumen bank sebelum bersiap ke pejabat.

"Siapa lagi kalau bukan Chairil? Penyakit betul budak ni! Pakai telefon mahal, guna sampai dua tiga nombor, tapi tak reti nak jawab telefon. Kalau saya ni mati kat rumah ni, mahu kering dulu, baru dapat beritahu dia!"

"Adalah tu... Tak ke mana pun." Selamba sungguh Tuan Ramli seperti tidak memberi kudis segala bebelan isterinya.

"Dah dua hari tak balik. Ada ke mana? Telefon pejabat kata tak tahu. Eh, sampai bos sendiri tak tahu ke mana dia?"

"Allah... Dia dah besar panjang. Dah boleh jadi bapak orang. Awak jangan risaulah. Bukan budak sekolah."

"Abang tahu ke dia ke mana?"

"Pergi memancinglah. Chairil tu kalau hilang, senang aje nak cari. Pergi ke kolam ikan, tak pun kolam udang... Kalau masuk dua hari tak balik, makna dia turun ke laut."

"Ohhh... Dia beritahu abang? Dengan saya haram sepatah tak beritahu." Bulat membutang mata Puan Ramnah. Terbakar hatinya melihat muka selamba si suami.

"Tak. Mana ada dia cakap."

"Habis, mana abang tahu?"

"Joran yang saya baru beli tu tak ada dalam bilik. Tu makna Chairil pakai. Joran tu untuk pancing laut dalam."

"Dah agak! Musim-musim hujan turun ke laut. Macam dah tak ada kerja lain sangat. Yang abang bagi muka pada dia! Sebelum kenduri Haris dia culas. Berat tulang, tak mahu menolong. Bila selesai majlis pun terus ghaib. Bukan tahu nak tolong saya apa yang patut."

"Saya dah lambat. Ada mesyuarat."

"Mana anak tak banyak lemak! Awak bagi muka pada budak tu."

Selumbar mata Puan Ramnah bila melihat suaminya yang selalu berpihak pada Chairil. Ditambah dengan minat yang sama. Memang sehati sejiwa anak dengan bapa.

SISA mendung pada langit masih lagi kelihatan sewaktu Chairil meninggalkan jeti bersama-sama Firdaus. Awan kelabu, pusaran angin yang sesekali menggempur tubuhnya membuatkan Chairil dan Firdaus pantas menarik zip jaketnya.

"Fuhhh... Memang balada seorang nelayanlah!"

"Hah, macam ni baru kita tahu nasib nelayan. Kais pagi makan pagi, kais petang kekadang kais-kais, tak dapat-dapat!"

"Nak buat macam mana? Kali ni tak ada rezeki, Encik Chairil. Selalu lubuk yang Pak Mat bawa tu memang banyak ikan. Dah pindah banyak kali pun tak ada ikan. Air mati kemudian tak ada arus. Jangan serik ya dengan Pak Mat." Tekong yang membawa mereka tumpang ralat. Tahu sangat rasa hati pemancing tegar bila pulang dengan tong air batu yang patut berisi ikan, tak boleh penuh.

"Hish! Jangan risau, Pak Mat. Apa pun jadi, Pak Mat tetap legend bagi saya. Hahaha... Laut di kawasan ni, tercium bau Pak Mat pun gerenti gerun. Kali ni tak menjadi sebab Si Firdaus ni kut..."

Izinkan Aku Jadi SayapmuWhere stories live. Discover now