Bab 1

97 1 1
                                    

HUJAN yang turun renyai-renyai membasahi bumi, membasmi bumi TUHAN daripada noda-noda dan kelumpuhan diri manusia dalam menjalani hidup seharian. Setiap kejadian disingkap hikmah dan rahsianya, seperti hujan yang merupakan rahmat dan rezeki yang diturunkan oleh TUHAN kerana hujan membantu ekosistem bumi. Dunia tanpa hujan umpama hidup tanpa haluan, keliru dan terasing di bumi sendiri. Ah! Falsafah kehidupan memang sukar untuk difahami.

Suasana redup dan dingin. Pagi yang sejuk membuat aku masih berselimut dan diulit mimpi. Rasa malas hendak ke kuliah menyerang kembali. Kalau tak kerana ada ujian pagi ini, sanggup aku ponteng kuliah. Tapi markah ujian ini masuk mata kredit akhir semester nanti. Ujian... bengangnya otak aku ni. Banyak sangat formula yang perlu dihafal. Subjek Statistik ini satu-satunya subjek yang membuat aku sangkut selalu. Subjek ngeri untuk aku.

Hmm... mengantuknya. Inilah akibatnya belajar saat-saat akhir, tidur cuma beberapa jam. Bayangkan aku terlelap kira-kira pukul 3.30 pagi dan kena bangun awal untuk sembahyang subuh. Mana tak mengantuk?

Ada satu hal yang buat aku lewat tidur semalam. Sejak ada telefon bimbit pemberian Irsyad, dia asyik mengganggu sepanjang masa. Sekiranya orang tak kenal aku, tentu mereka ingat aku 'couple' dengan dia. Hakikatnya, semalaman aku terpaksa menjawab soalan-soalannya yang tak masuk akal mengenai seorang minah cute ni.

Aku ni pun satu juga, yang sibuk hal dia orang tu buat apa? Asyik sibuk nak selesaikan hal orang, sedangkan hasrat di hati lagi rumit. Kenapalah budak bernama Irsyad ni suka sangat menyusahkan satu-satunya girlfriend dia kat dalam kampus ni? Aku tahulah dia tu pemalu, tapi bawa-bawalah bersabar.

Aku tersenyum mengenangkan sikap Meeda sepanjang aku mengenalinya sejak menjejakkan kaki di kampus ini. Ditakdirkan kami satu dorm pula! Hmm... macam-macam kerenah. Orangnya sombong sedikit. Tahulah dia cantik.

Tapi bila dah lama mengenali Meeda, dia seorang yang baik sebenarnya. Walau macam mana pun aku buat silap, dia hanya akan berkata, "It's okay... siapa yang tak pernah buat silap?" Kata-kata yang selalu dia ulang sehingga aku sering menyambung bila dia dah memulakan mukadimahnya.

Kulitnya putih melepak macam kulit orang Cina yang putih gebu. Matanya bersinar bundar macam mata pelakon Zarina Zainuddin. Bibirnya kemerahan kecil mongel dan keningnya bagai diukir hitam dan terletak bentuknya. Cantik Meeda ni. Memang dia cantik! Bukan setakat rupa, tapi juga dari segi peribadi.

Aku memang kalah dari segi saiz tubuh dan ketinggian. Rupa aku pun boleh tahan, tapi perangai aku agaknya yang ala-ala tomboy buat Irsyad tak pandang aku. Kalau ia pun, cintailah aku setulus jiwa, baru kau tahu siapa aku sebenar­nya yang cuba sedaya upaya untuk berselindung daripada sifat sebenarku.

"HOI! Apasal kau cakap sorang-sorang, hah?"

Meeda berteriak perlahan membawa aku ke alam sedar. Nyata semua yang difikirkan tadi melayang begitu saja. Sebiji bantal tepat dibaling ke arahku. Aku sedang mengelus-ngelus rambut yang baru dipotong pendek sambil berdialog sendiri. Bila masa minah cute ni bangun?

"Aku bercakap sorang-sorang? Tak ada pun. Perasaan kau aje kot!" Aku menafikannya setelah menangkap kemas baling­an bantal Meeda dan melontarkannya kembali.

"Tak payah tipu, aku dengar apa yang kau katakan tadi. Kenapa segan dengan aku? Bukannya sesiapa pun. Ingatkan si dia ke? Semalam aku tengok kau layan dia hingga larut malam sampai tak ingat nak tidur." Meeda sudah bingkas duduk tegak.

"Itu pun sebab kau juga. Takkan tak faham-faham? Apa mimpi kau bangun awal hari ni?" soalku hairan melihat perubahan Meeda pada pagi itu sambil menyembunyikan perasaan maluku ditegur Meeda sebentar tadi. Kena 'tangkap basah'.

CINTA AKAN INDAHWhere stories live. Discover now