Bab 3

33 0 2
                                    


KEGELAPAN malam tidak menghalang Meeda untuk meredah jalan, hanya untuk bersemuka dengan Irsyad. Sebentar tadi dia telah menelefon Irsyad. Dia perlu menemui Irsyad malam ini juga, mereka akan bersua muka berdua buat pertama kalinya.

"Kenapa nak jumpa aku?" Suara Irsyad memecahkan keheningan antara mereka. Sebenarnya, dia kurang senang dengan permintaan Meeda untuk menemuinya lewat malam begini. Namun digagahinya juga kerana hatinya meronta-ronta untuk berjumpa gadis idamannya itu.

Mendengar soalan Irsyad begitu, api kemarahan Meeda semakin meluap. Tidak pasal-pasal kerana Irsyad, dia dan Lina bertekak. Kenapa mesti dia mengamuk pada Lina? Sedangkan terang-terangan lelaki di depannya itu yang punya angkara. Marahnya sukar dibendung.

"Ada hutang yang nak diselesaikan!" Meeda mendengus marah.

Irsyad tertanya-tanya apa yang membawa Meeda malam-malam begitu menemuinya. "Kenapa tak esok saja? Hari dah jauh malam. Meeda tak takut ke keluar malam-malam macam ni?"

"Malam... bagi aku sama saja, tetap akan berlalu pergi dengan pelbagai cerita yang berbeza-beza. Macam malam ni, menjadi sejarah dalam hidup aku untuk berjumpa dengan kau. Bukan kerana aku tak mahu tunggu esok, tapi hal yang aku nak selesaikan perlu dilakukan malam ni juga," balas Meeda.

"Apa?"

"Kenapa kau buat Khairul macam tu?"

"Aku tak faham." Irsyad keliru.

"Jangan nak berdolak-dalih lagi. Selama ni, bukan aku tak tahu kau dan Lina ada buat rancangan. Tapi aku tak hiraukan. Sebab Lina tu kawan baik aku. Namun, aku tak suka bila hal ni melibatkan Khairul." Meeda menggigit bibir geram. Suasana depan perpustakaan yang terang itu kelihatan para pelajar duduk bersama mengulangkaji di luar. Namun, lain halnya dengan mereka.

"Melibatkan Khairul? Apa kena-mengena hal Khairul dengan aku?"

"Kau cemburu... sebab bukan kau yang aku pilih. Selama ni usaha kau mengurat aku tak berhasil. Jadi, jalan yang terbaik adalah dengan menghapuskan Khairul," tuduh Meeda melulu. Marah menguasai mindanya.

"Kau jangan tuduh aku yang bukan-bukan, Meeda. Aku langsung tak tahu apa-apa hal pasal Khairul." Irysad bingung dengan tingkah Meeda itu.

"Kau cemburu sebab aku tak layan permintaan kau. Kura-kura dalam perahu..."

"Lagilah aku bingung. Lantaklah apa kau nak cakap, yang penting aku nak kau tahu, aku tak ada kena-mengena dengan hal Khairul. Yang kau cari aku ni pasal nak beritahu aku cemburukan Khairul ke? Itu aje?"

"Takkan kau tak faham apa aku cakap? Aku bukannya cakap dalam bahasa Kantonis. Aku guna bahasa Melayu. Mungkin kau akan lebih faham sekiranya aku cakap Tamil agaknya."

"Sudahlah, Meeda... apa yang kau melalut ni?" Irsyad menggeleng keliru dengan sikap Meeda. Selama ini, semua yang dilihatnya pada gadis itu indah belaka. Entah di mana silapnya malam itu dia melihat segala keburukan Meeda. Menuduh yang entah apa-apa!

"Lina dah terangkan pada aku," ujar Meeda lagi.

Irsyad diam.

"Aku dah tahu segalanya dari mula hingga akhir. Patutlah aku hairan macam mana kau muncul bila aku ada bersama Lina. Rupanya kau upah dia jadi spy. Sogok dia dengan telefon bimbit!" ungkit Meeda.

"Jangan kau tuduh Lina..." pintas Irsyad, namun dipotong pantas Meeda.

"Dan satu lagi, jangan kau harap aku akan terima cinta kau. Muka tembok! Tak tahu malu. Tak faham bahasa langsung! Aku dah kata tak suka, maksudnya tak sukalah. Benci! Yang kau bela sangat Lina tu, kenapa tak couple aje dengan dia? Kau dengan dia pun dah lama jadi best friend!" cebik Meeda meluat.

CINTA AKAN INDAHWhere stories live. Discover now